Ahad, 3 September 2017 | 9:17pm
PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak melaungkan merdeka sebanyak 7 kali pada sambutan Hari Kebangsaan bertemakan Negaraku Sehati Sejiwa di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur. - Foto Eizairi Shamsudin

Mencongak tarikh sesuai untuk PRU-14

SELEPAS kejayaan atlet negara melakar sejarah gemilang pada Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017), ramai juga tertanya-tanya apa lagi selepas ini - sama ada Datuk Seri Najib Razak mendapat inspirasi 'semangat KL2017' untuk mengadakan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) atau menunggu menjelmanya 2018?

Malah, sejak beberapa bulan lalu, sudah ada cakap-cakap mengatakan tarikh pilihan raya mungkin diadakan selepas Sukan SEA yang dihoskan Malaysia dan menjuarai sukan itu diletakkan antara 'isyarat baik' untuk PRU-14.

Jika mahu meneruskan momentum kesepaduan rakyat seperti ditunjukkan pada KL2017, diikuti nostalgia sambutan Hari Kemerdekaan 31 Ogos, disusuli pula Hari Malaysia 16 September nanti, maka PRU-14 boleh diadakan pada Oktober atau November ini, kata pemerhati politik.

Pada 12 September ini pula Perdana Menteri akan berkunjung ke Amerika Syarikat atas jemputan Presiden Donald Trump. Pada 18 Oktober depan, pembentangan Bajet 2018, kali terakhir sebelum PRU-14. Tetapi Perdana Menteri mungkin ada perkiraan tersendiri bila mahu mengadakan pilihan raya.

Jika pilihan raya diadakan pada November, bermakna Perhimpunan Agung UMNO diadakan selepas PRU-14 kerana Majlis Tertinggi (MT) UMNO sudah menetapkan diadakan pada 5 hingga 9 Disember ini.

Baru-baru ini, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi juga menyatakan bahawa semua UMNO negeri sudah menghantar senarai calon kepada Najib, selaku presiden parti selain beberapa pemimpin parti komponen BN juga hampir menyiapkan senarai calon.

Jika mengambil kira persiapan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang sudah mengadakan simulasi pilihan raya untuk petugas di seluruh negara sejak tahun lalu, pasti SPR tiada masalah untuk mengendalikan PRU-14 pada bila-bila masa.

Ada yang kata, jika BN mahu mengekalkan Putrajaya, sekarang masa paling sesuai untuk mengadakan pilihan raya ketika gabungan parti pembangkang belum menyelesaikan beberapa isu utama, terutama pembahagian kerusi untuk ditandingi antara PKR, Parti Amanah Negara (PAN) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).

Pertembungan tiga penjuru berikutan PAS tiada lagi bersama gabungan pembangkang diketuai DAP itu, mungkin memberi kelebihan kepada BN. Suruhanjaya siasatan untuk menyiasat kes kerugian akibat urus niaga mata wang asing oleh Bank Negara Malaysia (BNM) sekitar 1990-an, juga mungkin diambil kira dan dijangka menyembahkan laporannya kepada Yang di-Pertuan Agong, Oktober nanti.

Mungkin Najib memilih untuk mengadakan pilihan raya tahun depan. Ada yang meramalkan PRU-14 lebih sesuai diadakan selepas perayaan Tahun Baharu Cina yang disambut pada 16 Februari 2018 dan mungkin ekonomi dunia, termasuk Malaysia akan lebih baik tahun depan.

Faktor ekonomi memainkan peranan besar kerana ia turut menyumbang kepada faktor 'kelesesaan' rakyat. Benar nilai ringgit semakin lemah sejak beberapa tahun lalu, tetapi ia lebih disebabkan faktor luar, bukan domestik.

Parlimen akan terbubar secara automatik pada 24 Jun 2018, jika ia tidak dibubarkan sebelum tarikh akhir berkenaan dan SPR boleh mengadakan pilihan raya dalam tempoh 60 hari selepas itu.

Penulis ialah Pengarang Bersekutu (Ehwal Semasa) BH

5396 dibaca
Berita Harian X