Rabu, 6 September 2017 | 10:00am
- Gambar hiasan

Graduan perlu ada kemahiran sampingan

Kebimbangan mengenai isu lambakan graduan sebenarnya mula dicanangkan oleh pelbagai pihak lebih tujuh atau lapan tahun lalu atau sekitar awal 2010. Ini berdasarkan pertambahan jumlah universiti dan kolej perubatan di negara ini yang meningkat agak mendadak berserta jumlah pelajar perubatan yang ramai diambil setiap tahun, sedangkan kemudahan latihan perubatan di hospital kerajaan tidak mampu mengambil semua pelajar itu untuk latihan fasa klinikal.

Ini tidak termasuk ibu bapa yang masih lagi menghantar anak mereka ke universiti di luar negara sama ada di beberapa negara di Asia Barat, India, Indonesia dan Eropah serta Russia. Perkara ini semakin mendesak bila graduan perubatan di luar negara tidak dibenarkan menjalankan latihan 'housemanship' di negara itu.

Mereka perlu pulang semula ke negara asal untuk melengkapkan latihan 'housemanship'. Beberapa langkah drastik perlu dilakukan termasuklah mengurangkan pengambilan jumlah graduan perubatan negara ini, sama ada lulusan tempatan atau luar negara dihadkan kepada 3,000 setiap tahun.

Saya setuju dengan syor ini seperti dicadangkan Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) berbanding kira-kira 5,000 graduan yang dilahirkan ketika ini. Isu lambakan graduan juga berkait rapat dengan kualiti pengajaran dan kompetensi doktor. Akibat kesesakan di hospital, pelajar perubatan dan doktor pelatih kurang mendapat pendedahan pengendalian pesakit, tunjuk ajar dan latihan klinikal sewajarnya. Ini turut disumbangkan oleh sesetengah universiti berdepan tenaga pengajar dan fasiliti pengajaran yang terhad.

Keunikan program perubatan ialah ia perlu mencapai tiga aspek latihan perubatan iaitu aspek pengetahuan, kemahiran klinikal dan sikap. Tiga aspek ini digabungkan untuk melahirkan seorang doktor profesional dalam menjalankan tugas mereka nanti. Doktor yang tidak akan diserap ke perkhidmatan tetap nanti, mereka perlu didedahkan terlebih dahulu dengan pelbagai pilihan kerjaya perubatan selain mengendalikan pesakit.

Perkhidmatan kajian klinikal

Doktor masih diperlukan untuk menjalankan perkhidmatan kajian klinikal dan pra-klinikal perubatan di institut kajian perubatan, pusat kajian swasta dalam atau luar negara. Sumbangan doktor juga diperlukan untuk menjalankan perkhidmatan di sektor perubatan dan keselamatan sosial, pentadbiran kesihatan, perjalanan perubatan dan juga pengajaran di pusat pengajian tinggi dalam bidang akademik.

Bidang lain yang tidak kurang popular seperti farmaseutikal, kosmetik, nutrisi dan pembangunan ubat-ubatan alternatif kini semakin memerlukan khidmat doktor. Doktor juga boleh meneruskan kerjaya mereka dalam bidang perkhidmatan komuniti perubatan dan kesihatan serta misi bantuan perubatan dalam dan luar negara.

Pendedahan awal untuk doktor yang diserap secara kontrak sekarang perlulah bersedia kerana empat tahun akan datang amat mencabar untuk terus bersaing dalam kerjaya ini. Sebagai tenaga pengajar di institusi pengajian tinggi, saya acap kali menasihatkan perkara sama kepada graduan perubatan supaya menyediakan diri dengan pelbagai kemahiran di luar daripada kemahiran biasa sebagai doktor.

Ini untuk memastikan mereka sedia bersaing dalam dunia dan kerjaya perubatan, dan bidang ini juga bukan lagi kritikal dalam kalangan jurusan pengajian tinggi kini.

Penulis adalah Setiausaha Agung Pertubuhan Pengamal Perubatan dan Kesihatan Muslim Malaysia (I-Medik)

1127 dibaca
Berita Harian X