Ahad, 15 April 2018 | 6:55am

Terpilih atau tidak jadi calon, bersyukurlah

LEBIH kurang dua minggu lagi atau lebih tepat pada 28 April ini sudah diisytiharkan sebagai hari penamaan calon untuk Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14). Isu pihak yang mempertikaikan hari pengundian yang jatuh pada 9 Mei bersamaan hari Rabu juga semakin reda. Pakar sejarah Islam semalaman juga sudah menutup hujahnya selepas mengemukakan beberapa peristiwa pada zaman nabi yang dipercayai berlaku pada Rabu, antaranya kisah Allah membinasakan tujuh kaum kafir dengan tujuh macam azab pada hari Rabu. Dikatakan juga oleh 'pakar' ini, Allah menurunkan 320,000 bala setiap tahun, terutama pada Rabu akhir bulan Safar.

Seperti sebelumnya pada mana-mana PRU, ada individu akan mengeluarkan pandangan atau 'fatwa' mengenai hukum mengundi calon bukan Islam. Yang ekstrem akan mengatakan haram berlandaskan ayat al-Quran atau hadis, selain mengutip pandangan pelbagai ulama silam untuk mengiyakan hujahnya, manakala yang sederhana melabelkan harus bukan Islam dilantik sebagai pemimpin selagi mereka tidak mengancam Islam dan penganutnya.

Spekulasi calon bertanding juga semakin rancak, baik dalam kalangan parti pemerintah mahupun pembangkang. Ada yang sudah mengiyakan, menafikan mahu bertanding semula atau menggambarkan dirinya diberi tempat pucuk kepemimpinan tertinggi parti. Pada masa sama, sudah mula kedengaran ada pemimpin parti tertentu melahirkan kekecewaan kerana nama difahamkan tidak tersenarai, kawasan 'jagaannya' bertukar parti atau jangkaan akan dicalonkan kali ini meleset.

Itu adalah antara senario dalam kalangan masyarakat kita untuk menjadi pemimpin. Semakin tinggi kedudukan yang diinginkan, semakin banyak kerenah yang bakal muncul. Persoalannya, sedarkah mereka tanggungjawab yang perlu digalas sebagai pemimpin, apatah dilihat secara mikro dari sudut agama.

Adakah mereka pernah membaca mengenai Khalifah Umar Abdul Aziz yang menangis tersedu-sedu ketika diangkat sebagai khalifah Islam pada zaman Bani Umayyah, selain kisah empat imam mazhab yang muktabar menolak menjadi ketua atau diberi jawatan penting, sebaliknya lebih rela memilih dipenjarakan.

Menurut ceritanya, Umar memasukkan kepala ke dalam dua lututnya dan menangis tersenggut-senggut. Dalam tangisnya, Umar mengucapkan kalimat: "Innalillah hiwainna ilaihi rojiun. Demi Allah, sesungguhnya aku tidak meminta urusan ini sedikit pun, baik dengan sembunyi-sembunyi mahupun dengan terang-terangan." Begitu juga kisah Imam Ahmad bin Hambal (mazhab Hambali), Imam Muhammad Idris (Syafie), Imam Malik Anas (Imam Malik) dan Imam Abu Hanifah (Hanafi) yang menolak jawatan tinggi kerana mempertahankan kebenaran dan takutkan Allah.

Sewajarnya, bakal calon atau mereka yang terlepas daripada menjadi calon bersyukur. Bakal calon perlu memikul tanggungjawab yang besar jika terpilih nanti, manakala mereka yang tidak berpeluang, boleh menghela nafas lega kerana terlepas daripada seksaan di akhirat kelak jika gagal melaksanakan amanah Allah itu.

Oleh itu, mana-mana individu yang begitu yakin dapat memenuhi amanah sebagai pemimpin, mereka mesti mempunyai semangat, roh dan motivasi seperti Khalifah Umar Abdul Aziz, bukan hanya menjadikan beliau sebagai alat, simbol dan slogan politik semata-mata.

Pemilihan pemimpin sudah berlaku sejak zaman Rasulullah SAW dan sahabat walaupun pemilihan pemimpin pada zaman itu berbeza dengan mekanisme pilihan raya pada masa kini.

Hakikatnya, Islam mengiktiraf pilihan raya sebagai satu mekanisme pemilihan pemimpin yang bersesuaian dengan tuntutan dan keadaan semasa, selagi ia tidak bercanggah dengan hukum syarak. Bagi kita di Malaysia, seeloknya jika mahu pilih pemimpin, bak kata bidalan, condong yang akan menongkat, rebah yang akan menegakkan.

832 dibaca
Berita Harian X