Ahad, 1 April 2018 | 10:45am
Pengurus Restoran Azmi Steam Tempoyak , Ainul Nizira Mohd Kamal Azmi, 26, menunjukkan hidangan popular direstorannya di Tanjung Lumpur. - Foto Zulkepli Osman
Ikan patin stim tempoyak.

Ikan patin tempoyak sajian kegemaran

Isi durian diasingkan daripada bijinya kemudian ditambah dengan garam sebelum disimpan sekurangkurangnya tiga hingga lima hari dalam suhu bilik. Itu cara menghasilkan sajian penambah rasa yang popular dari Pahang iaitu tempoyak.

Mencipta kelainan dan membangkitkan aroma tempoyak lebih pekat, restoran Azmi Steam Tempoyak, di Kampung Peramu Maju, Kuantan, menyajikan sajian tempoyak sama tetapi berkonsep kukus.

Rasanya lebih sedap kerana menggunakan tempoyak yang diperam lebih kurang enam bulan.

Pemiliknya, Ainul Nizira Mohd Kamal Azmi, berkata menu yang baharu diperkenalkan sejak dua tahun lalu itu, menyediakan kuah tempoyak yang dikukus bersama ikan patin.

Katanya, sajian istimewa ikan kukus tempoyak ini dicampur dengan ramuan lain seperti cili padi merah, kunyit dan gula sebelum dikukus setengah jam," katanya.

Saji hidangan segar

Antara menu lain ialah ikan bakar pais, stim halia dan masak kicap.

Semua sajian itu berasaskan ikan sungai dan ternakan sangkar saja.

Enam jenis ikan dari Kuala Lipis, Kuantan dan Raub, iaitu patin, talapia, kerai, kelah dan tenggelan untuk pilihan pelanggan.

"Ikan itu diletakkan di dalam kolam khas bersebelahan kedai bagi mengekalkan kesegaran dan kemanisan ikan sungai sebenar," katanya.

Beliau berkata, bagi yang menggemari makanan laut, restoran itu menghidangkan udang galah sambal, sotong goreng tepung dan ketam cili.

Sajian itu perlu ditempah sehari lebih awal untuk persediaan.

Pelbagai keistimewaan hidangan itu menjadikan ia termasuk dalam senarai lokasi restoran menarik untuk Pelancongan Negeri Pahang.

Info: Azmi Steam Tempoyak
Alamat: Lot 42757, Kampung Peramu Maju, 26060 Kuantan, Pahang
Operasi : 11 pagi hingga 12 pagi (setiap hari) kecuali Jumaat dari jam 5 petang
100 orang : kapasiti dalam restoran
Harga: bermula RM8 hingga RM50 (harga bergantung kepada saiz dan berat.

434 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »