Ahad, 25 March 2018 | 3:11pm
PENGUSAHA ladang, Rohana Ali melayan pelanggannya di Ladang Nipah Ismail Che Kar. - Foto Munira Abdul Ghani
MENU yang disediakan di Ladang Nipah Ismail Che Kar. - Foto Munira Abdul Ghani

Nikmati air nira dalam ladang

LADANG merimbun dengan pohon nipah menempatkan meja dan kerusi untuk pelanggan menikmati air nira segar, di Ladang Nipah Ismail Che Kar, Jalan Kuala Sedaka, Yan, menjanjikan pengalaman yang unik.

Bukan saja air nira, pengunjung boleh menikmati masakan kegemaran masyarakat setempat seperti laksa yang dimakan dengan bihun goreng atau laksa biasa, ubi kayu rebus dengan ikan masin atau kelapa yang diparut dan agar-agar nira.

Pengusaha ladang, Rohana Ali, berkata ladang itu menempatkan kira-kira 300 pokok nipah diubah suai dengan konsep kedai makan dalam ladang memang menyelerakan.

Lihat proses air nira

"Pengunjung boleh menikmati air nira segar yang diambil terus daripada pokok di sini dan melihat sendiri proses mengumpul air nira sehingga ia dijadikan minuman," katanya.

Konsep yang sama turut diterapkan ke atas Ladang Nipah Kipli yang terletak di Kampong Tanah Timbul, Kuala Sanglang, Perlis milik Zulkipli Leman, 68.

Berada di ladang dengan tanaman 2,000 pokok nipah yang terdapat gazebo dan buaian di celah pokok, membuatkan diri terasa berada di dalam taman.

Lebih menarik terdapat hidangan tradisional Perlis seperti apam putih dimakan bersama serawa durian dan kuih cucur atap yang seakan kuih lepat tetapi dibalut dengan daun nipah.

Ibu Zulkipli, Sarah Aiman,87, berkata kuih cucur atap diperbuat daripada tepung pulut yang digaul dengan gula merah dan dibalut dengan daun nipah sebelum dibakar.

Ladang beliau menerima kira-kira 1,000 pengunjung sehari terutama di musim cuti atau musim perayaan sekali gus meningkatkan pendapatan Zulkipli.

1081 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »