Jumaat, 14 September 2018 | 11:00am
- Foto hiasan

PAS, UMNO saling hapus prasangka

CAKAP-CAKAP mengenai kemungkinan hadirnya denyut nadi UMNO dalam lingkaran PAS bukan perkara baharu dan reaksi terhadap keadaan itu bagai sudah boleh dibaca, bergantung kepada khalayak yang dihampiri.

Dalam sejarah kewujudannya sejak hampir 67 tahun lalu, PAS konsisten dengan dasar perjuangan berlandaskan Islam yang berpaksikan al-Quran dan hadis.

Pernah Presiden PAS, Datuk Seri Hadi Awang, bersama beberapa pimpinan tertinggi parti dilapor bertemu bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi, pada 2008 yang secara dasarnya membincangkan maslahat politik PAS dan UMNO ketika itu, termasuk menelaah masa depan kerjasama politik kedua-dua pihak.

Bagaimanapun, keributan yang timbul susulan pertemuan terbabit pada waktu itu seolah-olah PAS dan UMNO sepakat membentuk ‘kerajaan perpaduan’, hingga mendominasi pelbagai lapisan ruang diskusi siasah di segenap pelosok negara.

Kesannya, beberapa nama besar dalam PAS yang dimomokkan cenderung menggerakkan idea itu perlahan-lahan diketepikan daripada arus perdana hierarki parti, termasuk bekas Timbalan Presiden PAS, Datuk Dr Nasharudin Mat Isa.

Beliau dianggap ‘mengkhianati’ perjuangan PAS yang selama-lamanya meletakkan UMNO dan Barisan Nasional (BN) sebagai musuh politik sedangkan Majlis Syura Ulama (MSU) memutuskan PAS perlu berbincang dengan parti yang mempunyai kepentingan Melayu Islam.

Anak kelahiran Negeri Sembilan itu ketawa mengimbau kisah sedekad lalu - detik yang menyaksikan beliau ditolak perwakilan, sekali gus mengakhiri pembabitan aktifnya bersama PAS sebagai orang nombor dua parti.

“Sejak dulu, saya berpegang kepada pendirian bahawa kata kuncinya ialah bekerjasama dengan pihak lain, bukannya PAS berubah jadi UMNO atau menyertai Barisan Nasional (BN). That was never the case.

“Itu yang saya tekankan 10 tahun lalu, namun ia disalah tafsir dan sesetengah pihak hanya mempercayai apa yang mereka mahu, bukan apa yang mereka tahu.

“Dasar PAS adalah Islam. Itu tidak pernah dan tidak akan berubah. Apa yang berbeza cuma uslub (pendekatan) dan kaedah mengikut kesesuaian suasana kerana politik perlu bersikap dinamik,” katanya dalam pertemuan eksklusif bersama BH, semalam.

Aliran pemikiran baharu

Dinamisme itu turut mencorakkan aliran pemikiran diperbaharui dalam PAS, terutama pasca Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) yang menyaksikannya kekal di blok pembangkang bersama UMNO/BN selaku rakan terkini.

Mursyidul Am PAS, Hashim Jasin, ketika merasmikan Muktamar Dewan Ulama PAS ke-57 kelmarin, antara lain mengingatkan pasca tragedi 13 Mei 1969 mendorong ulama parti mengharuskan PAS kerjasama dengan UMNO atas dasar kedudukan Islam digugat hingga tertubuh kerajaan campuran merangkumi PERIKATAN dan PAS.

Kini, kitaran sejarah seakan berulang dan PAS melihat musuh politiknya mulai meniupkan angin perpecahan dalam kalangan Melayu Islam.

Tanpa melupakan apa yang dilakukan UMNO sepanjang 60 tahun di tampuk kuasa termasuk tekanan terhadap PAS, Hashim mahu ahli PAS berjiwa besar kerana UMNO tidak lagi dilihat sebagai musuh PAS dan tiada ruang bagi amalan politik sempit dalam keadaan sedia ada.

