Isnin, 21 Disember 2015 | 4:11pm

TPM pengerusikan mesyuarat Antipemerdagangan Orang


TIMBALAN Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, hari ini mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (MAPO) yang pertama, hari ini.

PUTRAJAYA: Malaysia menyasarkan penyenaraian Tahap 1 dalam Laporan Tahunan Jabatan Negara Amerika Syarikat (JNAS) mengenai pemerdagangan orang menjelang tahun 2020, kata Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Mengulas lanjut, Timbalan Perdana Menteri menekankan bahawa kerajaan akan melipat gandakan usaha bagi memerangi jenayah pemerdagangan orang dan penyeludupan migran bagi mencapai matlamat itu secepat mungkin.

"Ini termasuk mempertingkatkan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan pihak polis Thailand bagi memberkas dalang kes penyeludupan manusia di sempadan kedua-dua negara dan mendakwa mereka di mahkamah Malaysia.

"Setakat ini 67 siasatan dilakukan oleh PDRM dan pihak polis Thailand dan enam dalang sudah dikenal pasti termasuk lima rakyat Thailand serta seorang warga Myanmar manakala siasatan masih diteruskan.

"Kita mahu pendakwaan dilakukan di sini kerana kini wujud persepsi di kalangan pihak tertentu bahawa apa yang dilakukan Malaysia bagi membanteras pemerdagangan manusia adalah tidak mencukupi," katanya pada sidang media, di sini sebentar tadi.

Terdahulu, beliau mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (MAPO) yang pertama selepas pindaan Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) yang berkuatkuasa November lalu.

Ia turut disertai ahli baru MAPO iaitu Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein; Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed; Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S Subramaniam; Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin serta Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Douglas Uggah Embas.

Mesyuarat kali ini juga disertai oleh Duta Besar Amerika Syarikat (AS) ke Malaysia, Joseph Yun, bagi membincangkan penambahbaikan dan tindakan susulan yang perlu diambil negara bagi memperbaiki prestasi penilaian oleh JNAS mengenai pemerdagangan orang.

Antara lain, ia termasuk tindakan yang diambil Malaysia selepas tragedi 25 Mei lalu berikutan penemuan 139 kubur yang dikesan pihak berkuasa di 28 kem transit yang dibina oleh sindiket pemerdagangan manusia di sepanjang sempadan Malaysia-Thailand di Wang Kelian, Perlis.

Kata Zahid, yang juga Menteri Dalam Negeri, Malaysia perlu memperbaiki tahap kedudukan penilaian itu atau sekurang-kurangnya mengekalkan Tahap 2 (Pemerhatian), seperti penilaian JNAS 2015.

Pada majlis sama, beliau turut menyampaikan sijil penghargaan kepada hotel JW Marriott kerana memberi peluang kerja kepada empat mangsa pemerdagangan orang dan memaklumkan bahawa hotel itu sedia mengambil 26 lagi mangsa untuk bekerja dengannya.

"Kini di Malaysia ada 2,217 mangsa pemerdagangan orang yang diberi perlindungan oleh pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan layak diberi peluang kerja, malah majikan tempatan dialu-alukan mengambil mereka bekerja.

"Pihak kerajaan sedang bekerjasama rapat dengan Suruhanjaya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR) dan Pertubuhan Antarabangsa Migran (IMO) bagi memastikan kebajikan serta hak mangsa pemerdagangan orang atau penyeludupan manusia ini terbela," katanya.

Sementara itu, Joseph menghargai usaha Malaysia dalam membanteras pemerdagangan orang dan penyeludupan migran selain menjaga kepentingan mangsa jenayah itu, yang turut diambil kira dalam penilain JNAS.

125 dibaca
Berita Harian X