Ahad, 20 Ogos 2017 | 9:00am
UBI rebus dan kepala parut untuk sajian pencuci mulut. - Foto Rosman Shamsudin
SUASANA dalam rumah makan ini seperti berada di kampung. - Foto Rosman Shamsudin
SET makanan dipesan diletakkan dalam tampi. - Foto Rosman Shamsudin
RUMAH makan Sri Mualim yang dicat kuning dahulunya adalah Bangunan Sri Perak. - Foto Rosman Shamsudin

Nasi tampi, kari kambing di Rumah Makan Sri Mualim

MENIKMATI hidangan dalam rumah tradisional berusia lebih 100 tahun boleh memberikan pengalaman baharu kepada pengunjungnya.

Rumah Makan Sri Mualim yang terletak di simpang empat berdekatan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) berjaya mencipta kelainan, bukan saja disebabkan dekorasi rumah antiknya tetapi juga menyajikan hidangan cara kampung.

Diusahakan oleh Mohd Rizal Amir, 35, dan isterinya, Rozana Habizar, 36, rumah dua tingkat itu dahulunya dikenali sebagai Bangunan Sri Perak. Turut membantu mereka ialah kakak Rozana, iaitu Rabaayah.

Reka bentuk binaan rumah ini menampilkan teknik pembinaan tanpa paku, sebaliknya menggunakan kaedah tebuk dan solok untuk menyusun papan atau kayu pada binaan rumah itu.

Tetingkap, rabung, tangga dan kekisi serta siling masih mengekalkan binaan asal.


MAKAN sambil duduk bersila menikmati juadah kampung dalam rumah tradisional berusia 100 tahun. - Foto Rosman Shamsudin

Untuk menyesuaikan dekorasi dalaman rumah ini, Mohd Rizal dan Rozana memperkenalkan set nasi tampi, iaitu hidangan tradisional yang diamalkan oleh orang Melayu dahulu apabila makanan dilambakkan dalam tampi.

Ubi kayu rebus pencuci mulut

Hidangan nasi tampi ini mempunyai tiga menu utama dan pelanggan boleh memilih sama ada mahu merasai kari kepala ikan, kari kambing atau asam pedas kambing bersama ayam percik bersantan dan telur masin goreng.

Sambal buruk pula adalah resepi turun temurun, sayur rebus dan ulaman segar bersama sambal belacan dan budu serta tempe goreng bersama sambal jawa.

Pencuci mulut mula terdiri daripada ubi kayu rebus atau pisang muda rebus bersama kelapa parut. Minuman pula iaitu air serai yang dicipta khas bukan sahaja sedap tapi berkhasiat untuk kesihatan.


MOHD Rizar dan isterinya, Rozana. - Foto Rosman Shamsudin

"Pelanggan selalunya akan bersila di lantai beralas tikar mengkuang," katanya.

Minum kopi di anjung

Rozana berkata, kebanyakan pelanggan suka datang menikmati hidangan dalam rumah kerana bagi mereka suasana ini menyebabkan terubat rindu pada kampung halaman.

Mohd Rizal berkata, suasana dalaman rumah terutama bahagian atas dibuat daripada kayu memberikan rasa nyaman walaupun cuaca panas kerana mempunyai sisipan dinding bertingkat yang membolehkan udara keluar masuk dengan baik.


ULAM-ULAMAN, sambal dan tempe goreng. - Foto Rosman Shamsudin

Bahagian anjung sentiasa menjadi pilihan pelanggan menikmati minum kopi sambil berborak. Penggunaan kain langsir yang corak klasik sudah tentu membangkitkan suasana berada dalam rumah kayu di kampung.

INFO

Rumah Makan Sri Mualim

Lokasi: Simpang empat UPSI, Tanjung Malim, Perak

Menu:

Nasi Tampi dengan lauk berbeza;

  • Set 1: Asam pedas daging kambing
  • Set 2: Gulai daging salai
  • Set 3: Ikan keli salai.
  • Set 4: Kari kepala ikan.
  • Setiap set disertakan sayur rebus, ulam-ulaman, sambal belacan dan tempe goreng.

    Pencuci mulut

  • ubi kayu rebus dan pisang rebus dengan kelapa parut.

719 dibaca
Berita Harian X