Khamis, 15 Februari 2018 | 12:00am
MOHD Hazizul Abdul Hamid bersama kucing yang dipelihara. - Foto Poliana Ronnie Sidom
SEBAHAGIAN daripada pelbagai jenis kucing baka tulen yang dimiliki Pengerusi Kelab Pencinta Kucing Sandakan, Mohd Hazizul Abdul Hamid. - Foto Poliana Ronnie Sidom

Bantu kucing terbiar

 

SANDAKAN: Jika pihak lain mungkin berlumba-lumba mengumpul kucing import dengan baka asli mencecah ribuan ringgit, lain pula ceritanya dengan Kelab Pencinta Kucing Sandakan yang mahu membantu kucing terbiar.

Persatuan itu yang ditubuhkan sejak tiga tahun lalu pernah menganjurkan pertandingan hanya untuk kucing tempatan terbiar yang tidak pernah dibuat persatuan lain, pada 2016 dan berjaya mengumpul sehingga 60 ekor kucing terbiar.

Mohd Rizuan Mohd Damit, 36, yang juga bapa kepada empat anak antara ahli persatuan itu yang sejak sembilan tahun lalu, giat mengutip kucing terbiar, dan sanggup menghabiskan ribuan ringgit semata-mata untuk memelihara haiwan comel terbabit.

Dia juga lebih dikenali sebagai 'king of local cat' dalam kalangan peminat kucing di daerah ini kerana hanya membawa kucing tempatan dalam setiap acara atau pertandingan.

Mohd Rizuan berkata, dia memiliki 30 ekor kucing ketika ini dengan satu daripadanya adalah jenis Domestic Long Hair, manakala selebihnya kucing yang dipungut dari kolong rumah, tong sampah atau kucing sakit yang ditemui di tepi jalan.

Ketika ditemui BH, Mohd Rizuan berkata, dia akan berasa puas apabila kucing terbiar yang dipertandingkan mendapat anugerah biarpun terpaksa membelanjakan kos tinggi dari segi penjagaan.


MOHD Rizuan hanya membawa kucing tempatan dalam acara atau setiap pertandingan dan dikenali sebagai 'king of local cat'. - Foto Poliana Ronnie Sidom

PENGERUSI Kelab Pencinta Kucing Sandakan, Mohd Hazizul Abdul Hamid bersama kucingnya yang pernah memenangi anugerah dalam pertandingan. - Foto Poliana Ronnie Sidom

"Biarpun kucing tempatan, jika sihat dan cantik, apabila bawa bertanding dan dapat anugerah, itu kepuasan tidak terhingga kepada saya yang tidak boleh diukur dengan wang.

"Saya masuk persatuan pun kerana mahu mengangkat martabat kucing tempatan, tidak semestinya kucing yang mahal atau orang kata baka asli saja boleh dipelihara. Sebaliknya, kucing tempatan juga ada nilai dan taraf dalam pertandingan," katanya sambil mengakui membelanjakan sekurang-kurangnya RM1,500 sebulan, hanya untuk penjagaan kucing.

Kelab Pencinta Kucing Sandakan ditubuhkan sejak 2015, kini dianggotai kira-kira 200 ahli bertujuan menghimpunkan pencinta kucing daerah ini, selain mempromosi kesedaran dan pendidikan dengan memupuk semangat kecintaan terhadap kucing, tanpa membezakan baka keturunan.

Pencinta kucing di daerah ini pada awalnya berkongsi pengalaman dan idea berkaitan kucing bermula di laman sosial Facebook dengan nama Catz Mania dan berjaya mengumpul 13,000 ahli, sebelum kelab terbabit ditubuhkan.

Sementara itu, Pengerusi Kelab Pencinta Kucing Sandakan, Mohd Hazizul Abdul Hamid, 32, berkata sejak ditubuhkan, persatuan berkenaan sudah melaksanakan enam program membabitkan pertandingan kucing sama ada di peringkat daerah atau negeri, selain kempen kesedaran.


ANTARA piala dan pingat yang dimenangi Pengerusi Kelab Pencinta Kucing Sandakan, Mohd Hazizul Abdul Hamid dalam pertandingan. - Foto Poliana Ronnie Sidom

Mohd Hazizul yang memiliki kedai menjual barang dan makanan kucing di Bandar Tyng, di sini, berkata fokus utama persatuan itu ditubuhkan untuk mendidik orang ramai, agar tidak membezakan fizikal dan personaliti setiap kucing.

"Selain berkongsi minat sama dan melaksanakan pelbagai program, kita mahu pencinta kucing menghargai setiap haiwan seperti kucing yang bernyawa," katanya.

Mohd Hazizul berkata, dia memiliki 50 ekor kucing ketika ini daripada jenis tempatan sehingga baka tulen termasuk British Short Hair, Bengal, American Curl, Scottish Fold, Maine Coon, Munchkin dan baka campur, termasuk Domestic Long Hair dan Domestic Short Hair.

Katanya, dia sanggup menghabiskan wang sehingga kira-kira RM50,000 sejak beberapa tahun lalu atau RM1,200 sebulan semata-mata mahu memiliki pelbagai jenis kucing.


MOHD Rizuan hanya membawa kucing tempatan dalam acara atau setiap pertandingan dan dikenali sebagai 'king of local cat'. - Foto Poliana Ronnie Sidom

"Bagi saya, kucing ialah terapi kepada manusia yang boleh membawa kegembiraan dan menjadi medium untuk uruskan tekanan," katanya.

Mohd Hazizul mengakui minat mendalam terhadap haiwan peliharaan itu mendorongnya melanjutkan pengajian ke peringkat sarjana dalam bidang kaunseling psikologi, di Universiti Malaysia Sabah (UMS) dengan menjadikan kucing sebagai subjek medium terapi dalam pengurusan tekanan.

 


SEBAHAGIAN daripada pelbagai jenis kucing baka tulen yang dimiliki Pengerusi Kelab Pencinta Kucing Sandakan, Mohd Hazizul Abdul Hamid. - Foto Poliana Ronnie Sidom

INFO

Kelab Pencinta Kucing Sandakan

  • Ditubuhkan pada 30 Ogos 2015
  • Kira-kira 200 ahli
  • Menganjurkan enam pertandingan sejak penubuhan
  • Bertujuan mendidik orang ramai tidak membezakan baka keturunan kucing
Berita Harian X