Khamis, 11 Oktober 2018 | 10:59am
- Foto Hiasan

Timbang tara bentuk kerajaan

PEMBENTUKAN kerajaan yang baharu dengan tampuk pemerintahan beralih daripada Barisan Nasional (BN) kepada Pakatan Harapan (PH) menjanjikan satu corak dan gaya pemerintahan lebih demokratik, lebih terbuka dan telus.

Selepas lebih empat bulan memerintah, ternyata kerajaan baharu sudah melaksanakan dasar pemerintahan dan pentadbiran yang terbuka, demokratik dan telus.

Pelbagai pihak boleh memberikan pandangan secara lebih bebas melalui media cetak dan elektronik mengenai perkara itu, berbanding dasar pemerintahan BN.

Malah, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sendiri sudah menzahirkan keterbukaan beliau apabila menyatakan bahawa orang yang mencaci dan menghina beliau tidak akan ditangkap.

Dasar dan sikap keterbukaan pemimpin seperti yang ditunjukkan oleh Dr Mahathir mengingatkan kita kepada ucapan ‘monumental’ Saidina Abu Bakar, Khulafa’ al-Rashidin pertama yang menyatakan:

“Wahai umat manusia! Sesungguhnya aku telah dilantik dalam kalangan kamu sedangkan aku bukanlah orang yang terbaik. Maka jika aku melakukan kebaikan, maka bantulah aku, tetapi sekiranya aku terpesong, maka betulkanlah aku.

“Benar itu adalah amanah dan dusta itu adalah khianat. Orang yang lemah dalam kalangan kamu ialah orang yang kuat di sisiku sehingga aku akan menunaikan kemahuannya serta memberikan haknya semula.

“Orang yang kuat dalam kalangan kamu ialah orang lemah di sisiku sehingga aku akan mengambil kembali hak yang telah dirampas. Oleh itu, taatilah aku selagi mana aku mentaati Allah dan Rasul-Nya dan jika aku mengingkari Allah dan Rasul-Nya, maka janganlah kamu mentaatiku.”

Begitu juga ucapan dasar Saidina Umar sebaik dilantik menjadi khalifah menggantikan Saidina Abu Bakar. Ucapan dasar baginda antara lain ialah seperti berikut: “Wahai tuan-tuan, aku dilantik memimpin kamu sekalian. Aku bukanlah yang terbaik dalam kalangan kamu.

“Jika aku berbuat kebaikan, sokonglah daku. Jika aku membuat kejahatan, maka luruskanlah aku. Kebenaran itu satu amanah, kebohongan itu satu khianat. Yang paling lemah di antara kamu, aku anggap paling kuat sehingga aku mengambil dan memulangkan haknya.

“Yang paling kuat dalam kalangan kamu, aku anggap paling lemah sehingga aku mengambil hak si lemah dari tangannya. Janganlah seorang pun di antara kalian meninggalkan jihad kerana kaum yang meninggalkan jihad akan dihina oleh Allah.

“Patuhilah aku selama mana aku mematuhi Allah dan Rasul-Nya. Bila aku menderhakai Allah dan Rasul-Nya, tidak ada kewajipan patuh kepadaku”.

Dasar pemerintahan berintegriti

Ucapan oleh kedua-dua khalifah Islam itu sudah menggariskan satu dasar pemerintahan yang berintegriti ke arah membentuk sebuah kerajaan yang kuat lagi berwibawa.

Apa yang ditekankan oleh kedua-dua khalifah dalam pemerintahan mereka sudah mengisyaratkan kepada konsep dan dasar ‘timbang tara’ (check and balance) bagi kerajaan yang dibentuk.

Sudah tentu bagi membentuk sebuah kerajaan yang kuat lagi berwibawa, konsep timbang tara perlu menjadi amalan dalam sesebuah sistem pemerintahan.

Paling asas dalam melaksanakan konsep timbang tara ialah merealisasikan peranan ulama atau agamawan dalam memandu terbentuknya sebuah negara Islam moden yang mampu menjadi model kepada negara Islam lain.

Namun, ia mestilah dalam rangka mempertahankan prinsip asas Islam sebagai agama yang menawarkan keadilan dan rahmat untuk semua.

Rasulullah sudah menjelaskan gandingan peranan dan hubungan erat di antara kedua-dua golongan penting dalam pentadbiran kenegaraan, iaitu ulama dan umarak dalam hadis Baginda yang bermaksud: “Dua golongan manusia, apabila baik kedua-duanya, maka baiklah orang ramai (masyarakat). Apabila rosak kedua-duanya, maka rosaklah orang ramai. Mereka ialah ulama dan umarak (pemerintahan)”.

Hadis berkenaan membayangkan bahawa kedua-dua pihak perlu berperanan dalam konteks masing-masing.

Umarak atau pemerintah perlu mengambil pendapat ulama dalam melaksanakan agenda pembangunan negara. Mereka perlulah bersifat terbuka dalam menerima pendapat dan teguran yang diberikan ulama.

Ulama pula perlu memberi pendapat dan teguran secara ikhlas, benar, tegas dan konstruktif tanpa rasa takut tetapi tanpa menafikan semangat hormat kepada pemimpin.

Orang awam juga boleh turut serta dalam merealisasikan konsep timbang tara ke arah pembentukan sebuah negara kuat, progresif lagi dinamik, tetapi ia perlu dilakukan secara penuh beradab dan berhikmah bagi mengelakkan tercetus polemik dan ketidakharmonian hidup bernegara.

Justeru, bagi menjayakan aspirasi timbang tara ini, asas ilmu perlu menjadi keutamaan. Teguran dan pandangan dalam konteks timbang tara ini akan lebih membawa kerosakan dan impak negatif sekiranya diterjemahkan secara emosional.

Sebuah negara yang aman, makmur dan progresif akan terbentuk melalui pelaksanaan timbang tara yang dilaksanakan secara ikhlas dan berhikmah.

Penulis adalah Pensyarah Pusat Kesejahteraan Insan dan Komuniti, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia

344 dibaca
Berita Harian X