Khamis, 26 November 2015 | 12:01am

Muslim Eropah celaru identiti


BUKU Identiti Muslim Eropah Perspektif Tariq Ramadan.

ISLAM adalah agama yang dipenuhi dengan adab, akhlak dan tatasusila manakala Eropah pula mengamalkan sikap serta budaya sekular selain keterbukaan dalam semua hal.

Perbezaan konsep antara Islam dan sekular pasti mewujudkan pertentangan budaya serta identiti dalam masyarakat.

Buku Identiti Muslim Eropah Perspektif Tariq Ramadan yang memilih gagasan pemikiran tokoh kontemporari terbabit secara langsung dalam pembangunan Muslim Eropah, Tariq Said Ramadan dilihat dapat memberi manfaat kepada pembentukan Muslim pada masa kini.

Walaupun kemajuan teknologi dan kestabilan ekonomi negara Eropah memberi kelebihan kepada Muslim tetapi apa yang dilihat, mereka berdepan kekacauan dalam membentuk identiti diri kerana tidak jelas bagaimana hendak mengangkat identiti beragama serta menjadi warga Eropah.

Berdasarkan kajian dilakukan Tariq Ramadan, 80 peratus Muslim Eropah tidak melaksanakan ajaran Islam dan perkara itu mendorong kepada kelemahan Muslim menghadapi globalisasi.

Justeru, bagaimana Muslim dapat melakukan perubahan ke arah kemodenan tanpa melupuskan prinsip dasar agama.

Dengan faktor agama yang dilihat sebagai sentimen sensitif bagi komuniti Eropah menjadikan Muslim berhati-hati apabila menonjolkan identiti agama dalam masyarakat tempatan. Di samping terdapat cubaan mengaitkan Islam dengan keganasan serta mewujudkan sikap prejudis.

Buku terbahagi kepada tujuh bab ini menarik untuk diperhalusi bagi memahami bagaimana sewajarnya identiti Muslim masa kini dibentuk berdasarkan teori serta idea Tariq Ramadan yang mengikut apa yang ditonjolkan oleh Rasulullah SAW.

Banyak isu serta persoalan berkaitan identiti Muslim di Eropah memerlukan pemahaman menyeluruh kerana tidak kira di mana kita berada, ajaran Islam perlu dipraktikkan. Namun, dalam sesetengah keadaan ada kekangan tidak mampu dihindari.

Justeru, memahami apa yang dihadapi umat Islam di Eropah sedikit sebanyak membantu kita mendepani cabaran kemodenan berpandukan kaedah dikemukakan pemikir Islam kontemporari.

16 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »