Sabtu, 14 April 2018 | 6:59am
KERAJAAN yang stabil memastikan agenda pembangunan ekonomi negara diyakini pelabur pada peringkat nasional dan antarabangsa. - Foto hiasan

Pilih kerajaan stabil perjuang agenda ekonomi

PERKATAAN ekonomi tidak digunakan dengan meluas pada awal abad ini di seluruh dunia, malah ia juga bukan agenda utama kerajaan dalam perancangan pembangunan negara pada masa itu sehinggalah berlakunya krisis ekonomi meruncing sekitar 1930-an.

Dalam agenda pembentukan kerajaan seperti dalam kempen politik ketika pilihan raya juga, perkataan ekonomi tidak menjadi manifesto utama pada awal kurun ini.

Contohnya di United Kingdom, perkataan ekonomi hanya digunakan dua kali dalam manifesto parti yang menang pilihan raya umum antara 1900 hingga akhir Perang Dunia Kedua.

Parti Konservatif pula menggunakan istilah ekonomi hanya sekali dalam kempen pilihan raya pada 1950 dan 10 kali pada 1955.

Dalam kempen pada 2015, perkataan yang menjurus kepada keadaan ekonomi telah digunakan sebanyak 59 kali dalam manifesto parti di negara berkenaan.

Di negara kita, perkataan dan agenda ekonomi digunakan dengan meluas lebih terkemudian daripada negara Barat, iaitu hanya selepas 1960 dengan wujudnya Rancangan Malaysia Pertama (RMKe-1).

Bagaimanapun, perkataan ekonomi diguna pakai dengan lebih meluas selepas peristiwa bersejarah 13 Mei 1969.

Ekonomi dominasi demokrasi

Gagasan baharu telah digunakan dalam menstruktur semula masyarakat majmuk berteraskan inclusivity dan bukan lagi kepada pengkelasan ekonomi. Natijahnya, perkataan ekonomi diguna secara nyata dan jelas dalam pembentukan Dasar Ekonomi Baharu (DEB).

Ironinya ialah istilah yang hampir tidak wujud 100 tahun dulu kini menjadi nadi utama dalam semua perancangan dan pembuat keputusan. Manifesto dalam kempen politik masa kini terutama pada musim pilihan raya berkisar mengenai isu ekonomi.

Jika ada mana-mana parti politik yang tidak mengetengahkan perancangan ekonomi yang diyakini masyarakat, mereka akan lenyap dan tenggelam dalam gelombang tsunami ekonomi.

Ahli ekonomi menjelaskan fenomena itu dengan istilah 'ekonokrasi', yang mana kekuatan dasar dan pencapaian ekonomi telah mendominasi demokrasi.

Sebagai masyarakat umum dalam negara demokrasi era ekonokrasi, memahami agenda dan pelaksanaan ekonomi adalah sangat penting. Penggubal dasar yang dipilih perlu memahami perjalanan sistem ekonomi dengan tepat dan menyeluruh.

Salah faham mengenai proses pembangunan ekonomi negara boleh menjadikan negara itu tidak berada pada tahap kecekapan optimum, sama ada dalam penentuan harga atau agihan sumber.

Natijahnya, pembangunan ekonomi akan terencat dan masyarakat akan menanggung beban kecekapan suboptimum berpanjangan.

Sekurang-kurangnya ada tiga perkara yang perlu diambil perhatian dengan serius bagi menjayakan agenda pembangunan ekonomi dalam proses pemilihan demokrasi.

Pertama, sumber manusia yang berdaya saing, kompetitif dan berteknologi tinggi. Dasar kerajaan tidak boleh mengorbankan kepentingan menambah daya saing sumber manusia dengan agenda lain.

Pelaksanaan dasar dan sistem pendidikan berorientasikan kemajuan modal insan mesti mendasari semua lapisan masyarakat tidak mengira bangsa, agama dan tempat. Pendidikan dan memperkasa sumber manusia adalah agenda utama tanpa kompromi.

Kedua, kemajuan ekonomi memerlukan teknologi terkini dalam semua sektor pembuatan barangan dan perkhidmatan.

Hanya manifesto yang membantu percambahan kepada rangsangan pelaburan, sama ada di dalam atau luar negara, swasta atau kerajaan yang menepati kehendak industri dalam pelaburan teknologi terkini sahaja yang perlu dipertimbangkan.

Kegagalan meningkatkan suntikan modal berpunca daripada prasarana yang tidak kondusif dan keyakinan kepada pulangan pelaburan yang rendah mengakibatkan kegagalan sistem ekonomi untuk mencapai optimum.

Walaupun wujud modal manusia yang kompeten dan teknologi pembuatan tercanggih, pertumbuhan ekonomi masih lagi boleh tergendala jika persekitaran terdedah kepada keganasan antara kaum, ketidakharmonian antara negara kerana dasar luar tidak seragam atau ancaman keganasan agama.

Sebagai contoh, faktor luaran yang mengakibatkan rusuhan atau peperangan di negara bergolak di Asia Barat telah menjejaskan kelancaran aktiviti ekonomi harian oleh syarikat.

Penting kerajaan stabil

Tidak kurang juga pentingnya kerajaan yang stabil lagi mendukung agenda pembangunan ekonomi yang diyakini pelabur antarabangsa dan nasional.

Kemerosotan kemasukan pelabur luar ke Malaysia akan menjejaskan struktur pekerjaan di semua sektor. Kesan limpahan pelaburan langsung asing (FDI) diperlukan dalam semua sektor ekonomi.

Masyarakat Malaysia yang matang semestinya memikirkan dengan mendalam sebelum membuat tindakan dengan mengambil kira apakah kesan baik dan buruk pembentukan sesebuah kerajaan.

Adakah kerajaan yang akan dibentuk mampu menggerakkan agenda ekonomi ke tahap tertinggi dengan kesepaduan kecekapan semua sektor.

Kegagalan fungsi sistem ekonomi ke tahap optimum, mengakibatkan kelembapan ekonomi berpanjangan. Keputusan yang terburu-buru dan berbaur emosi mungkin terpaksa dibayar dengan harga yang tinggi. Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada berguna.

Penulis adalah Timbalan Dekan Penyelidikan dan Inovasi, Fakulti Ekonomi dan Pengurusan UKM

360 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »