Khamis, 13 September 2018 | 9:11am

Anwar mula mengorak langkah

DI dalam lif di ibu pejabat Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Tropicana, Petaling Jaya, terpampang gambar hitam putih separuh muka Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam ‘mood’ ceria dan perkataan dalam bahasa Inggeris di sebelah gambar itu pula tertulis I’M BACK’ (Saya Kembali). Tidak pasti sejak bila gambar itu diletakkan di dalam lif berkenaan.

Bukan susah untuk memahami perkataan ‘I’M BACK’ setelah bekas Timbalan Perdana Menteri itu diberi pengampunan oleh Yang di-Pertuan Agong 16 Mei lalu dan sejak itu, boleh bergerak bebas seperti orang biasa. Ia seakan kata-kata yang pernah diungkapkan pelakon terkenal, Arnold Schwarzenegger kecuali tiada perkataan Hasta la vista, baby! iaitu slogan dalam bahasa Sepanyol yang digunakannya dalam filem Terminator 2 bermaksud ‘jumpa lagi’.

Pejabat bakal Presiden PKR itu pula terletak di tingkat 3A bangunan berkenaan, dan di dindingnya terpampang gambar waktu muda Anwar bermain jet ski. Dipercayai gambar itu dirakam ketika Anwar menyandang jawatan Timbalan Perdana Menteri pada 1990-an dan pernah menghiasi muka depan majalah Asiaweek yang kini tidak diterbitkan lagi.

Kini Anwar melangkah setapak lagi dalam arena politik. Pertama pembebasannya dari penjara selepas pengampunan diberi, kedua memenangi jawatan Presiden PKR tanpa dicabar dan akan disahkan ke jawatan itu November ini.

Ketiga pula ialah untuk bertanding dalam pilihan raya kecil (PRK) bagi membolehkannya kembali ke Parlimen. Kerajaan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini sudah menetapkan Anwar bakal menjadi Perdana Menteri ke-8 selepas Tun Dr Mahathir Mohamad. Sebab itu, pemerhati sebelum ini berpendapat, selagi Anwar belum menjadi Ahli Parlimen, selagi itu langkahnya untuk ke Putrajaya masih ‘samar-samar’ apatah lagi, jika apa-apa berlaku terhadap Dr Mahathir yang kini sudah berusia 93 tahun, Anwar sukar mengam- bil alih selagi belum menjadi Ahli Parlimen.

Umum kosongkan kerusi Parlimen Port Dickson

Ketika pengumuman dibuat oleh Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Danyal Balagopal Abdullah dalam satu sidang media khas di Ibu Pejabat PKR untuk mengosongkan kerusi itu menjelang tengah hari semalam, Anwar masih berada di Hong Kong dan hanya tiba di ibu negara petang semalam.

Dengan itu juga, satu lagi PRK bakal diadakan dalam tempoh terdekat ini untuk membolehkan Anwar kembali ke Parlimen iaitu PRK ke-4 selepas PRU-14.


Gambar Anwar bermain jet ski yang terpampang di dinding pejabatnya di Ibu pejabat PKR, Petaling Jaya.

Ketika pertemuan ekslusif dengan NSTP baru-baru ini, Anwar buat kali pertama mendedahkan bahawa beliau mungkin kembali ke Parlimen seawal Oktober ini. Kini, ia menjadi kenyataan dan tunggu pengumuman rasmi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengenai tarikh penamaan calon dan pengundian untuk PRK Port Dickson.

“Sekarang saya rasa cergas, tiada masalah dan saya tidak perlu kembali ke Turki untuk rawatan susulan,” kata Anwar, 70, dalam temu bual khas di pejabatnya di Tropicana, Petaling Jaya baru-baru ini. Anwar memang terkenal dengan keceriaan dan berjenaka. “Tengok, saya tak pakai stokin, sebab saya tak boleh nak tunduk masukkan stokin. Insya-Allah lepas ini OK,” katanya sambil berseloroh.

48 Ahli Parlimen PKR

Menjadi Presiden PKR amat penting kerana PKR mempunyai 48 Ahli Parlimen, iaitu parti paling banyak Ahli Parlimen dalam kalangan rakan dalam PH, sekali gus memberi Anwar locus standi untuk mengambil alih jawatan Perdana Menteri.

Mungkin untuk menang kerusi Parlimen Port Dickson tiada masalah bagi Anwar kerana ia dianggap sebagai kerusi ‘paling selamat’ untuk PKR dan Anwar. Malah, untuk memilih kawasan ditandingi juga bukan satu masalah setelah ramai kalangan Ahli Parlimen menawarkan kerusi untuk Anwar sebelum ini.

Tetapi yang menjadi persoalannya nanti ialah bilakah Anwar mengambil alih jawatan Perdana Menteri atau bilakah Dr Mahathir akan turun untuk menyerahkan jawatan penting itu.

Persoalan ini timbul di sebalik cakap-cakap sebelum ini bahawa wujud puak tertentu untuk menghalang Anwar menjadi Perdana Menteri. Malah ada yang mempertikaikan tiada perjanjian bertulis dalam kalangan pemimpin PH apatah lagi tempoh dua tahun Dr Mahathir memegang jawatan Perdana Menteri.

Tetapi dalam temu bual khas itu, Anwar menjelaskan bahawa memang ada perjanjian ditandatangani. “Saya ingin jelaskan bahawa ada perjanjian yang ditandatangani. Saya sendiri banyak pengalaman, menunggu berpuluh tahun tetapi saya bertawakal dan ikhtiar. Saya tidak fikir ia akan begitu rumit, namun saya tidak menafikan ada permainan biasa dalam politik. Saya pernah melalui pengalaman perit pada 1998, jadi saya tahu dan saya tidak naif seperti dahulu.

“Ada dalam kalangan rakan yang bertanya dan memberi nasihat supaya tidak berulang lagi kejadian dahulu, tetapi saya menjawab bahawa kita sekadar berusaha dan ikhtiar secara maksimum. Sudah ada perjanjian (untuk menjadi Perdana Menteri) dan perkara ini sudah diumumkan, malah Dr Mahathir sendiri berulang kali menyebut perkara ini. Bagi saya sudah cukup melainkan Allah mentakdirkan saya pergi dahulu. Saya fikir laluan itu akan menjadi kenyataan insya-Allah,” katanya.

Bagaimanapun, Anwar mengakui perjanjian itu tidak menyebut mengenai tarikh atau tempoh masa secara tepat sebab ketika perjanjian itu dibuat, ‘saya masih di dalam penjara’.

“Kini episod sudah berakhir, terdapat konsensus dalam kalangan pimpinan (Pakatan Harapan) dan saya turut berkongsi pendapat bahawa perlu diberi ruang kepada Dr Mahathir untuk menguruskan urusan negara, tanpa sebarang halangan dan tekanan. Dr Mahathir pada usia 93 tahun sudah menjelaskan bahawa beliau ada tugasan yang perlu dilaksanakan untuk memastikan transformasi negara dan peralihan berlaku dalam keadaan aman serta perubahan yang ingin dilakukan, dapat dilaksanakan,” katanya.

Bagaimana pula kalau Anwar tewas dalam PRK di Port Dickson? Menurut pakar perlembagaan di Universiti Islam Antarabangsa, Prof Dr Nik Ahmad Kamal, tiada masalah untuk Anwar terus bertanding selepas itu kerana beliau tidak ada sabitan kes mahkamah dan sudah diampunkan.

Namun, untuk mempercayai Anwar akan kalah mungkin agak keterlaluan dan pastinya jentera PH dan PKR akan digerakkan sepenuhnya bagi memastikan bukan sahaja kemenangan malah, majoriti besar melebihi 17,710 undi yang diperoleh calon PKR pada PRU-14 lalu.

Tumpu pemilihan dalam PKR

Selain PRK yang dijangka diadakan akhir bulan ini atau awal Oktober, tumpuan juga sudah pasti terarah kepada pemilihan dalam PKR, terutama saingan merebut jawatan Timbalan Presiden PKR antara Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Rafizi Ramli, pada November nanti.

Selepas Anwar menjadi Perdana Menteri, sudah pasti persoalan siapa bakal Timbalan Perdana Menteri yang menjadi pilihannya. Agak janggal andai Datuk Seri Wan Azizah Ismail terus mengekalkan jawatan nombor dua dalam kerajaan, jika Anwar menyandang jawatan Perdana Menteri.

Anwar sendiri pernah ditanya berkaitan isu ini dan jawapannya ialah:

“Jika anda mengenali saya, saya masih seperti dulu. Saya harap lebih matang dalam usia sebegini, lebih bijak. Saya seorang demokratik, saya percaya keadilan dan benci kepada ketidakadilan. Rakyat kenal siapa saya. Penting untuk saya sentiasa konsisten.

“Saya ada etika dan karakter. Itu yang negara perlukan. Sekarang Dr Mahathir ada tugas besar disebabkan semua masalah yang melanda negara. Saya mendoakan beliau berjaya. Mengenai siapa timbalan saya jika dilantik sebagai Perdana Menteri kelak, itu bukan keputusan saya. Kita ada konsensus namun, apa yang lebih penting ialah saya perlu memegang jawatan Perdana Menteri terlebih dahulu,” katanya kepada NSTP.

Bagi Anwar, sama ada Azmin atau Rafizi, kedua-duanya perlu dalam PKR tetapi beliau enggan melayan persepsi kononnya Rafizi disokong secara terbuka oleh beberapa pimpinan parti, manakala Azmin dikatakan pilihan Dr Mahathir.

“Saya tidak suka sangat melayan persepsi sebab kedua-dua tokoh penting ini komited kepada agenda perjuangan parti. Soal peribadi agak berbeza, soal penekanan isu juga berbeza dan saya ambil pendekatan bahawa sebagai wadah demokrasi, kita harus beri ruang kepada pertandingan yang sihat. Pemimpin harus mengungkapkan pandangan mereka dan berwacana secara segar serta bebas. Persepsi yang timbul itu, saya tidak fikir ia menular ke tengah gelanggang khalayak penyokong parti,” katanya.

3833 dibaca
Berita Harian X