Isnin, 14 Mei 2018 | 10:10am
GAMBAR fail, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad (tengah) bersama barisan tertinggi Pakatan Harapan pada Malam Semarak Tsunami Rakyat di Taman Keramat, Kuala Lumpur pada 6 Mei lalu. - Foto Rosdan Wahid

Mengurus demokrasi pasca PRU-14

UMUM telah tahu keputusan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lalu yang menzahirkan betapa besarnya kuasa rakyat yang mampu mengubah kerajaan dan kepemimpinan negara.

Hampir seminggu berlalu, namun di sana sini masih banyak pihak memperkatakan mengenai keputusan PRU kali ini, lebih-lebih lagi dalam perbincangan di media sosial.

Keputusan pada Rabu lalu juga membangkitkan emosi yang berbaur dalam kalangan rakyat. Ada yang gembira, teruja, terkesima dan tidak kurang yang berkira-kira untuk melihat apakah kesudahan politik Malaysia pasca PRU-14.

Emosi demokrasi rata-rata rakyat Malaysia dengan keputusan PRU-14 ini boleh dilihat dalam pelbagai bentuk, terutama paparan di media sosial.

Namun, dalam kita meraikan kebebasan dan keterbukaan, kegembiraan yang melampau dan berlebihan atau apa yang disebutkan sebagai euforia perlu dihindarkan.

Hal ini kerana ia akan menyebabkan rakyat leka, alpa dan terbuai-buai sehingga tidak bersikap rasional dan berat sebelah dalam menilai sesuatu perkara.

Justeru, marilah kita meraikan detik keterbukaan ini dengan berjiwa besar dan meraikan perbezaan pandangan.

Sikap bersetuju untuk tidak bersetuju atau agree to disagree misalnya, perlu menjadi prinsip penting dalam apa juga perdebatan yang akhirnya diharap dapat memberi manfaat kepada kita semua.

Kebebasan akademik

Antara kebebasan yang sering dibangkitkan adalah kebebasan akademik. Apakah kebebasan akademik benar-benar wujud?

Isu mengenai pandangan ahli akademik yang berbeza dengan jalur pemikiran kerajaan ketika selalu menjadi tumpuan perdebatan.

Kita percaya mana-mana kerajaan di dunia tidak boleh mengkesampingkan pandangan ahli akademik asalkan pandangan itu bersumberkan kajian dan bersandarkan kebenaran.

Sebelum ini, memang ada ahli akademik terbabit dalam proses pembentukan dasar melalui pelbagai platform. Kita berharap, pembabitan ahli akademik ini boleh dipertingkatkan lagi dengan menggunakan kepakaran mereka demi kesejahteraan Malaysia.

Pada masa sama, wacana atau diskusi mengenai demokrasi perlu digiatkan pada pelbagai peringkat bagi meningkatkan literasi politik dan demokrasi dalam kalangan rakyat Malaysia.

Demokrasi tidak boleh lagi disorot dalam sudut politik kepartian semata-mata, sebaliknya ia menyentuh soal yang lebih inklusif dan berkepentingan ramai seperti keadilan sosial serta pemerintahan yang baik dan berintegriti.

Kini, rakyat Malaysia meletakkan harapan sangat tinggi kepada kerajaan baharu di bawah kepemimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad, tokoh yang tidak asing lagi dalam hal ehwal pentadbiran negara kerana pernah menjadi Perdana Menteri selama 22 tahun.

Faktor Tun Dr Mahathir boleh menjadi pengimbang kepada ahli Kabinet, terutama mereka yang belum ada pengalaman dalam pentadbiran khususnya pada peringkat Persekutuan.

Politik konsensus

Seperti yang kita sedia maklum, kerajaan baharu berpegang teguh kepada konsep konsensus dan hak sama rata antara parti politik komponen, menolak konsep dominasi mana-mana parti dalam pakatan atau kerjasama politik mereka.

Dalam hal ini, semua parti dalam PH adalah sama tarafnya dan tidak ada yang mengatasi antara satu sama lain. Dalam kata lain, asas pendekatan kerjasama politik dalam PH adalah konsensus kerana tiada parti boleh mengatasi antara satu sama lain.

Ahli Parlimen Kuala Selangor, Dr Dzulkefly Ahmad dalam bukunya, Striving For Change ada menyebut bahawa We are not senior nor junior partner to anyone. We are equal footing. Policies get passed through concensus building.

Ini bermakna konsep parti yang dominan tidak wujud, malah cara penghasilan keputusan PH adalah membabitkan kesetaraan dan persetujuan semua parti komponen.

Tidak dinafikan bahawa konsep konsensus dan hak sama rata ini bukan suatu perkara yang mudah walaupun tidak mustahil dilaksanakan.

Sebagai contoh, proses pengagihan kerusi Kabinet antara PKR, DAP, Parti Amanah Negara (Amanah) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang sedang diperkatakan, menguji tahap kesepakatan kepemimpinan tertinggi kerajaan.

Komen dan rasa tidak puas hati Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli terhadap pengagihan jawatan menteri Kabinet yang diumumkan Dr Mahathir beberapa hari lalu, membuktikan amalan konsensus sangat kritikal, khususnya dalam pembentukan kerajaan baharu.

Kita percaya pembentukan Kabinet ini akan dapat diselesaikan dengan baik demi rakyat yang pastinya juga ternanti-nantikan barisan pasukan baharu kerajaan dengan penuh harapan.

Rakyat yang semakin matang akan menerima siapa sahaja pemimpin yang dilantik dalam Kabinet asalkan terus membawa misi perjuangan massa. Pendek kata, rakyat Malaysia mahupun pemimpin yang mendahulukan rakyat, bukan kepentingan peribadi.

Apa yang jelas, mengurus demokrasi pasca PRU-14 dilihat akan banyak tertumpu kepada soal atau wacana kebebasan rakyat dan integriti kerajaan, juga pemimpin.

Demokrasi semakin menjadi inklusif apabila semua pihak terbabit, namun paling penting, usaha membina Malaysia yang lebih gemilang bukan tugas Perdana Menteri dan kerajaan semata-mata, sebaliknya usaha semua pihak.

Ia kerana 'Malaysia adalah rumah kita'.

Penulis adalah Profesor Madya di Fakulti Ekologi Manusia UPM, Felo Bersekutu Majlis Profesor Negara (MPN)

1746 dibaca
Berita Harian X