Selasa, 22 Disember 2015 | 11:15pm

Spurs, Man United intai khidmat Mahrez


PEMAIN Leicester City, Riyad Mahrez ketika menentang Everton pada aksi Liga Perdana Inggeris, Sabtu lalu. - Foto EPA

LONDON: Tottenham Hotspurs menyertai Manchester United dalam pemburuan mendapatkan khidmat Riyad Mahrez ketika Leicester City bersedia menolak tawaran lumayan terhadap pemain sayap itu pada Januari.

Kelab berpangkalan di London itu mula menunjukkan minat terhadap Mahrez yang sudah meledak 14 gol sepanjang musim ini di sebalik ketegasan Leicester yang enggan melepaskan pemain kelahiran Algeria itu.

Tottenham sedar yang Leicester dijangka menolak segala tawaran dengan Mahrez dilihat gembira bersama kelab pendahulu Liga Perdana Inggeris (EPL) itu ketika ini.

Seandainya gagal mendapatkan Mahrez, Spurs dikatakan akan memberi sepenuh tumpuan untuk membawa masuk seorang lagi penyerang ke White Hart Lane.

Ejen pencari bakat kelab itu ketika ini sedang memerhati penyerang Marseille, Michy Batshuayi dengan Saido Berahino dan Laurent Depoitre dari Gent kekal dalam radar pasukan.

Batshuayi yang sudah meledak 14 gol musim ini mungkin terlalu mahal untuk dibeli apabila Marseille mahukan STG30 juta (RM191.77 juta) menyaksikan Berahino dan Depoitre sebagai sasaran lebih realistik.

Liverpool dalam pada itu turut berminat untuk mendapatkan pertahanan Leicester, Ben Chilwell.

Begitupun, pemain bawah 20 tahun England itu turut berjaya menarik minat Arsenal, Chelsea dan Tottenham. - AGENSI

211 dibaca
Berita Harian X