Khamis, 3 Disember 2015 | 5:20pm

PAU 2015: Serlahkan kepimpinan ketua sayap


KETUA Pergerakan Puteri UMNO, Datuk Mas Ermieyati Samsudin. - Foto Abdullah Yusof

KUALA LUMPUR: Perubahan perasmian Perhimpunan Agung ketiga-tiga sayap UMNO, iaitu pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri pada minggu hadapan yang akan dilakukan oleh pemimpin ketiga-tiga sayap itu memberikan peluang kepada pemimpin ketiga-tiga sayap menyerlahkan kemampuan mereka.

Ketua Pergerakan Puteri UMNO, Datuk Mas Ermieyati Samsudin, berkata perkara itu bukan satu bebanan sebaliknya pendekatan UMNO dalam menyediakan pelapis kepimpinan parti yang terbaik terutama dalam kalangan Puteri, yang merupakan sayap termuda parti.

"Saya kira kali ini (PAU 2015) pucuk pimpinan mahu lihat ke mana arah tuju Puteri selepas ini jadi ia (merasmikan mesyuarat pergerakan) bukan bebanan tapi tanggungjawab," katanya dalam temu bual khas bersama media menjelang Perhimpunan Agung UMNO 2015 di sini semalam.

Bagi Mas Ermieyati, peluang untuk merasmikan Perhimpunan Agung Pergerakan Puteri amat bermakna kerana beliau yang menganggotai pergerakan itu sejak 2001 terpaksa meninggalkannya apabila umurnya menjangkau 40 tahun pada 2016, untuk menyertai sayap Wanita.

Timbalan Menteri Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan itu melihat keputusan yang dibuat oleh pemimpin tertinggi parti itu sebagai satu keputusan yang dibuat secara keluarga.

"Itulah cantiknya UMNO, kerana keputusan itu (perasmian oleh ketua sayap) lahir daripada perbincangan dalam suasana kekeluargaan. Jika kita melihat sesuatu solusi itu dapat bantu semua pihak jadi kita pun sama-sama bersetuju," katanya.

Majlis Tertinggi (MT) UMNO baru-baru ini memutuskan mesyuarat perwakilan ketiga-tiga sayap parti - Wanita, Pemuda dan Puteri - akan dirasmikan ketua pergerakan masing-masing, bukan lagi oleh Timbalan Presiden UMNO seperti kelaziman.

Mas Ermieyati juga berkata perubahan itu berlaku mengikut keadaan dan keperluan semasa, dan bukan bermakna Timbalan Presiden parti Tan Sri Muhyiddin Yassin dipinggirkan.

Malahan katanya, jasa Muhyiddin dalam parti sentiasa dihargai dan Puteri sendiri menganggap Muhyiddin sebagai 'ayahanda' mereka.

Menyentuh mengenai usul yang bakal dibawa pada PAU 2015, Mas Ermieyati berkata kos sara hidup merupakan agenda utama yang bakal diperjuangkan Puteri kerana ia merupakan masalah yang sentiasa membelenggu rakyat terutama yang tinggal di bandar.

"Kami akan menyuarakan keresahan akar umbi yang dibelenggu kos sara hidup yang tinggi terutama selepas kenaikan harga barangan dan perkhidmatan seperti yang terbaru kenaikan tambang ERL (Express Rail Link Sdn Bhd) bagi perjalanan dari KL Sentral ke KLIA (Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur) dan ke klia2," katanya.

Selain itu, isu pengangguran, Islamophobia, Islamic State (IS) dan penglibatan wanita sebagai pembuat dasar turut bakal dibawa dalam perhimpunan itu, kata Mas Ermieyati.

Beliau berkata Puteri juga bakal melaksanakan transformasi dalam pergerakan itu dengan melancarkan pasukan 'Adinda' yang dijangka dirasmikan Presiden UMNO Datuk Seri Najib Tun Razak yang bertujuan merekrut ahli baharu antara 18 hingga 25 tahun.

"Setiap tahun Puteri kehilangan 20 hingga 30 peratus jumlah keanggotaan kerana mereka terus diserap sebagai anggota Wanita selepas umur 35 tahun. Sebab itu usaha merekrut ahli baharu tidak pernah berhenti.

"Kita percaya 'Adinda' di bawah Biro Politik juga akan membantu mencapai sasaran Puteri untuk mencapai 500,000 keanggotaan menjelang 2018," katanya sambil menyatakan Puteri kini mempunyai 388,000 keanggotaan.

Selain itu, Puteri juga bakal melancarkan skuad 'Dian' di bawah Biro Penerangan yang berperanan sebagai jentera mendaulatkan Islam, agama dan negara, dan akan dilancarkan secara berperingkat di semua negeri.

Mas Ermieyati berkata pihaknya kini melatih 1,400 anggotanya untuk memberi penerangan dan menangkis persepsi negatif terhadap Islam terutama kepada golongan bukan Islam.

Bagi mendepani kontroversi dan persepsi negatif terhadap UMNO seperti isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB), beliau berkata Puteri akan memperbaiki pendekatan media sosial bagi menangkis fitnah terhadap parti itu.

"Kami perlu perbaiki 'online presence' kami bagi memastikan segala dakwaan terhadap pucuk pimpinan dan UMNO dapat ditepis dengan pantas dan tidak berlarutan.

"Contohnya apabila muncul sesuatu berita mengenai parti di media sosial, Puteri akan segera mendapat kesahihan berita itu daripada pucuk pimpinan UMNO dan jika ia tidak benar kami akan segera memberi maklum balas, ...ini zaman siber kami tidak boleh lengah kerana itu akan membawa kesan buruk kepada UMNO," katanya.

Mas Ermieyati berkata segala usaha yang dilaksanakan Puteri adalah untuk mengembalikan kepercayaan rakyat terhadap UMNO yang kebelakangan ini agak goyah ekoran beberapa kontroversi.

"Puteri tidak akan diam dan duduk selesa sahaja. Defisit kepercayaan terhadap Parti merupakan agenda utama yang perlu diselesaikan segera kerana saya tidak dapat bayangkan bagaimana keadaan sekiranya situasi ini tidak berubah sehingga PRU 14 nanti," katanya.

Perhimpunan Agung UMNO 2015 dijadual berlangsung dari 8 hingga 12 Disember, dimulakan dengan perasmian perhimpunan agung ketiga-tiga sayap parti iaitu Wanita, Pemuda dan Puteri, dan diikuti dengan perasmian Perhimpunan Agung UMNO pada 10 Disember. - BERNAMA

33 dibaca
Berita Harian X