Selasa, 5 September 2017 | 10:22am
PERSEMBAHAN bunga api pada majlis perasmian pembukaan Sukan SEA KL2017 di Stadium Nasional Bukit Jalil, baru-baru ini.

Daya juang atlet inspirasi gapai impian

SUKAN SEA 2017 (KL2017) menyaksikan Malaysia mencatat pencapaian cemerlang sebagai juara keseluruhan, meraih 145 emas dan jauh meninggalkan rakan negara Asia Tenggara lain, sekali gus mencatat pencapaian terbaik negara dalam sejarah pembabitan Malaysia dalam sukan terbesar Asia Tenggara ini.

Kali terakhir Malaysia menjadi juara keseluruhan adalah 16 tahun lalu, pada 2001. Tambah manis lagi, kejayaan ini adalah hadiah buat rakyat Malaysia sempena sambutan Hari Kebangsaan Ke-60. Di sebalik kejayaan ini, banyak perkara yang boleh kita pelajari sepanjang berlangsungnya temasya dwi tahunan itu.

Malaysia selaku tuan rumah membuat persiapan amat rapi dan ini dijelmakan melalui upacara pembukaan Sukan SEA dalam suasana penuh gilang gemilang dan berkelas dunia hingga mendapat pujian ramai dari dalam mahupun di luar negara dan dianggap terbaik sepanjang penganjuran sukan SEA.

Bagaimanapun, Kuala Lumpur selaku tuan rumah tidak terlepas dengan beberapa isu yang melanda ketika temasya itu diadakan. Seawal ketika upacara pembukaan Sukan SEA lagi, kewibawaan tuan rumah diuji berikutan isu gambar bendera Indonesia terbalik di buku cenderahati Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.

Lantas, Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar, memohon maaf kepada rakan sejawatannya dari Indonesia atas kesilapan yang tidak disengajakan itu. Kemudian, kita dikejutkan dengan berita dua bas yang membawa atlet dari Thailand, Filipina dan Myanmar terbabit dalam kemalangan di tol Sungai Besi. Beberapa tindakan susulan dijalankan seperti mengadakan mesyuarat tergempar bersama pengurus pasukan, menangguhkan jadual perlawanan dan sebagainya.

Semua isu ini ditangani penganjur dengan sebaiknya. Hal ini menunjukkan kematangan dan keseriusan Malaysia selaku tuan rumah dalam mengatasi isu yang tidak dijangka ini. Dengan penganjuran yang dikatakan terbaik sepanjang sejarah Sukan SEA 2017 ini, tidak mustahil untuk penulis katakan Malaysia sudah bersedia untuk menganjurkan sukan berskala lebih besar seperti Sukan Asia.

Perkara kedua yang boleh dibincangkan ialah kekecewaan peminat tempatan gara-gara kekalahan Malaysia di tangan Thailand pada perlawanan akhir bola sepak. Banyak pihak juga menyalahkan penjaga gol yang dikatakan punca kekalahan itu. Kita harus ingat, bukan sahaja dalam permainan bola sepak, malah dalam acara sukan lain, atlet kita memberikan usaha dan kudrat terbaik demi mengharumkan nama negara.

Korban masa, tenaga

Bukan itu sahaja, mereka mengorbankan masa dan tenaga dalam melakukan persiapan sebelum berlangsungnya Sukan SEA ini. Selain itu, pemanah negara Khairul Anuar Mohamad turut menjadi mangsa kecaman apabila gagal memungut pingat emas dalam acara recurve individu lelaki biarpun sudah berjaya menyertai sukan Olimpik Rio 2016 dalam acara sama.

Tetapi ramai tidak tahu bahawa keadaan badannya tidak sihat sepanjang penyertaan pada temasya Sukan SEA. Demi mengharumkan nama negara dan sokongan padu rakan sepasukan dan jurulatih, dia tetap meneruskan perjuangan. Begitu juga dengan atlet ekuestrian negara, Quzandria Nur Mahamad Fathil menyertai senarai itu di temasya Sukan SEA 2017 dalam keadaan berbadan dua.

Hasil kerja keras dan menganggap keadaannya yang berbadan dua bukan halangan, dia akhirnya memenangi emas acara dressage. Izzah Amzan pula masih mampu menyumbangkan satu pingat emas dalam acara gimrama apparatus bola meskipun dibelenggu kecederaan belakang, bahu dan lutut.

Perenang sensasi negara, Welson Sim yang memenangi acara 200 meter gaya bebas dalam keadaan penuh dramatik menyatakan bahawa 50 meter terakhir sebelum menamatkan renangan adalah sangat seksa dan paling diingati dalam kariernya sebagai seorang perenang. Justeru sebagai peminat sukan tanah air, kita seharusnya menghargai usaha dan pengorbanan mereka.

Banyak senario yang kita saksikan sepanjang temasya Sukan SEA KL ini yang mampu menyentuh perasaan kita. Salah satunya ialah video yang viral menunjukkan seorang pemain ragbi Malaysia yang naik ke bahagian penonton untuk mencari kedua ibu bapanya dan memeluk mereka selepas pasukan ragbi Malaysia berjaya memenangi pingat emas.

Pesilat negara, Siti Rahmah Mohamed Nasir yang bergegas meninggalkan gelanggang selepas dikalungi pingat emas, terus ke Hospital Sungai Buloh untuk menziarahi adiknya yang tidak sedarkan diri akibat kemalangan jalan raya. Peninju muay negara, Ain Kamaruddin menghadiahkan pingat emas yang dimenanginya kepada arwah bapanya yang meninggal dunia baru-baru ini.

Pelumba basikal trek negara, Muhammad Fadhil Mohd Zonis turut menghadiahkan pingat emas yang dimenanginya kepada bapanya yang kini terlantar di hospital. Aksi The Pocket Rocketman Malaysia, Azizulhasni Awang yang memeluk isteri dan anak sejurus memenangi pingat ke-111 buat Malaysia turut menjadi perhatian peminat sukan tempatan.

Justeru dapat disimpulkan bahawa sokongan ibu bapa dan keluarga antara faktor utama kejayaan seseorang atlet. Tidak keterlaluan untuk diperkatakan bahawa keluarga adalah motivasi utama seseorang atlet untuk mencapai kejayaan.

Kejayaan penganjuran dan kejayaan atlet dalam Sukan SEA pada kali ini pastinya akan memberi inspirasi dan rangsangan kepada banyak pihak untuk turut berjaya dalam bidang masing-masing. Bagaimana daya juang atlet untuk berjaya boleh menjadi inspirasi kepada kita untuk jangan sesekali berputus asa dalam mencapai impian.

Bagaimana atlet bekerja keras berlatih untuk menggenggam kejayaan boleh memberi inspirasi kepada kita untuk turut berusaha menggapai impian. Ketahanan mental perlu kuat apatah lagi berdepan pemain yang lebih hebat, ditambah lagi dengan tekanan dan harapan berjuta rakyat Malaysia.

Justeru walau apa pun matlamat kita ke arah kebaikan, ketahanan mental sangat penting untuk berjaya. Jonathan Wong umpamanya contoh terbaik sebagai seorang atlet yang mempunyai ketahanan mental kuat apabila memenangi acara menembak yang disertai biarpun berdepan jaguh olimpik dari Vietnam.

Ramai atlet penuntut universiti

Kejayaan atlet kebangsaan negara juga membuktikan mereka bukan sahaja boleh berjaya dalam bidang sukan, malah dalam bidang akademik.

Ramai atlet juga penuntut universiti. Menurut Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh, untuk temasya KL2017 ini, 264 daripada 874 atlet (30.2 peratus) yang mewakili Malaysia ialah mahasiswa institut pendidikan tinggi. Mereka menyertai 33 daripada 38 jenis sukan yang dipertandingkan dalam temasya kali ini.

Selain itu, ramai atlet negara yang bukan datang dari keluarga senang. Sebaliknya kekurangan seharusnya dijadikan pemangkin semangat untuk lebih berusaha mencapai kejayaan, tidak kiralah dalam bidang sukan mahupun bidang lain. Bagaimana Malaysia selaku tuan rumah berjaya menganjurkan Sukan SEA edisi 2017 ini dengan jayanya menunjukkan kesatuan dan sokongan kuat pelbagai pihak dari peringkat akar umbi hingga ke peringkat atasan.

Ini memberikan inspirasi kepada kita akan sokongan dan kerjasama padu dan dalam sesebuah organisasi atau kumpulan mampu menzahirkan sebuah kejayaan.

183 dibaca
Berita Harian X