Jumaat, 8 September 2017 | 6:27am
- Gambar hiasan

Terapkan pendidikan politik matang

Ketika mempengerusikan perbincangan pada forum berkaitan politik matang di Sydney, Australia, dicadangkan supaya pendidikan politik diajar di peringkat sekolah menengah dan pusat pengajian tinggi. Seminar anjuran Australian Academy of Business Leadership berupaya meningkatkan kesedaran mengenai dinamika politik semasa dan menerapkan agar wujudnya politik matang.

Lalu penulis terfikir rasanya sudah sampai masanya pendidikan politik diterap kepada generasi muda, khususnya berkaitan dengan pengertian politik secara lebih meluas, etika dan tatacara politik matang, serta menganalisis isu semasa agar wujud rakyat "celik atau literasi politik".

Memandangkan situasi politik dan juga 'tingkah laku politik' tercemar dengan pelbagai adegan yang melampaui batas mutakhir ini, maka pemikir dan pembuat dasar perlu mewujudkan pendidikan politik di Malaysia. Jika negara seperti Australia, New Zealand, Kanada malah Thailand serta Indonesia sudah menerapkan pendidikan politik melalui subjek tertentu kepada semua aliran sekolah menengah dan pengajian tinggi, maka Malaysia perlu mempelajari pendekatan berstrategi.

Dalam pelbagai literatur jarang sekali ditemui definisi yang baku mengenai istilah pendidikan politik. Definisi yang sering kita ketahui bahawa politik adalah proses dan cara membuat keputusan untuk sesuatu kumpulan. Walaupun ia biasanya digunakan bagi merujuk kepada kerajaan atau parti pemerintah, tingkah laku politik juga boleh didapati di korporat, akademik, agama dan institusi lain.

Demi kebaikan bersama

Sains politik adalah kajian mengenai tingkah-laku politik dan mengkaji kehendak dan penggunaan kuasa, contohnya: keupayaan untuk memaksa kehendak seseorang kepada yang lain. Ahli penulisan strategi seperti Sun Tzu, Niccolo Machiavelli, dan George Washington Plunkitt, manakala contoh ahli falsafah pula ialah Plato, Aristotle, Locke, Mills dan Thomas Jefferson.

Politik adalah satu cara untuk manusia menyelaras tindakan seseorang untuk kebaikan bersama atau kebaikan seseorang individu. Apa yang membezakan politik dengan etika dan sosial ialah di dalam politik, ada banyak persoalan berdebat. Kebanyakan ahli teori berpendapat untuk menjadi politik, sesuatu proses itu perlu menggunakan sedikit kekerasan kerana politik mempunyai hubungan rapat dengan konflik.

Memenangi suatu konflik politik bermaksud merampas kuasa dari satu kumpulan atau entiti dan memberikannya kepada kumpulan lain. Ramai akan
bersetuju konflik politik boleh dengan mudahnya tumbang menjadi 'zero-sum game', di
mana tiada yang dipelajari atau diselesaikan, melainkan menentukan 'siapa menang, siapa tewas'.

Pendekatan pendidikan sejarah di peringkat sekolah menengah mungkin tidak secara khusus menerapkan modul mengenai pendidikan politik dan politik matang. Sudah sampai masanya satu subjek khas
diajar kepada semua pelajar pengajian tinggi pelbagai disiplin atau pengkhususan berkaitan dengan konsep politik matang. Kebanyakan pelajar pusat pengajian tinggi tidak didedahkan kepada apakah politik, etika berpolitik dan pendekatan politik matang.

Ini menyebabkan mereka mudah terpengaruh atau terikut-ikut dengan mana-mana individu atau mana-mana pihak yang berjaya menambat hati. Tanpa berfikir panjang dan menganalisis sesuatu isu, lalu membuat keputusan secara melulu, tidak menimbang baik buruk sesuatu tindakan. Malah tidak wujud kesedaran politik menyebabkan ramai generasi muda yang tidak mendaftar sebagai pengundi.

Politik matang

Mungkin juga pada peringkat sekolah menengah khususnya pelajar di Tingkatan Empat dan Lima boleh didedahkan mengenai konsep asas politik khususnya dalam konteks di Malaysia. Malah penerapan secara khusus perlu dipupuk di Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) mengenai politik matang.

Usaha penerapan politik matang menekankan kepada proses yang berlandaskan kepada pemikiran yang masak berpandukan kepada data dan hujah bagi kesemua pihak, khasnya parti-parti politik dan rakyat membuat penilaian, menentukan sikap dan tindakan terhadap sesuatu isu yang timbul di negara ini. Semoga tindakan politik oleh mana-mana pihak mestilah membawa kepada kesejahteraan bersama.

Penulis adalah Felo Australian Academy of Business Leadership, Pensyarah Kanan, Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media Universiti Teknologi MARA (UiTM)

243 dibaca
Berita Harian X