Ahad, 13 Mei 2018 | 11:26am
Program iftar di depan Bangunan Sultan Abdul Samad diadakan setiap hujung minggu sepanjang Ramadan secara percuma. - Foto BHOnline

Bazar Ramadan produk pelancongan unik

BERBAKI tiga hari saja lagi, umat Islam seluruh negara akan menunaikan ibadat puasa. Justeru, menjelangnya bulan mulia ini, selain memperbanyakkan amalan menambah pahala, kemeriahan bazar Ramadan antara yang dinantikan sebagai destinasi membeli juadah berbuka puasa.

Bagi mereka yang sering bercuti ke ibu kota kosmopolitan Kuala Lumpur (KL) bazar Ramadan Kampung Baru dan di sepanjang Jalan Tunku Abdul Rahman (TAR) hingga ke persimpangan Jalan Raja berhadapan Dataran Merdeka, antara yang sering dikunjungi.

Suasana meriah dengan kehadiran pelancong asing setiap hujung minggu, masing-masing berpeluang menikmati juadah secara percuma.

Pun begitu, populariti kedua-dua bazar Ramadan ini melonjakkan namanya sebagai produk pelancongan wajib kunjung khususnya dalam kalangan pelancong domestik dari luar KL, mahupun asing yang acap kali memilih ibu kota sebagai destinasi percutian menjelangnya bulan puasa.

Kemasyhuran kedua-dua lokasi ini kata Pengarah Pusat Pelancongan Malaysia (MaTiC), Zain Azrai Rashid, berupaya mempromosikan aktiviti bazar sebagai produk pelancongan istimewa.


Pelancong asing tidak lepas peluang menikmati juadah berbuka puasa. - Foto BHOnline

Pelbagai juadah lazat, harga berpatutan

Bazar Ramadan Kampung Baru dan Jalan TAR tentunya menjadi tumpuan. Persekitaran ini menawarkan suasana membeli-belah yang meriah. Pelbagai pilihan juadah dengan harga yang sungguh berpatutan.

Pengunjung yang bercuti ke KL, kata beliau, pasti mencari juadah atau makanan yang hanya diperoleh ketika Ramadan. Justeru, hanya bazar Ramadan menghimpunkan pelbagai jenis makanan. Boleh dikatakan makanan dari seluruh Malaysia, dijual di sini.

"Bazar Ramadan Kampung Baru dan Jalan TAR termasuk program berbuka puasa atau iftar di Jalan Raja pada setiap hujung minggu, popular dalam kalangan pelancong memperoleh makanan kegemaran yang hanya dijual setahun sekali. Kedua-dua bazar Ramadan ini juga antara produk pelancongan unik di KL.


Kambing golek antara menu popular di bulan puasa. - Foto BHOnline

"Sebagai contoh, kambing golek atau panggang, susah nak cari di gerai jika bukan bulan puasa, tapi menjelang Ramadan, makanan seumpamanya mudah diperoleh. Tidak ketinggalan, makanan Itali seperti pasta dan makanan menu barat antaranya stik turut dijual di sini.

"Pilihan lain antaranya Dim sum pun kita boleh dapat di sini. Paling penting, rasa kena sedap dan kita perlu bijak buat pilihan.

"Justeru, berbekalkan kepelbagaian makanan, bukan saja menarik pengunjung domestik, pelancong asing mempunyai pilihan dengan berkunjung ke sini," katanya.

Kebersihan diutamakan

Selain itu, barisan gerai di bazar Ramadan Kampung Baru dan Jalan TAR adalah antara terpanjang, menjadi nilai tambah kepada keunikannya, menjadi tarikan selain kebersihan makanan dan peniaga diberi keutamaan.


Bazar Ramadan di Jalan Raja Alang, Kampung Baru menjadi tumpuan wargakota membeli juadah untuk berbuka puasa sepanjang bulan Ramadan. - Foto Mim Fadlizal Rozaiman

Di samping itu, kedudukan bazar Ramadan Kampung Baru dan Jalan TAR begitu strategik, terletak di tengah bandar raya dikelilingi pusat komersial, gedung beli-belah, bangunan warisan, berdekatan masjid dan deretan hotel.

Keistimewaan ini membuka peluang pengunjung menikmati dan melihat produk mahupun segmen pelancongan berbeza hanya muncul ketika bulan puasa saja.

"Bagi menambah baik kedua-dua bazar Ramadan ini, ada cadangan menyediakan laluan pejalan kaki dari Kampung Baru hingga ke Jalan TAR.

"Pakej pelancongan kita boleh selit lawatan ke bazar Ramadan dan solat terawih. Begitu juga dengan pusat beli-belah, disaran memanjangkan tempoh operasi hingga 12 tengah malam. Lepas terawih, pelancong sempat lagi membeli-belah," katanya.

1237 dibaca
Berita Harian X