Ahad, 10 September 2017 | 7:05am

Berubah jika mahu limpahan ekonomi

TIGA minggu lalu, Bank Negara Malaysia (BNM) mengumumkan ekonomi berkembang 5.8 peratus dalam tempoh suku kedua tahun ini.

Prestasi di luar jangkaan itu menjadikan kadar pertumbuhan bagi tempoh enam bulan sehingga Jun lalu pada 5.7 peratus. Bagi tiga bulan pertama Januari sehingga Mac, ekonomi negara tumbuh 5.6 peratus.

Berdasarkan perkembangan itu, beberapa firma penyelidikan menjangkakan pertumbuhan ekonomi negara bagi seluruh tahun ini mampu melepasi kadar lima peratus berbanding unjuran kerajaan antara 4.3-4.8 peratus. Melihat kepada perangkaan semasa, ia bukan mustahil. Angka eksport Julai lalu menyaksikan pertumbuhan hampir 31 peratus, tiga kali ganda lebih tinggi berbanding kadarnya pada Jun.

Import bulan berkenaan juga berkembang kukuh 21.8 peratus, dengan sebahagian besarnya barangan perantara dan modal. Import kedua-dua kategori barangan itu sahaja merangkumi hampir RM50 bilion daripada jumlah nilai import RM70.59 bilion. Peningkatan kukuh import barangan perantara dan modal ini mencerminkan prospek cerah ekonomi pada bulan mendatang kerana ia menunjukkan persiapan syarikat untuk menambah kapasiti bagi memenuhi permintaan lebih tinggi.

Namun, di sebalik fakta dan angka berkenaan masih ada merungut tidak merasakan limpahan pertumbuhan ekonomi ini. Dalam kalangan peniaga, masih terdengar keluhan menyalahkan kelembapan ekonomi atas kemerosotan perniagaan mereka, sementara ada golongan pekerja terus merungut tidak dapat kenaikan gaji kerana prestasi syarikat tidak begitu baik.

Graduan universiti pula masih ramai mengadu sukar mendapatkan pekerjaan sesuai dengan kelayakan dan bidang mereka. Kenapa begitu? Bagi perniagaan, antara punca utamanya ialah revolusi industri akibat perubahan gaya hidup dan cara bekerja berikutan kemajuan teknologi digital. Syarikat atau peniaga yang tidak berubah seiring perubahan sudah tentunya mendapati perniagaan mereka terus berdepan keadaan sukar.

Industri media sendiri contohnya, cara orang ramai mendapatkan berita dan maklumat kini jauh berubah, begitu juga corak perbelanjaan pengiklan. Justeru, walaupun ekonomi berkembang kukuh, perniagaan sesebuah syarikat media akan terus merudum jika tidak berubah seiring perubahan. Kesannya sudah tentu akan turut dialami pekerja.

Begitu juga dalam isu pengangguran siswazah. Keadaan sudah jauh berubah. Jika dulu mungkin sekitar 20 peratus sahaja rakyat kita yang ada kelulusan universiti tetapi angkanya kini telah meningkat kepada lebih 50 peratus. Namun, taraf pekerjaan kita masih di takuk lama. Mungkin sudah sampai masanya kita mengkaji semula syarat kelayakan pengambilan sesuatu jawatan. Sebagai contoh, jika sesuatu jawatan itu kini hanya memerlukan STPM atau Diploma, ia perlu dinaikkan kepada Ijazah.

Ini bagi memastikan taraf pekerjaan yang ada sejajar peningkatan taraf pendidikan rakyat kita, sekali gus menyediakan lebih banyak jawatan untuk diisi oleh graduan.

586 dibaca
Berita Harian X