Sabtu, 29 Julai 2017 | 8:00am
NIK bersama sebahagian menu popular yang menjadi pilihan pengunjung Mat Periuk Cafe.

Nasi goreng atok, air kahwin campur

Berkonsepkan hipster, Mat Periuk Cafe di Ipoh, Perak menampilkan hidangan makanan dan minuman setanding dengan restoran di hotel.

Kafe ini hanyalah restoran biasa terletak di deretan rumah kedai. Kelihatan seperti hipster kerana menampilkan barangan terpakai yang dibaik pulih lalu dijadikan perabot seperti meja dan kerusi. Ia diuruskan oleh Mohd Rani Ariffin, 38, atau lebih popular dengan panggilan Nik dalam kalangan keluarga atau teman rapat.

Nik berkata, sebilangan pelanggan berkunjung ke Mat Periuk Cafe lebih daripada sekali kerana terpesona dengan sajian makanan dan keenakan makanan yang ditawarkannya.

"Itulah elemen penting dalam menentukan jangka hayat kafe ini. Nama Mat Periuk Kafe adalah idea daripada isteri, Rafizatul Fairos yang juga adik kepada Cef Kamarul, individu yang bertanggung jawab membangunkan kafe dan restoran ini.

"Mat Periuk adalah gelaran yang diberikan kepada Cef Kamarul ketika masih menuntut di Universiti Teknologi Mara (UiTM), dalam bidang perhotelan dan kulinari. Bagi menampilkan kelainan, kami sebulat suara mengekalkan nama Mat Periuk.

"Biar pelanggan tertanya-tanya kenapa kafe dan restoran kami namanya unik," jelasnya.

Nama menu yang unik


NASI goreng atok.

Bukan saja nama kafe yang unik, sebaliknya nama menu yang ditampilkan pun ada tarikan tersendiri. Misalnya nasi goreng atok yang menjadi antara hidangan istimewa, sebenarnya diilhamkan daripada cita rasa arwah ayah Cef Kamarul, Che Rose atau lebih dikenali sebagai cikgu Rose yang juga bekas guru besar.

"Arwah Che Rose gemar menikmati isi ikan yang digoreng bersama nasi, lalu terhasillah menu nasi goreng atok.

"Begitu juga dengan nama megi goreng raja-raja apabila sajian berkenaan dihidangkan bersama udang galah bersaiz besar yang kita anggap sebagai Raja udang," katanya.


MEGI goreng raja-raja.

Pencuci mulut istimewa

Selain makanan, minuman di Mat Periuk Kafe juga tidak menghampakan. Paling popular ialah 'air kahwin campur' iaitu campuran buah oren, mangga, laici dan longan.

Minuman berkarbonat yang dicampur laici, epal dan longan dinamakan jelingan manja. Sekali lagi, biar pelanggan tertanya-tanya apa istimewanya minuman berkenaan.


ANTARA minuman yang menjadi kegemaran tetamu.

INFO

  • Mat Periuk Cafe terletak di No 40, Hala Tasek Timur 11, Kampung Tersusun Tasek, Bercham, Ipoh, Perak. Dibuka setiap hari mulai jam 4 petang hingga 12 tengah malam.
  • Hubungi Nik di talian 017 572 5579 untuk membuat tempahan. Bagi mendapatkan maklumat lanjut layari Face book (FB): Mat Periuk Cafe atau Instagram (IG): @matperiukcafe
  • Pada setiap Jumaat, Sabtu dan Ahad, kumpulan basking, Bullstreet Buskers akan membuat persembahan menghiburkan tetamu.


PENGUNJUNG dari luar Terengganu termasuk Singapura sering bertandang pada hujung minggu.

1755 dibaca
Berita Harian X