Jumaat, 11 Disember 2015 | 12:15am
ROSSEM menunjukkan hasil lukisan karikatur wajahnya. - Foto Syamsi Suhaimi
KARTUNIS generasi baharu boleh mendapat ilham dan bimbingan dengan melihat hasil kartunis dahulu. - Foto Syamsi Suhaimi
ANTARA buku kartun karya Rossem yang dipamerkan. - Foto Syamsi Suhaimi
BALAI Kartun Rossem (BKR) mendapat sambutan menggalakkan dalam kalangan kartunis sendiri, mahasiswa, pelajar sekolah dan delegasi kartunis dari luar negara seperti Thailand.. - Foto Syamsi Suhaimi

Komik tulisan Jawi 1954 tarikan Balai Kartun Rossem


DENGAN lebih 1,000 komik serta lukisan dan ada yang diterbitkan sebelum merdeka, ia sudah tentu cukup mengujakan peminat kartun untuk mengunjungi Balai Kartun Rossem (BKR).

Lebih mengujakan, usaha murni pemilik balai kartun ini, Rossem, seorang kartunis terkenal memartabatkan dunia kartun tanah air turut mengheret jiwa pengunjung apabila dapat menatap dan memegang sendiri lukisan kartun dan buku komik yang dihasilkan sejak tahun 1954 sehingga sekarang.


ROSSEM bersama potretnya yang dipaparkan di pintu masuk Balai Kartun Rossem (BKR) di Jalan Bachok, Peringat. - Foto Syamsi Suhaimi

Ia bagai menyentuh jiwa apabila karya seperti komik Tok Janggut bertulisan Jawi (1954), Koleksi Puteri Bisa (1962), Tuah Adek (1963), Bidan Muda (1965), Keluarga Mat Jambul (1970an), Murni (1970an), Guntur (1970an), Anak Kijang (1970an), Gelihati (1980an), Batu Api (1984) dan komik karya Rossem seperti Jenaka Sufi (1993-1994) dan adaptasi kisah keagamaan Menuju Jalan Allah 2002, yang diterjemah dalam bentuk kartun daripada penulisan tokoh Islam terkenal Indonesia, Drs Ghazali Dunia, dapat ditatap di sini.

Sudah pasti perasaan kagum tidak dapat dibendung lagi apabila saat mata menatap sendiri karya pelukis hebat seperti Saidin Yahya, Abdul Halim Teh, Raja Hamzah dan Rejabhad, yang cukup popular satu ketika dulu.

Rossem atau nama sebenarnya Rosedi Ismail, 67, berkata, balai berkenaan dibuka secara percuma kepada pengunjung kerana kecintaannya yang mendalam terhadap industri lukisan kartun yang mendalam.

Katanya, sejak bergelumang dengan dunia kartunis di awal usia 20-an sehingga kini, beliau berasa bertanggungjawab untuk terus memartabatkan warisan kartun terutamanya yang dihasilkan sejak tahun 50-an, 60-an dan 70-an, yang mempunyai nilai sentimental yang tidak ternilai.


SEBAHAGIAN hasil lukisan karikatur yang dipamerkan di Balai Kartun Rossem (BKR). - Foto Syamsi Suhaimi

"Jika di luar negara, mereka sanggup membeli komik kita dengan harga yang cukup tinggi, sehingga ribuan ringgit.

"Oleh itu, saya wujudkan balai kartun ini supaya pelukis atau peminat komik Melayu mempunyai tempat untuk meletakkan karya berkenaan supaya kekal di negara kita dan tidak terbuang begitu saja akibat rosak dimakan anai-anai atau dihanyutkan banjir," katanya ketika ditemui di balai kartunnya, yang terletak di Jalan Bachok, Peringat, di Kota Bharu, Kelantan.

Beliau berkata, balai berkenaan dibina dengan kos permulaan RM40,000, hasil keringat sendiri dan sokongan kerajaan negeri Kelantan, yang melihat balai berkenaan mampu dijadikan tarikan pelancongan.

Katanya, sejak dirasmikan pada 21 April tahun lalu, balai kartun itu mendapat sambutan menggalakkan dalam kalangan kartunis sendiri, mahasiswa, pelajar sekolah dan delegasi kartunis dari luar negara seperti Thailand.


KARYA yang menghiasi dinding balai kartun. - Foto Syamsi Suhaimi

Beliau berkata, terdapat dua bahan utama dipamerkan iaitu lukisan tangan asli dan komik Melayu, yang dikumpul bersama aktivis komik yang juga rakan baiknya, Rudi Mahmood.

Rossem yang pernah berkhidmat sebagai anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada tahun 1969 turut mengetengahkan watak anggota pasukan beruniform dalam kebanyakan lukisannya.

Malah, dia turut mempamerkan karyanya sendiri ketika melukis untuk akhbar tempatan dan sepanjang lebih 40 tahun terbabit dalam melukis kartun antaranya koleksi kisah Konstabel Jabit, Pak Din Pencen, Macam-Macam dan Man Burger.  

Selain itu, koleksi kartun lain adalah karya pelukis terkenal seperti Datuk Mohamad Nor Khalid atau Lat, Imuda, Zainal Buang Husain, Mior Shariman Hassan, Rosdin Saidin dan Jaafar Taib.

Turut dipaparkan, satu lukisan tangan asli milik pelukis antarabangsa, Sergio Aragones, yang dilukis khas buat Rossem.

"Oleh kerana ruang terhad, banyak koleksi yang tidak dapat dipamerkan, namun jika pengunjung mahu melihat lukisan atau komik berkenaan, saya akan tunjukkan kepada mereka," katanya yang memberitahu balai kartun itu dibuka setiap hari.


SEBAHAGIAN majalah dan buku kartun lama yang menjadi tarikan Balai Kartun Rossem (BKR). - Foto Syamsi Suhaimi

Di samping lukisan kartun, pelbagai cerita dan watak seperti pemimpin negara, antaranya bekas Menteri Besar Kelantan, Allahyarham Datuk Nik Aziz Nik Mat, selebriti seperti Erra Fazira dan Senario, juga dipamerkan.

"Penubuhan balai kartun ini juga bagi memberi semangat kepada generasi muda yang mahu berjinak atau yang sudah terbabit melukis kartun supaya mereka tahu bidang lukisan kartun mempunyai masa depan yang cerah dan berperanan penting dalam masyarakat," katanya.

Rossem berkata, beliau bercadang untuk menghiasi lukisan tangan tiga dimensi (3D) sebagai tarikan kepada pengunjung, khususnya kanak-kanak dan belia yang kini lebih terdedah dengan televisyen dan Internet.

Beliau juga berhasrat memperbesarkan balai kartun itu bagi menyuburkan rasa cinta masyarakat terhadap kewujudan komik Melayu lama, selain mahu generasi kartunis pelapis mendapat bimbingan dengan melihat contoh karya terdahulu bagi membentuk watak sendiri sebagai identiti kartunis.

"Saya juga sedia menerima koleksi komik lama untuk dijadikan simpanan, termasuk yang diperoleh daripada ahli keluarga kartunis yang telah meninggal dunia dan masih ada dalam simpanan sebagai koleksi peribadi mereka," katanya.

 

66 dibaca
Berita Harian X