Selasa, 13 Februari 2018 | 6:44am

Dakyah doula ancam keselamatan ibu, bayi

KEJAYAAN Malaysia mengurangkan separuh Kadar Kematian Ibu (MMR) antara 1957 hingga 1970 disifatkan kemajuan besar kesihatan umum di negara ini.

Ketika itu nisbah MMR mencatat penurunan daripada 280 kes kepada 141 bagi setiap 100,000 kelahiran hidup. Angka 2017 pula menunjukkan kadar kematian bayi dalam setiap 1,000 kelahiran hanya 12.5, berbanding 12.9 kes pada 2016 dan 13.69 pada 2014.

Malangnya, ketika negara dianggap sudah mencapai peratusan kelahiran selamat yang diiktiraf Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dalam menyediakan anggota kesihatan terlatih untuk mengendalikan kelahiran, masih ada yang memilih memandang ke belakang.

Mereka menolak sepenuhnya kaedah rawatan moden masa kini, terpengaruh dengan pelbagai dakyah yang diburukkan lagi dengan kemunculan kumpulan 'bidan jadian' bergelar 'doula' atau peneman kelahiran.

Doula bukan saja semakin menjadi pilihan kebanyakan bakal ibu tetapi lebih teruk, sesetengah daripada mereka mula mengambil alih tugas pakar perubatan dan perbidanan.

Khidmat ditawarkan mereka yang dikatakan bermula di negara ini 10 tahun lalu, tidak sekadar semakin agresif membuat promosi menerusi media sosial, tetapi berjaya mempengaruhi ramai bakal ibu untuk menolak kepakaran perubatan moden.

Apa yang membimbangkan kita apabila tindakan mempromosi kelahiran secara fitrah dan dilakukan di rumah lebih mengundang bahaya kepada ibu dan anak yang bakal dilahirkan.

Beberapa hari lalu, media melaporkan polis sedang menyiasat kes kematian seorang bayi baru lahir yang disyaki mempunyai kaitan dengan khidmat doula, dalam kejadian di Johor Baharu.

Doula sebenarnya hanyalah peneman ibu hamil ketika proses kelahiran dan kehadiran mereka diharap dapat membantu wanita bersalin dengan tenang.

Namun, pengaruh mereka semakin kuat sehingga mampu meyakinkan bakal ibu bahawa kelahiran secara semula jadi di rumah tanpa kehadiran doktor atau sekurang-kurangnya jururawat bertauliah lebih baik berbanding kelengkapan perubatan serba moden dan canggih di hospital.

Sanggup gadai nyawa

Sanggup pula ibu hamil menggadai nyawa sendiri dan bersama pasangannya, mempertaruhkan nyawa bayi yang bakal dilahirkan apabila lebih percaya ilmu doula yang diperoleh menerusi 'pengajian' singkat secara dalam talian.

Mereka tidak mahu proses bersalin dikendalikan doktor atau pakar yang menimba ilmu perubatan bertahun-tahun di universiti atau diawasi jururawat terlatih.

Sukar dipercayai semakin ramai yang termakan hasutan doula sehingga berani mengambil risiko bersalin sendirian tanpa pengawasan pakar perbidanan bertauliah.

Paling teruk, ada sesetengah doula turut menyebarkan dakyah atau amalan seperti melambatkan pemotongan tali pusat sehingga berjam-jam lamanya, tidak segera mengeluarkan uri dan tidak memberi imunisasi kepada bayi.

Isu aurat tidak sepatutnya menjadi alasan untuk 'menghalalkan' perbuatan mereka tidak bersalin di hospital kerana sudah ada hospital di negara ini menawarkan khidmat bersalin menutup aurat, selain menyediakan seluar bersalin mesra aurat.

Dalam hal ini, nyawa ibu dan anak perlu menjadi keutamaan berbanding aurat memandangkan situasi yang dihadapi bukanlah sesuatu yang disengajakan.

Penjelasan Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri sudah cukup untuk membuktikan bahawa nyawa adalah paling utama dalam kes melahirkan bayi.

Sehubungan itu, kita amat berharap pihak berwajib terutama Kementerian Kesihatan tampil membendung penyebaran dakyah golongan doula ini demi memastikan keselamatan ibu dan anak yang bakal dilahirkan.

1499 dibaca
Berita Harian X