Ahad, 13 Mei 2018 | 10:42am
Meerkat atau cerpelai mencuri perhatian pelancong. - Foto Rohanis Shukri
Pengunjung leka melihat alpaka yang diberi layanan istimewa kerana kandangnya dilengkapi set pendingin hawa. - Foto Rohanis Shukri

Taman safari tengah kota

Dalam filem animasi, Madagascar, kita melihat sekumpulan anak musang comel dan nakal dikenali sebagai meerkat berlari di celah pohon kayu menyakat rakan-rakannya di Taman Nasional Maasai Mara, antara taman safari di Afrika Selatan yang turut menempatkan habitat singa, kuda belang dan badak sumbu.

Namun, untuk melihat cerpelai atau meerkat yang berasal dari Afrika Selatan anda tidak perlu melancong jauh hingga ke benua berkenaan.

Sebaliknya sekadar berkunjung ke Zoo Mini di Menara Kuala Lumpur. Hanya beberapa langkah dari pintu utamanya, anda berpeluang menyaksikan cerpelai di depan mata.

Lebih menarik dan unik, Zoo Mini Menara Kuala Lumpur adalah satu-satunya taman haiwan separa terbuka yang terletak di tengah kota kosmopolitan dikelilingi 'hutan batu' termasuk ikon terkemuka dunia seperti Menara Berkembar PETRONAS (KLCC) dan deretan hotel berstatus lima bintang.


Kangaru dari kategori dusky wallaby sangat jinak. - Foto Rohanis Shukri

Haiwan bebas berkeliaran

Bagi penulis, ramai yang terlepas pandang kewujudan Zoo Mini Menara Kuala Lumpur apabila beranggapan mana mungkin dalam kepesatan dan kesibukan kota Kuala Lumpur, sekumpulan haiwan yang berasal dari taman safari terkemuka di Afrika Selatan, rupa-rupanya di tempatkan di sini.

Ketika berkunjung ke sana baru-baru ini, sekumpulan pengunjung dilihat leka menyaksikan cerpelai berlari berkejaran sesama mereka dalam habitat sebenar yang disediakan di zoo itu.

Haiwan comel ini tidak boleh dibiarkan bebas berkeliaran bersama pengunjung zoo kerana badannya mempunyai bisa. Sekiranya dipatuk ular, ia tidak memberi apa-apa kesan terhadapnya

Selain itu, sejenis kangaru dari kategori dusky wallaby atau nama saintifiknya, thylogale brunii berasal dari Papua New Guinea, turut mencuri perhatian pelancong kerana ia sangat jinak dan 'mesra' pengunjung.

Pengunjung pasti tidak mahu melepaskan peluang untuk berswafoto dengan haiwan, selain memberi makanan kegemaran seperti buah-buahan tempatan.


Beri rakun makan. - Foto Rohanis Shukri

Bermesra dengan feret

Siapa sangka, feret iaitu sejenis binatang kecil seakan-akan memerang yang dipelihara untuk membunuh tikus, tidak kurang menarik perhatian pengunjung kerana ia sangat comel.

Kebanyakan pengunjung yang bertandang ke zoo mini pasti akan mendukungnya dan akan terlena dalam pangkuan anda.

Begitu juga kura-kura yang diberi nama Do, berusia 27 tahun dan berasal dari tenggara Afrika, mampu menarik minat orang ramai bergambar dengannya gara-gara saiz badannya yang sangat besar.

Dalam banyak haiwan dalam Zoo Mini Menara Kuala Lumpur, Alpaka atau nama saintifiknya, vicugna pacos berasal dari Amerika Selatan diberi layanan paling istimewa kerana kandangnya dilengkapi set pendingin hawa kerana ia perlu hidup dalam habitat dingin sepanjang masa.

INFO: Zoo Mini Menara Kuala Lumpur

  • Terletak bersebelahan Menara Kuala Lumpur, Jalan Punchak, Kuala Lumpur
  • Beroperasi setiap hari mulai jam 10 pagi hingga 9 malam
  • Alpaka ialah kategori mamalia berasal dari Amerika Selatan yang rupanya seakan-akan llama.
499 dibaca
Berita Harian X