UMNO tanpa kuasa sama seperti PAS selama ini, bezanya PAS terlebih dulu mengenal keperitan berjuang dalam kekangan.

Persoalannya, sebesar mana jiwa ahli PAS dalam menerima UMNO, terutama dalam keadaan UMNO yang datang mencari PAS mengharapkan sokongan?

PAS beralih kepada konsep taawun siyasi iaitu kerjasama politik merangkumi kesepakatan berhubung hal kepentingan bersama, khususnya demi maslahat atau kebaikan ummah.

Langkah itu dilihat lebih selamat bersama UMNO dan secara dasarnya tidak memakan diri PAS, berbanding tahaluf siyasi bersama pembangkang sebelum ini, termasuk DAP.

Ahli kedua-dua parti melihat sendiri bagaimana PAS memberi laluan kepada UMNO bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis baru-baru ini, manakala PAS menurunkan calonnya pada PRK DUN Seri Setia dan kempen calon dihadiri jentera kedua-dua parti.

Semalam, PAS mengesahkan sekali lagi melapangkan jalan buat UMNO bertanding pada PRK Parlimen Port Dickson - perhitungan yang bakal menyaksikan hala tuju Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, selepas ini.

Bagaimana corak penerimaan perwakilan Muktamar PAS ke-64 terhadap keakraban dua parti itu bersama UMNO?

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, dilapor bakal menghadiri perasmian Muktamar PAS di Kuala Terengganu, esok - sesuatu yang hampir pasti tidak pernah melintasi pemikiran ahli dan penyokong kedua-dua parti majoriti orang Melayu itu sebelum ini.

Hati, pemikiran dan perlakuan manusia pantas berubah, dengan atau tanpa sebab. PAS dan UMNO saling memerlukan demi kelangsungan perjuangan tanpa mengorbankan dasar tersendiri.

Gelombang evolusi siasah

Ringkasnya, apa yang dibincang 10 tahun lalu bakal menjadi kenyataan di pentas Muktamar PAS bermula esok, manakala nada perbahasan perwakilan akan memberi gambaran sejauh mana penerimaan atau penolakan berdepan gelombang evolusi siasah ini.

Sahnya Ahmad Zahid sebagai Presiden UMNO tidak terhakis hanya dengan menghayati ucapan dasar Hadi, seperti mana Hadi tetap Presiden PAS apabila diberitakan menerima undangan perasmian Perhimpunan Agung UMNO, hujung bulan ini.

Nasharudin yang kekal menjadi ahli PAS sehingga kini, melihat kedua-dua parti lebih mendapat manfaat menerusi ‘taawun siyasi’, atas justifikasi masing-masing bukannya parti picisan yang mencari ruang bertapak.

Baginya, PAS dan UMNO semakin memahami kepentingan untuk bertemu di titik tengah serta saling melengkapi tanpa mengetepikan acuan asal masing-masing.

“Dalam aspek tertentu, mereka berada di halaman dan perenggan yang sama. Ia permulaan meyakinkan, dengan syarat PAS dan UMNO mengetahui batas sempadan masing-masing.

“Bagaimanapun, dalam sesetengah keadaan, mungkin berlaku pertembungan pandangan dan itu mesti dihormati. PAS dan UMNO perlu ‘bersetuju untuk tidak bersetuju’ kerana ia lumrah dalam mana-mana bentuk kerjasama,” katanya.

Selepas sekian lama mengenali keperibadian pemimpin, penyokong dan ahli PAS, mereka jarang membentak atau menelanjangkan kepincangan parti di khalayak, sebaliknya terbuka membuat teguran hatta terhadap Hadi sendiri atau MSU selaku badan tertinggi parti, ketika DAP dilihat memperlekehkan PAS satu masa dulu.

Pentas muktamar esok akan menjadi penanda aras sejauh mana taawun siyasi PAS-UMNO bakal mencipta episod baharu politik tanah air dengan warna tersendiri, menggalas bersama nurani penyokong kedua-dua parti.

642 dibaca
Berita Harian X