Selasa, 9 Oktober 2018 | 4:58pm

Salai masak 'lomak' memikat selera

Oleh Suhaila Ali dan Maisarah Aisya Ismail

bminggu@bh.com.my

“Umang aii sodap ea sampai monjilat jari’ bak kata orang Negeri Sembilan, itu dialami penulis ketika kali pertama mencuba menu salai, di Restoran Sey Salai Masak Lomak, Seri Kembangan baru-baru ini.

Haruman bau salai masih melekat pada jari meskipun perut sudah mula lapar kembali. Rasanya pedas disulami rasa masam daging salai sungguh mengasyikkan.

Mengetengahkan masakan tradisional Negeri Sembilan sebagai menu utama, Muhammad Fadhli Ayob, berkata uniknya di sini, semua sajian dimasak lemak bersama makanan yang sudah disalai.

Katanya, sey atau esey bermaksud saya di Negeri Sembilan, jadi maksud nama kedai adalah saya salai masak lomak.

Nama sajian unik pasti menarik minat penggemar makanan terutamanya makanan lauk minang mencuba menikmati hidangan di sini.


Muhammad Fadhli, Bersama Hidangan Istimewa Negeri Sembilan. - Foto Saifullizan Tamadi

“Penggemar masak lemak wajib datang dan cuba sendiri masakan di sini kerana rasa kepedasan dan kelikatan kuah lemak memang resipi asli Negeri Sembilan.

“Yang unik mengenai menu di sini semuanya disalai secara tradisional. Kami hanya menggunakan kayu api dan tempurung untuk mengekalkan aroma asap salai pada makanan.

“Tugas menyalai mengambil masa sekitar empat hingga lima jam, kami memulakan tugas seawal 6 pagi untuk menyediakan setiap lauk yang disalai,” katanya.

Muhammad Fadhli berkata, sajian menjadi bertambah lazat dengan menggunakan buah mangga muda sebagai elemen menambah rasa masam dalam sajian. Sayuran lain yang turut dicampur termasuk nangka muda,” katanya.

Setiap menu mempunyai tahap kepedasan yang berbeza. Contoh itik salai dimasak dengan nangka dan daging ini dimasak bersama mangga muda. Jadi setiap rasa masak lemak berbeza setiap satunya.

“Kami menyediakan kuah berasingan untuk setiap bahan. Kuah masak lemak untuk daging perlu ada rasa dagingnya dan begitu juga bahan lain.

“Kami menyediakan makanan bermusim antaranya siput sedut, ikan masin kurau dan cendawan kukur. Walaupun makanan ini susah didapati, kami tetap memenuhi permintaan pelanggan”, katanya

Menggunakan resipi ibunya, Muhammad Fadhli cuba mengubah resipi itu dan melakukan percubaan dengan menggabungkan makanan dan buah untuk menyedapkan masakan.

Antara menu yang menarik ialah nasi budget, dengan harga RM5, pelanggan boleh menikmati nasi putih, ayam cincang, kuah masak lemak dan sambal belacan.

Info

Lokasi restoran:

* Restoren Sey Salai Masak Lomak, No 19, Jalan DD 3A/1 Taman Dato’ Demang, Seri Kembangan, Selangor.

* Beroperasi setiap hari kecuali Jumaat bermula 11.30 pagi sehingga 9.00 malam.

Menu pilihan

* Itik salai

* Daging salai

* Ikan keli salai

498 dibaca
Berita Harian X