Ahad, 23 September 2018 | 11:05am
ANEKA pilihan kebab dan nasi mandy di Shawarma King , Telawi 2 Bangsar. - Foto Mohd Yusni Ariffin
ABDUL Rahman Al Khayat Chef di Shawarma King , Telawi 2 Bangsar. - Foto Mohd Yusni Ariffin
SARA Kwaider, pemilik Shawarma King , Telawi 2 Bangsar. - Foto Mohd Yusni Ariffin

Kebab saiz XXL

BAGI mereka yang menggemari makanan disaji ringkas, menyelerakan, dan mengenyangkan, sandwic berisi lauk daging, pilih menu kebab atau shawarma.

Shawarma bermaksud cara penyediaan daging kambing, ayam atau lembu dimasak, lazimnya diletakkan pada pencucuk menegak dan dibakar selama sehari.

Sedikit cebisan daging kemudiannya dipotong atau dihiris daripada blok daging untuk dihidangkan, manakala bakinya dibiarkan sambil dipanaskan pada pencucuk.

Shawarma lazat apabila dinikmati bersama tabbouleh dan roti pita.

Lazimnya restoran Mediterranean atau yang menghidangkan makanan dari Asia Barat, menyajikan pelbagai menu kebab.

Umpamanya, restoran dimiliki Sara Kwaider iaitu Shawarma King, terletak di Bangsar Baru, Kuala Lumpur menampilkan keistimewaan tersendiri apabila menyajikan kebab bersaiz XXXL diberi nama, The Shawarma King.

Sara berasal dari Syria, tetapi dilahirkan di Arab Saudi menjelaskan, The Shawarma King dipenuhi hirisan daging kambing atau ayam sangat digemari kerana kebab itu saiz besar dan puas dinikmati.

Isi kebab meliputi bahan utamanya dilimpahi potongan daging kambing atau ayam, tidak ‘kedekut’ inti.

Tukang masak di restoran itu, Cef Abdul Rahman Abu Zaid juga berasal dari Syria yang pakar menyediakan Shawarma King begitu memuaskan hati.

Sara yang menetap di Malaysia kira-kira 10 tahun lalu apabila mengikuti pengajian di universiti swasta di Kuala Lumpur dan memiliki Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan, mengakui beliau suka menetap di sini kerana mempunyai kepelbagaian budaya.

Beliau mahu makanan dari Asia Barat, terutama Syria dinikmati semua bangsa sekali gus mempromosikan sajian popular mereka terutama kebab.

Sajian yang dikenali mandi lamb fakhar juga wajar dicuba. Dalam bahasa Syria, fakhar bermaksud claypot atau makanan yang dimasak menggunakan bekas tembikar.

Menu berkenaan adalah nasi mandi kambing yang dihidangkan dalam bekas tembikar. Memang sedap dan sangat unik.

Sara dibantu oleh pekerjanya, Sahil Sharma dan Paul Dass Maria Dass menghasilkan menu unik untuk penyediaan makanan itu kepada pelanggan yang mahukan ketulenan cita rasa makanan Asia Barat.

FAKTA NOMBOR

----------------------

* RM18.20

harga The Shawarma King

* 500 gram

berat kebab

The Shawarma King

* 9 bulan

usia perniagaan

INFO

-------

Restoran Shawarma King

* Terletak di No 8, Jalan Telawi 2, Bangsar Baru, Kuala Lumpur (kira-kira lima minit pemanduan dari The New Straits Times Press (M) Berhad)

* Beroperasi setiap hari kecuali Isnin mulai jam 12 tengah hari hingga 12 tengah malam dan hingga 2 pagi (setiap Khamis, Jumaat dan Sabtu).

456 dibaca
Berita Harian X