Isnin, 12 Februari 2018 | 6:38am

Martabatkan JAKIM jadi suruhanjaya

SEMAKIN dekat pilihan raya umum Ke-14 (PRU-14), isu pada peringkat nasional membabitkan Islam pasti akan memberi kesan ke atas mana-mana parti yang ingin menawan sokongan pengundi Melayu Islam.

Isu Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) yang dilihat tiada berperlembagaan dan tidak mempunyai kuasa dalam menyelesaikan pelbagai permasalahan umat Islam, termasuk penghinaan ke atas Islam, pasti menjadi isu panas.

Dalam isu ini, UMNO mempunyai kelebihan berbanding PAS dalam memartabatkan JAKIM menjadi satu suruhanjaya seperti Badan Pencegah Rasuah (BPR) yang dimartabatkan menjadi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Sudah tiba masanya satu Pelan Islamisasi Nasional digerakkan dengan penubuhan jawatankuasa kerjasama di antara kerajaan negeri dan Pusat dalam soal penyelesaian isu berkaitan umat Islam.

Walaupun sebelum ini ada pelbagai masalah, perundingan penyelarasan secara diplomasi dilakukan dari satu negeri ke satu negeri dengan membabitkan cabang kuasa eksekutif, kerajaan negeri dan Raja Melayu.

Contohnya Majlis Tanah Negara mampu diwujudkan, walaupun tanah adalah bidang kuasa negeri, tetapi boleh diuruskan oleh Kerajaan Pusat.

Memartabatkan JAKIM menjadi suruhanjaya sebenarnya memberi ruang kepada kerajaan dalam penilaian pelaksanaan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (Akta 355) dan penyelarasan kuasa di antara mahkamah sivil dan Mahkamah Syariah.

Selesai segera isu

Penyelarasan kuasa Mahkamah Syariah dalam hal berkaitan umat Islam di negara ini perlu diselesaikan sebelum terlewat. Berlaku kelompangan dari segi penguatkuasaan dalam cabang bidang kuasa kehakiman.

Akibatnya boleh menjurus kepada insiden yang tidak sepatutnya seperti kes Lina Joy dan sebagainya.

Ia seterusnya dapat memperkukuhkan kuasa kedaulatan Raja-Raja Melayu sebagai ketua agama negeri dan fungsi Yang di-Pertuan Agong sebagai ketua agama Islam Persekutuan Malaysia selaras Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan.

Suruhanjaya ini juga dapat menangani permasalahan bagi golongan yang suka menghina dan memperlekehkan Islam yang menjadi agama Persekutuan.

Isu ini juga amat penting kerana dapat membantu memperkukuhkan Pendaftar Agama Islam bagi mereka yang memeluk Islam. Kes berkaitan keabsahan kuasa perundangan pentadbiran ke atas pemelukan saudara baharu boleh dicabar di mahkamah sivil.

Pada 29 Januari lalu, Mahkamah Persekutuan Putrajaya membuat penghakiman bersejarah apabila memutuskan individu memeluk Islam dan pasangan bukan Islam mesti memberi persetujuan bagi penukaran agama anak bawah usia kepada Islam.

Panel lima hakim disidangi Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin; Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Richard Malanjum serta Hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri Zainun Ali, Tan Sri Abu Samah Nordin dan Tan Sri Ramly Ali mengetepikan keputusan berhubung penukaran agama tiga anak guru TADIKA, M Indira Gandhi oleh bekas suaminya yang juga seorang mualaf.

Dalam kes itu, ada dua persoalan mengenai kuasa Mahkamah Tinggi ke atas tindakan perundangan Pentadbir Mualaf Perak.

Pertama, dalam hal pemelukan Islam oleh saudara baharu mengikut Enakmen Pentadbiran Agama Islam Perak 2004 mengikut Seksyen 23, 24 dan 25 dan Jadual Akta Pengadilan Mahkamah 1954.

Kedua, kes itu mempersoalkan hak kuasa ibu atau bapa yang memeluk Islam mendaftar anak sebagai Islam, mengikut agama salah seorang pasangannya.

Apa yang menarik dalam kes ini adalah implikasi ke atas saudara baharu memeluk Islam di bawah kuasa perundangan pentadbiran negeri. Sesiapa yang memeluk Islam pada masa lalu boleh dicabar keislamannya di mahkamah sivil pada masa depan.

Kuasa terhad

Ia terbukti dengan rujukan kes Indira mengenai keabsahan kuasa Pentadbir Mualaf Perak yang mengislamkan saudara baharu, mempunyai kuasa terhad dalam perundangan Perlembagaan Persekutuan.

Persoalan timbul ialah, dari segi syarak seseorang itu sah memeluk Islam, tetapi dari segi perundangan boleh dipersoalkan keislamannya.

Persoalan kedua, andai kata pasangan memeluk Islam dan anak mereka yang berumur bawah 18 tahun boleh mencabar akan keislamannya jika anak berkenaan tidak mahu mengikuti jejak ibu dan bapa yang memeluk Islam.

Ini menunjukkan kelompangan kuasa perundangan pentadbiran pentadbir mualaf di semua negeri.

Di sini, usaha memartabatkan JAKIM menjadi suruhanjaya amat bermakna dalam penyelesaian kes pemelukan Islam oleh saudara baharu, khususnya yang membabitkan wanita.

Malah, implikasi kes Indira menunjukkan kelompangan di antara kuasa negeri dan Persekutuan dalam soal membabitkan kes sivil dan syariah seperti soal nikah dan cerai salah seorang pasangan yang memeluk Islam.

Memartabatkan JAKIM menjadi suruhanjaya juga bertujuan menjalankan peranan menyelaras dan menyeragamkan amalan Islam antara negeri.

Melalui penyelarasan ini, diharap dapat memperkasakan institusi Mahkamah Syariah dalam mengendalikan kesalahan jenayah syariah yang setara dengan kuasa Mahkamah Tinggi.

Matlamat pemerkasaan ini membolehkan kuasa mahkamah mengendalikan pelbagai kes yang membabitkan pertikaian di antara Islam dan bukan Islam dalam kes syariah.

Contohnya, jika seorang wanita saudara baharu yang suaminya bukan Islam meninggal dunia, apakah haknya dalam pembahagian harta. Jika suaminya yang bukan Islam masih hidup, apakah hak wanita itu dalam soal nafkah dan anak hasil perkahwinan mereka.

Begitu juga apa hak seorang saudara baharu dalam soal pembahagian harta pusaka jika keluarganya masih bukan Islam. Biasanya, kes sebegini memerlukan kuasa mahkamah sivil sedangkan locus standi adalah saudara baharu itu sendiri.

Perkara sedemikian amat penting kerana telah menjadi satu persoalan bagi mereka yang berminat untuk memeluk Islam.

625 dibaca
Berita Harian X