Ahad, 10 September 2017 | 8:00am

Aroma kambing bakar Guangzhou bersama roti golek


HAZLAN (tengah) bersama petugas menunjukkan menu wajib cuba yang terdapat di gerai mereka. - Foto Ghazali Kori

SEKALIPUN menampilkan menu yang ringkas iaitu kambing bakar boneless atau tanpa tulang, ia tetap mendatangkan kenikmatan tersendiri.

Dimakan pula dengan roti bakar atau lebih popular dikenali roti golek bersama kopi 'O' dapur arang, keenakannya sangat luar biasa!

Walaupun hanya warung kecil di tepi jalan, namun pelanggan yang berkunjung sentiasa bertali arus. Layanannya tetap mesra dan perkhidmatan yang diberi juga agak pantas.

Warung Kambing Bakar Guangzhou (KBGZ) baru setahun beroperasi.

Keenakan daging kambing bakar yang diperap dengan ramuan istimewa, resipi yang dibawa khas dari Guangzhou, China, menjadi bualan membuatkan pemiliknya, Hazlan Ali, 33 membuka cawangan baharu di Pasar Borong Gong Pauh.


KAMBING bakar boneless atau tanpa tulang. - Foto Ghazali Kori

Daging diperap semalaman

Hazlan berkata, idea membuka warung kambing bakar itu tercetus apabila dia bersama keluarga sering berulang-alik ke Guangzhou, China kerana mencari bahan bekalan untuk perniagaan.

Mereka menghadapi kesukaran sukar mendapatkan makanan halal. Satu-satunya makanan halal terletak berdekatan hotel penginapan, iaitu gerai satay kambing yang diusahakan masyarakat China - Muslim berasal dari wilayah Xinjiang.

"Di Guangzhou, satay kambing yang dibakar agak kering kerana mengikut cita rasa mereka. Disebabkan sering makan di gerai itu, timbul idea mengusahakan perniagaan kambing bakar di Kuala Terengganu.

"Orang kita gemar menikmati kambing bakar yang sedikit basah. Saya ubah suai resipi untuk memenuhi cita rasa tempatan. "Segala ramuan atau rempah-ratus dilumur pada isi kambing, lalu diperap semalaman supaya rasanya sebati. Apabila dibakar, ia mengeluarkan rasa dan aroma sangat istimewa," katanya.


WALAUPUN hanya warung kecil di tepi jalan, namun pelanggan yang berkunjung sentiasa bertali arus. - Foto Ghazali Kori

Cuba juga ketam Alaska

Sehingga hari ini, cita rasa satay atau kambing bakar Guangzhou mampu memenuhi selera pengunjung KBGZ.

Kebanyakan pelanggan pasti terpesona dengan keenakan KBGZ dan berkunjung untuk kali kedua dan seterusnya.

Hazlan berkata, lazimnya pelanggan menikmati menu utama bersama kopi 'O' dapur arang yang disediakan secara kampung atau tradisional apabila minuman berkenaan dicampur bersama serbuk kopi.

Selain kambing bakar tanpa tulang, anda boleh cuba ketam Alaska dinikmati bersama perahan sos limau. Dijamin puas hati!


KEENAKAN Kambing Bakar Guangzhou adalah disebabkan resipi istimewa yang berasal dari salah satu wilayah di China. - Foto Ghazali Kori

FAKTA NOMBOR

10 minit - Dari Lapangan Terbang Antarabangsa Sultan Mahmud

RM20 - Sepinggan kambing bakar boneless

INFO
Kambing Bakar Guangzhou

  • Lokasi: 9525C, Batu 10 1/2, Jalan Gong Badak, Kuala Terengganu, (di persimpangan lampu isyarat ke Padang Golf Tok Jembal)
  • Maklumat lanjut layari Facebook (FB): Kambing Bakar Guangzhou
  • Instagram (IG): kambingbakarguangzhou. Hubungi Hazlan Ali (016 980 3217) untuk membuat tempahan.
  • Dibuka setiap hari, jam 3 petang hingga 11.30 malam (Khamis hingga Sabtu).
  • Ahad hingga Rabu dibuka dari jam 4.30 petang hingga 11.30 malam.


DAGING kambing bakar yang diperap dengan ramuan istimewa, resipi yang dibawa khas dari Guangzhou, China. - Foto Ghazali Kori
363 dibaca
Berita Harian X