Selasa, 1 Disember 2015 | 12:07am

Usia risiko serangan jantung di Malaysia, Barat berbeza?

PENINGKATAN kes serangan jantung dalam kalangan individu dewasa bawah 40 tahun di negara ini berlaku berikutan perubahan gaya hidup dan amalan pemakanan tidak sihat.

Senario di Malaysia ketika ini menunjukkan 14.9 peratus dewasa berusia 30 tahun ke atas menghidap diabetes, sekali gus meningkatkan risiko serangan jantung yang juga pembunuh senyap.

Mereka yang menghidap diabetes atau kencing manis berisiko menghidap darah tinggi (hipertensi) dan gabungan dua penyakit tidak berjangkit (NCD) ini, membawa kepada risiko sakit jantung.


PAKAR kardiologi, Dr David KL Quek. - Foto Mohd Nazrulaswad Hamdan.

Pakar Kardiologi, Dr David KL Quek, berkata serangan jantung pada usia muda bergantung kepada beberapa faktor risiko dan perkara itu amat ketara di Malaysia berbanding di negara-negara Barat.

Katanya, obesiti, diabetes dan hipertensi yang diburukkan dengan amalan merokok dan gaya hidup generasi muda ketika ini yang tidak bersenam, makan tidak ikut masa, termasuk makan pada tengah malam, meningkatkan lagi risiko serangan jantung.

Statistik menunjukkan 50 peratus daripada penduduk di Malaysia mengalami obesiti (kegemukan) dan 20 peratus mengidap kencing manis yang juga angka tertinggi di rantau Asia Tenggara.

"Purata orang Barat mengalami serangan jantung pada usia 50 tahun tapi di Malaysia 30 tahun ke atas mengalami serangan jantung. Kalau kita lihat ramai masuk hospital adalah orang muda.

"Kebanyakan pesakit yang dirawat di hospital adalah disebabkan masalah gaya hidup seperti tidak bersenam, makan tak ikut masa, pemakanan tidak sihat, merokok dan kandungan kolestrol tinggi," katanya.


FAKTOR pemakanan yang kurang sihat antara faktor peningkatan statistik serangan jantung di Malaysia.

Dr David mengulas mengenai senario serangan jantung yang semakin meningkat dalam kalangan individu dewasa berusia di bawah 40 tahun di negara ini, sehingga menyebabkan kematian.

Terkini, kes pelakon dan pelawak terkenal, Yussry Eddo atau lebih dikenali dengan Yus Jambu yang meninggal dunia di Hospital Selayang, jam 1 pagi kelmarin, dipercayai akibat serangan jantung.

Allahyarham yang baru berusia 39 tahun dilaporkan dikejarkan ke hospital berkenaan ketika dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Selayang selepas mengadu sesak nafas.

Dr David berkata, penyakit jantung yang juga antara penyakit kronik NCD, kekal sebagai penyakit pembunuh nombor satu di negara ini.


SERANGAN jantung tidak mengira peringkat usia.

"Serangan jantung boleh diatasi dengan gaya hidup dan pemakanan sihat. Kurangkan kolestrol, kurangkan merokok dan bersenam 30 minit sehari mampu mengubah keadaan," katanya.

Data terkini Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menunjukkan penyakit kronik NCD seperti sakit jantung, diabetes, darah tinggi dan kanser membunuh 38 juta penduduk dunia setiap tahun.

Daripada jumlah itu, penyakit kardiovaskular seperti penyakit jantung menyebabkan 17.5 juta kematian setiap tahun diikuti kanser (8.2 juta), penyakit pernafasan (empat juta) dan diabetes (1.5 juta).

Sehubungan itu, serangan jantung merujuk kepada kegagalan jantung mengepam darah beroksigen ke seluruh badan untuk berfungsi secara normal. Secara umumnya, serangan jantung mempunyai simptom seperti jantung berdegup kencang dan sesak nafas.


KETUA Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Selayang, Datuk Mohamed Alwi Abd Rahman. - Foto Saddam Yusoff

  Ketua Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Selayang, Datuk Dr Mohamed Alwi Abdul Rahman berkongsi simptom dan kaedah menghadapi detik kritikal ketika seseorang itu diserang sakit jantung.

  Bagaimanapun, pakar perubatan itu menegaskan pemeriksaan kesihatan berkala setiap tahun, selain mengamalkan pemakanan dan gaya hidup sihat termasuk senaman, mengurangkan pengambilan gula, garam dan kolestrol serta tidak merokok, langkah pencegahan terbaik.

Simptom serangan jantung:

- Sesak nafas (keadaan ini boleh berlaku sebelum atau ketika sakit dada)

- Jantung berdegup kencang

- Pening atau berasa hendak pitam

- Lemah badan

- Berpeluh walaupun dalam keadaan sejuk

- Mual atau muntah

Kaedah mengatasi serangan jantung pada waktu kritikal:

1. Individu yang tahu beliau menghidap risiko jantung (mengalami obesiti, diabetes dan darah tinggi).

- Meletakkan pil khas (GTN - glyceryl trinitrate) di bawah lidah iaitu ubat bagi memudahkan jantung berdegup semula.

- Terus ke klinik atau hospital untuk mendapatkan rawatan susulan.

2. Serangan jantung mengejut.

- Jika sedang melakukan aktiviti, terus berhenti dan berehat.

- Tarik nafas dalam-dalam dan cuba untuk batuk bagi memberi getaran pada jantung.

- Minta pertolongan daripada mana-mana individu terdekat jika mampu.

- Jika keadaan semakin baik, terus ke klinik atau hospital berdekatan.

- Jika mangsa pitam, individu berdekatan perlu melakukan rawatan kecemasan CPR.

- Memberi kejutan elektrik menggunakan defiblirator AED,

Kaedah mengurangkan risiko serangan jantung:

- Mengamalkan gaya hidup sihat seperti tidak merokok dan bersenam.

- Menjaga amalan pemakanan, termasuk makan mengikut jadual dan tidak makan lewat malam.

- Melakukan pemeriksaan kesihatan berkala, termasuk mengambil ujian Elektrokardiogram (ECG) untuk mengukur atau memeriksa degupan jantung dan saluran darah.

(Individu berumur 40 tahun ke atas disarankan melakukan pemeriksaan kesihatan dua kali setahun, manakala sekali setahun bagi mereka berumur 30 tahun ke atas)

- Mengurangkan makanan yang mengandungi lemak/kolestrol kerana menyebabkan saluran darah tersumbat.

- Kurangkan tekanan.

376 dibaca
Berita Harian X