Ahad, 6 Mei 2018 | 11:21am

Aiskrim berasap tarikan utama

AISKRIM berasap dihidang dalam claypot? Terpegun seketika menyaksikan kepulan asal keluar dalam periuk tanah liat ini.

Itu antara menu paling popular dihidangkan di Bunnyster Cafe, iaitu kafe hipster yang pertama seumpamanya dibuka di Besut, Terengganu.

"Idea memperkenalkan aiskrim ini diperoleh sewaktu bercuti di Switzerland dan dijadikan pencuci mulut kepada pengunjung. Ia boleh dimakan untuk empat hingga lima orang," kata pemilik kafe itu, Nurul Ain Shahirah Ramlan, 30.


NURUL Ain Shahirah Ramlan menunjukkan salah satu hidangan yang menjadi pilihan pelanggan di Bunnyster Cafe di Kampung Khejing, Tok Has ,Jertih, Besut, Terengganu. - Foto Nurul Fatihah Sulaini

Bukan itu sahaja, suasana santai begitu terasa ketika penulis melangkah masuk ke Bunnyster Cafe yang semuanya memperlihatkan daya kreativiti tersendiri dan berbeza dengan kafe lain.

Nurul Ain Shahirah berkata, pihaknya menghias kafe dua tingkat dengan susun atur perabot yang lapang, dihiasi dekorasi unik dan kreatif.

Kafe diberi nama sempena anak sulung Nurul Ain bersama suaminya, M Feses Mohamad, 31, iaitu Ahmad Dhani Ilham Rayqal yang dipanggil Bunny, ringkasan abang Dhani dan kini berusia empat tahun.

Lantas, mereka mencuba pelbagai jenis masakan ketika melancong di Eropah, menu ditawarkan kepada pelanggan untuk menarik pelanggan.

Nurul Ain Shahirah berkata, selain aiskrim berasap, pihaknya menawarkan pelbagai menu menarik.


AISKRIM berasap claypot. - Foto Nurul Fatihah Sulaini

"Killer cheese' ialah menu 'killer' kami yang dihidangkan dalam bekas seakan cangkul yang ideanya diperoleh sewaktu melawat Amsterdam dan diperkenalkan pada tahun lalu.

"Selain makanan barat kami juga menyediakan hidangan tempatan seperti nasi kerabu dalam kuali kecil menggunakan hiasan daun pudina menggantikan ulam biasa," katanya.

Pengalaman pertama penulis mencuba "killer cheese" begitu mengujakan dengan limpahan keju yang padat digabungkan bersama ubi kentang dan bebola ayam.

Katanya, kepelbagaian menu itu memberi pilihan untuk seisi keluarga sama ada golongan kanak-kanak dan dewasa menikmati juadah di situ.

"Lebih istimewa hidangan serendah RM3 turut dijual di sini seperti 'wafer' dan sandwich.

"Kami juga menyediakan hidangan sampingan lain seperti 'mille crepes', kek coklat dan mangga," katanya.

Nurul Ain Shahirah berkata, mereka turut menyediakan pakej makan malam dan sambutan hari lahir mengikut tema dengan harga berpatutan.


TETAMU ceria menikmati hidangan di Bunnyster Cafe di Kampung Khejing, Tok Has ,Jertih, Besut, Terengganu. - Foto Nurul Fatihah Sulaini

Katanya, beliau beruntung kerana minat terhadap bidang kulinari dikongsi bersama suami, walaupun mereka daripada latar belakang kemahiran berbeza. Beliau berkata, bakat terpendam mereka dalam bidang masakan sudah mula timbul sejak kecil.

Graduan Ijazah Sarjana Muda Ukur Bahan Universiti Teknologi MARA (UiTM) ini tidak menjadikan gelaran jurutera sebagai halangan untuknya berkecimpung dalam bidang masakan.

Setiap kali merasai menu baharu ketika melancong ke luar negara, beliau akan cuba mengolah semula resipi mengikut selera tempatan.

"Sekitar 2015 iaitu sebelum kafe dibuka saya dan suami berpeluang menjelajah ke beberapa negara Eropah antaranya London, Paris dan Switzerland, selain Jepun, Korea dan Istanbul, Turki.

"Setiap kali melancong saya mesti ambil peluang untuk cuba menu yang lain daripada kebiasaan tidak kira makanan dalam restoran atau kaki lima asalkan unik," katanya.


ANTARA hidangan popular buat pelanggan yang berkunjung ke Bunnyster Cafe di Kampung Khejing, Tok Has ,Jertih, Besut, Terengganu. - Foto Nurul Fatihah Sulaini

Beliau berkata, disebabkan mahu memberi peluang orang tempatan terutama warga Besut menikmati makanan seperti tempat yang pernah dilawati itu, mereka membuat keputusan untuk membuka Bunnyster Cafe pada 14 Februari 2016.

Fakta nombor

100 menu

150 pelanggan satu-satu masa

15 pekerja

Info

Bunnyster Cafe

Kampung Khejing, Tok Has, Jertih Terengganu

Waktu operasi

Sabtu - Rabu : 12.30pm-10.30pm

Jumaat: 4.30pm-10.30pm

Khamis: Tutup

551 dibaca
Berita Harian X