Sabtu, 9 September 2017 | 6:13am
Bekas Presiden Republik Indonesia, Dr Susilo Bambang Yudhoyono (dua dari kanan) merasmikan perasmian persidangan bersama Bekas Perdana Menteri Belgium, Yves Leterme (tiga dari kiri), Menteri di Jabatan Perdana Menteri Malaysia, Senator Datuk Paul Low Seng Kuan (kanan), Pengerusi Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) , Tan Sri Razali Ismail (dua dari kiri) pada pelancaran persidangan Demokrasi Di Asia Tenggara di Kuala Lumpur pada 2 September lalu. - Foto NSTP/Mohd Khairul Helmy Mohd Din

Buka pekung tanda tak patriotik

Pada 2 dan 3 September lalu saya mewakili Universiti Utara Malaysia (UUM) menyertai persidangan serantau anjuran Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) dan Kofi Annan Foundation (KAF) di ibu negara. Walaupun diadakan pada cuti hari raya, sidang 'Demokrasi di Asia Tenggara: Kejayaan, Cabaran, Harapan' ini dapat sambutan 53 peserta Malaysia, 37 peserta antarabangsa, 21 wakil agensi kerajaan, enam wakil institusi pengajian tinggi dan 43 wakil media.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Paul Low Seng Kuan, mempertahan amalan demokrasi dan hak asasi di Malaysia dalam sidang yang turut dihadiri bekas pemimpin ternama dan wakil pertubuhan serantau serta antarabangsa. Antara yang beri ucapan adalah bekas Presiden Indonesia, Dr Susilo Bambang Yudhoyono; bekas Perdana Menteri Belgium, Yves Leterme dan bekas Menteri Luar Thailand, Dr Surin Pitsuwan.

Ada enam sesi pembentangan, empat daripadanya berkaitan soal pilihan raya merangkumi isu pengendalian, dana persekitaran pilihan raya serta peranan pertubuhan sivil. Secara umum, penganjuran persidangan ini usaha baik kerana membolehkan berlakunya pertukaran pandangan antara tokoh pelbagai negara dan pertubuhan mengenai demokrasi, khasnya pilihan raya.

Malangnya, ada pemimpin pertubuhan sivil dan parti politik dari Malaysia menggunakan sesi soal jawab untuk membuka pekung di dada sendiri. Ahli EXCO Aliran Kesedaran Negara (ALIRAN), Sarajun Hoda Abdul Hassan, menyebut sistem pilihan raya kita tiada integriti dan tiada legitimasi.

Berdepan tembok batu

Yang turut berbuat demikian, Pengerusi BERSIH 2.0, Maria Chin Abdullah, yang mendakwa kerajaan mengabaikan rakyat dalam pilihan raya yang mana Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) khususnya didakwa tidak mahu bercakap dengan BERSIH atau pertubuhan sivil atau parti politik. Begitu juga Presiden HAKAM, Datuk Ambiga Sreenevasan, yang menuduh Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) tidak bersih di samping mendakwa PRU-14 akan lebih teruk.

Katanya, kerahsiaan undi tidak ada di Malaysia, begitu juga dengan media bebas, institusi kukuh dan bebas serta badan pemantau pilihan raya bebas semuanya didakwa tidak ada di Malaysia menjadikan mereka berdepan tembok batu. Selain itu, sesetengah peserta juga menggambarkan pengendalian urusan pilihan raya di Malaysia teruk melalui tindakan meminta nasihat di luar mengenai cara pilihan raya dikendalikan.

Setiausaha PKR Sarawak, Nicholas Bawin, meminta panelis negara luar berkongsi cara persempadanan semula kawasan pilihan raya di negara mereka supaya kita belajar bagaimana ia dibuat secara teratur, profesional dan sah. Pengarah Center to Combat Corruption and Cronyism (C4), Cynthia Gabriel, pula meminta perkongsian - tanda amaran awal keganasan pilihan raya di samping cara membawa kesalahan berkaitan pilihan raya ke tahap lain kerana institusi negara didakwa lumpuh.

Babitkan negara luar

Ini disokong Maria. Lebih teruk lagi ialah apabila pemimpin pertubuhan sivil dan parti politik ini turut menggesa negara luar babitkan diri secara terus dalam urusan pilihan raya di Malaysia dengan menjemput mereka memperkata atau mengawasi perjalanan undi.

Nicholas, contohnya bertanya sama ada ahli ASEAN boleh bantu jadikan pilihan raya 'kita' lebih adil dengan memerhati perjalanan pilihan raya. Maria mencadangkan dibuat inisiatif untuk pertubuhan sivil seperti BERSIH 2.0 membabitkan diri dengan pertubuhan seperti ASEAN.

Cadangan Ambiga pula adalah diadakan Tribunal Rakyat Tetap mengenai pilihan raya bebas dan adil supaya ada pertanggungjawaban yang boleh diukur ke atas negara ASEAN kerana sekarang pertanggungjawaban ini kononnya tidak wujud. Beberapa isu lain juga turut didedahkan tanpa disertakan butiran lanjut, mahupun mengemukakan apa-apa bukti.

Antara yang berbuat demikian adalah bekas Naib Pengerusi SUHAKAM, Tan Sri Simon Sipaun, yang mendedahkan betapa Barisan Nasional berhasrat untuk berkuasa dengan apa sahaja cara dan betapa polis sebenarnya mahu melihat Himpunan BERSIH tidak aman. Nicholas juga mendakwa golongan minoriti di Malaysia ditindas, termasuk perjawatan kerajaan, kemasukan ke institusi pengajian tinggi dan di mana keadaan ini dikatakan semakin teruk.

Gelagat pemimpin pertubuhan sivil dan parti politik ini yang ditunjukkan hanya selang sehari dan dua hari dari tarikh sambutan kemerdekaan menjadi bukti tiadanya semangat cintakan negara di dalam hati mereka.

Penulis adalah Felo Institut Kajian Strategik Islam Malaysia (IKSIM) dan Pengarah Pusat Kajian Politik Malaysia (MAPAN), Universiti Utara Malaysia

2916 dibaca
Berita Harian X