Ahad, 7 Januari 2018 | 10:02am
Tun Dr Mahathir Mohamad (kiri) dan Datuk Seri Hadi Awang. - Foto Mohd Fadli Hamzah

Apabila Mahathir kafirkan Hadi

Seorang rakan bekas wartawan berkata, kedua-dua Datuk Seri Hadi Awang dan Tun Dr Mahathir Mohamad sudah kafir. Katanya, dahulu Hadi kata Dr Mahathir kafir, kini bekas Perdana Menteri itu pula kata Presiden PAS itu kafir. Saya jawab, kafir atau tidak seseorang itu bukan ditentukan oleh manusia, tetapi hak Allah SWT. Yang menghairankan, kafir-mengkafir sesama Islam di Malaysia ini tiada kesudahannya. Sejak sekian lama, politik menjadi punca isu kepada isu ini, bukan sebab agama.

Maha Firaun, maha zalim adalah antara label yang yang diberikan oleh pemimpin dan penyokong PAS kepada Dr Mahathir ketika beliau Perdana Menteri. Mengkafirkan orang UMNO juga dikatakan berpunca daripada Amanat Haji Hadi.

Kini, menjelang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), ia muncul semula. Kali ini Dr Mahathir pula yang mengkafirkan pemimpin PAS. Ia hanya kerana PAS menarik diri daripada Pakatan Harapan (PH) dan dilihat lebih condong kepada UMNO. Ia pula diakui sendiri oleh Hadi baru-baru ini, termasuk kenyataannya yang menyatakan beliau lebih selesa bekerjasama dengan Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak berbanding era Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri.

Dr Mahathir sebenarnya amat kecewa kerana ia memecah-belahkan pakatan pembangkang yang terpaksa mengharungi PRU-14 secara satu lawan satu menentang PAS dan BN. Beliau juga marah kerana cita-cita menumbangkan Najib mungkin terjejas tanpa PAS dalam pakatan pembangkang. Beliau menggelar Hadi sebagai pengkhianat kerana kononnya mengkhianati rakan dalam pembangkang, sekali gus menjejaskan harapan mereka menjatuhkan Barisan Nasional dan UMNO pimpinan Najib.

Sebenarnya, Dr Mahathir juga pengkhianat. Beliau pun tahu. Bukan sekali, malah dua kali. Beliau pernah keluar UMNO ketika Tun Abdullah Ahmad Badawi adalah Perdana Menteri dan Presiden UMNO. Beliau sertai semula UMNO selepas berjaya dalam misi menumbangkan Pak Lah dan menaikkan Najib.

Kini dalam zaman Najib, beliau sekali lagi mengkhianati UMNO hanya kerana tidak berpuas hati dengan dasar dan pentadbiran Najib. Orang UMNO ramai yang marah terhadap beliau kerana mengkhianati parti. Nampaknya mustahil PAS akan kembali ke pangkuan pakatan pembangkang. Tidak mungkin Hadi akan duduk semeja dengan Dr Mahathir selepas dilabel sebagai kafir dan pengkhianat. Mustahil juga Hadi sedia berbincang dengan PH selepas 'bergaduh' dengan pemimpin dalam Parti Amanah Negara (PAN), yakni parti serpihan PAS.

Maknanya, PAS akan terus bergerak secara 'solo' dalam PRU-14 yang kini diramalkan ramai pihak diadakan April depan. Ahli tegar PAS tak mungkin akan mengundi PH yang turut dianggotai Dr Mahathir, susuk yang mengkafirkan Tuan Guru mereka dan menuduhnya sebagai pengkhianat. Namun, PH sangsi dengan pendirian PAS yang dilihat rapat dengan Najib.

Itu punca sebenar kenapa Dr Mahathir melabelkan Hadi pengkhianat. Pendirian sebenar PAS bukan sahaja dinantikan oleh pemimpin, ahli dan penyokong PH, malah ahli PAS yang tak setuju dengan Hadi serta pengundi atas pagar. Mereka menunggu menjelang hari penamaan calon nanti.

Petunjuk sebenar akan terserlah apabila PAS menamakan kerusi DUN dan Parlimen yang akan ditandingi. Siapa calonnya juga dinanti. Ini kerana ada yang meramalkan PAS akan menjadi sandaran atau penyelamat kepada BN jika gagal mendapat kerusi mencukupi untuk membentuk kerajaan di peringkat negeri dan Persekutuan nanti.

Mereka meramalkan akan ada satu bentuk kerjasama istimewa PAS dengan UMNO serta BN. Justeru, PRU-14 ini akan menjadi antara pilihan raya umum paling menarik dan getir sama ada kepada BN mahupun pakatan pembangkang. Ia akan menentukan sama ada BN masih diterima majoriti pengundi atau pembangkang yang menjadi pilihan sebagai kerajaan alternatif. Kalau tidak ia tidak digelar ibu kepada segala pilihan raya.

Penulis adalah Pengarang Eksekutif Berita/Rencana/Digital Berita Harian

12019 dibaca
Berita Harian X