Isnin, 10 September 2018 | 4:35pm
HIDANGAN lazat mi sup di tepi Pantai Teluk Lipat, Dungun, Terengganu. - Foto Ghazali Kori

Mi Sup Melayu Champa menanti pengunjung ke Dungun

RAMAI pengusaha premis makanan kerap mendakwa mereka adalah pakar mi sup. Kononnya mi sup mereka adalah yang paling sedap. Sebaliknya selepas dinikmati, kuahnya tawar, mi pula keras dan harganya kadang-kala tidak masuk akal.

Sebagai pelanggan, pasti mereka serik, tidak masuk lagi ke kedai atau gerai mi sup berkenaan kerana berasa tertipu.

Bagi penulis yang kerap mengembara mencari tempat makan yang sedap, mi sup dari restoran Mak Wan Mee Sup Melayu Champa adalah paling lazat setakat ini.

Berpeluh kepala penulis ketika menikmati mi sup pedas, kaya dengan hirisan daging dan kateh (lemak tulang), sambil ditiup angin sepoi-sepoi bahasa di tepian pantai pada waktu petang.

Nikmati hembusan bayu pantai

Justeru, kelazatannya berganda, menikmati mi sup dalam suasana nyaman, disajikan pula panorama mempesona. Itulah kelebihan Mak Wan Mee Sup Melayu Champa, premis makanan terletak di tepi Pantai Teluk Lipat, berhampiran Universiti Teknologi MARA (UiTM) cawangan Dungun, Terengganu.


PENGUNJUNG dari luar Terengganu memenuhi restoran,

Tidak hairanlah restoran ini sentiasa dipenuhi pelajar sebaik tamat waktu kuliah, terutama tengah hari hingga lewat petang. Pada hujung minggu pula, restoran dipenuhi pelancong dari luar Terengganu.

Mi sup yang pedas ini bertambah lazat apabila dinikmati bersama perahan asam limau, gula, sambal lada dan kicap masin, yang disediakan secara berasingan, pasti memenuhi selera pengunjung. Kali pertama menikmati mi sup Mak Wan, memang power terutama kuahnya yang pedas tapi sedap.

Bahan utama tepung beras

Menurut pengurus restoran, Abdul Kadir Mohamad, 29, resipi sup Melayu Champa disediakan ibunya, Sarisah Yusof, 59, atau lebih popular dengan panggilan Mak Wan dalam kalangan penduduk sekitar Dungun. Mak Wan berasal dari Kemboja.

“Makanan tradisional masyarakat Melayu Champa ialah mi sup. Bahan utama mi Champa dibuat daripada tepung beras yang diimport dari Sungai Golok, sempadan Thailand. Justeru, rasanya lebih enak dan sedikit kenyal.

“Ia adalah resipi turun-temurun dan saya adalah generasi ketiga yang mewarisinya,” kata Abdul Kadir.

FAKTA NOMBOR

-----------------------

* RM6.50

harga mi sup penuh

* RM2.50

harga tambah kateh

* 20 minit

berjalan kaki

dari UiTM Dungun

INFO

-------

* Mak Wan Mee Sup Melayu Champa terletak di Lot 12525, Jalan Pantai, Sura Hujung, Pantai Teluk Lipat, Dungun, Terengganu

* Dibuka setiap hari mulai jam 8 pagi hingga 3 petang.

* Perkampungan Melayu Champa di Dungun dikenali dengan nama Kampung Che Lijah

* Dalam bahasa Champa, kateh ialah campuran lemak tulang dan hirisan daging lembu yang dipotong nipis, selain sayur-sayuran

* Hubungi Abdul Kadir menerusi talian 019 952 2431 untuk tempahan.

1397 dibaca
Berita Harian X