Selasa, 15 Disember 2015 | 12:05am

Jangan duduk terlalu lama

DUDUK dalam tempoh lama seperti bekerja berterusan di pejabat, memandu kereta, menaiki penerbangan ke lokasi jauh, menonton televisyen atau melakukan acara sukan duduk berisiko menyebabkan badan rasa sakit.

Kajian menunjukkan duduk dalam tempoh enam jam secara berterusan selama 15 tahun meningkatkan 40 peratus punca kematian berbanding individu yang duduk kurang tiga jam.

Duduk terlalu lama meningkatkan dua kali ganda risiko terkena penyakit kardiovaskular berbanding kerja yang memerlukan anda berdiri.

Pakar dan Felo Endokrinologi, Kolej Perubatan Klinik Mayo, Arizona, Amerika Syarikat, Prof James A Levine, menjelaskan duduk terlalu lama mengganggu kesihatan individu.

Beliau berkata, keadaan sedemikian boleh menyebabkan obesiti dan meningkatkan sindrom metabolik seperti tekanan darah tinggi, diabetes, lemak tepu serta kolesterol pada sekeliling pinggang.

Katanya, kesan duduk terlalu lama juga meningkatkan risiko kematian disebabkan kardiovaskular atau penyakit kronik seperti kanser.

"Individu yang duduk dua jam menonton televisyen atau skrin alatan berteknologi berisiko kira-kira 50 peratus punca penyebab kematian.

"Bahkan, kajian menunjukkan golongan berkenaan berdepan tekanan penyakit seperti jantung, sakit dada (angina) dan kardiovaskular," katanya.

Sementara itu, kajian terbaharu diterbitkan Jurnal Pencegahan Kardiovaskular Eropah, baru-baru ini, mendedahkan pesakit jantung yang duduk dalam tempoh lama berisiko mengalami serangan teruk berbanding pesakit jantung yang aktif berdiri.

Kajian mendapati pesakit jantung yang melakukan aktiviti senaman harian tidak terkecuali mengalami serangan jantung lebih teruk sekiranya mereka meluangkan masa purata lapan jam tanpa bergerak daripada tempat duduknya.

Penyelidikan terhadap 278 pesakit jantung yang dibekalkan latihan meningkatkan kecergasan secara berkala selama sembilan hari.

Ahli Akademik Bahagian Pemulihan dan Pencegahan Institut Jantung, Universiti Ottawa, Kanada, Dr Stephanie Prince, berkata penyelidikan mendapati individu yang meluangkan masa duduk dalam tempoh lama mengalami masalah kesihatan lain seperti diabetes, obesiti, degupan jantung lemah dan jantung tersumbat.

Katanya, masalah ini kerap berlaku dalam kalangan lelaki dengan purata meluangkan masa empat jam lebih lama berbanding wanita, berikutan wanita kerap melakukan aktiviti ringan seperti melakukan kerja rumah dan menguruskan anak.

"Individu yang duduk dalam tempoh lama akan menjadi gemuk dan kurang cergas berikutan jarang melakukan senaman (pergerakan).

"Wanita yang menghidap masalah saluran arteri tersumbat didapati jarang duduk dalam tempoh lama. Kami masih menjalankan kajian mengenainya," katanya.

Dr Prince berkata, kajian terdahulu menunjukkan lelaki berusia 60 tahun kurang melakukan pergerakan, lebih banyak berada di pejabat dan suka menghabiskan masa menonton televisyen sahaja.

Katanya, situasi berkenaan berbeza dengan wanita yang sering melakukan kerja remeh secara berulang dan kuantiti sedikit.

INFO: Purata masa ketika bekerja (sehari)

* Duduk - 9 jam 20 minit sehari

* Aktiviti pergerakan ringan - 6 jam 30 minit

* Aktiviti fizikal sederhana - 45 minit

Risiko

* Sakit punggung

* Ketegangan pada leher, bahu dan pinggang

* Kolesterol tinggi

Kesan

* Segera

- Pembakaran kalori menurun setiap satu minit

- Aktiviti saraf otot tidak berfungsi

- Enzim mencegah lemak menurun sehingga 90 peratus

* 2 Jam

- Kolesterol baik menurun hingga 20 peratus

* 24 Jam

- Keberkesanan insulin menurun hingga 24 peratus dan tingkatkan risiko diabetes

- Tekanan berlebihan pada tulang belakang, khususnya pada bahagian pinggang dan bahu

* Berpanjangan

- Otot leher, bahu menegang dan pembuluh darah terganggu menyebabkan 'menggigil'.

- Aktiviti kecergasan organ seperti paru-paru dan jantung berkurang dan meningkatkan risiko sakit kronik

- Pembuluh darah timbul pada betis

Pencegahan

* Duduk pada kedudukan 135 darjah untuk kurangkan tekanan pada bahagian belakang badan.

* Buat pergerakan setiap 30 minit

* Bangun apabila televisyen menyiarkan iklan

* Lakukan latihan ringan ketika menonton seperti goyangkan kaki

* Hadkan tempoh duduk dan lakukan senaman ringan dengan kerap.

* Minum lebih banyak air

* Gunakan tangga ketika di pejabat (bergantung pada tahap kecergasan diri)

* Makan di luar berbanding di meja kerja

* Tidur awal lebih baik daripada menonton

* Monitor aktiviti harian anda, senaraikan dan tinggalkan aktiviti 'duduk'.

715 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »