Sabtu, 16 September 2017 | 8:00am

Imbak Canyon untuk pengembara, pencinta alam sejati


PEMANDANGAN dari udara kawasan konservasi imbak Canyon.

TERASA sangat santai dan mendamai apabila dikelilingi kehijauan hutan hujan tropika, bunyi aliran sungai atau air terjun selain bunyi serangga pada waktu malam.

Dengan liputan internet yang terbatas, membuatkan anda tidak akan diganggu dengan pesanan diterima daripada telefon pintar.

Itulah suasana di Imbak Canyon Conservation Area (ICCA) atau kawasan Konservasi Canyon Imbak yang terletak kira-kira 350 kilometer dari bandaraya Kota Kinabalu (KK), Sabah.

ICCA ternyata sangat sesuai untuk pengembara atau pencinta alam semula sejati.

Jaraknya kira 55 km dari jalan utama Ranau ke Sandakan, ICCA adalah kawasan hutan dara kelas pertama yang diletakkan di bawah Hutan Simpan Kelas 1 (Perlindungan) oleh Kerajaan Negeri Sabah.

Bersesuaian dengan konsep pelancongan alam semula jadi atau eco-tourism, aktiviti di sini banyak berkaitan dengan penerokaan, pendidikan, penjelajahan, perlindungan serta pemerhatian ke atas hidupan flora dan faunanya.

ICCA menjadi tumpuan saintis yang membuat penyelidikan dan kajian mengenai habitat yang ada dalam hutan ini.

Malahan, pelancong atau pengembara juga berpeluang untuk menyertai saintis ini melihat dan membuat kerja lapangan apabila sama-sama meneroka jauh ke dalam hutan untuk mengkaji dan menyelidik subjek yang hendak dikaji.


TANAH becak dan berselut selepas hujan.

Kemudahan selesa

Selepas mengharungi perjalanan off-road iaitu berbatu kasar dan berhabuk dalam kereta pacuan empat roda sehingga menggegarkan seluruh badan, penulis tiba di Pusat Kajian Imbak Canyon yang dibangunkan oleh PETRONAS dan Kumpulan Yayasan Sabah.

Pusat adalah kompleks yang mengandungi pejabat pentadbiran, makmal, dewan mesyuarat, dewan makan, asrama dan bilik penginapan yang terletak di pinggir Sungai Imbak.

Bagi penulis, semua kemudahan di sini sangat selesa walaupun bekalan elektrik buat sementara waktu dicatu iaitu sehingga jam 10 malam, manakala talian internet pula hanya boleh diperoleh di pejabat pentadbiran, bukan di bilik penginapan.

Pengurus ICCA, Dr Hamzah Tangki berkata, semua kemudahan yang dibina itu memang sudah bersedia untuk menerima kehadiran pengembara atau pelancong.

"Saya fikir kemudahan ini sudah cukup selesa dan dapat menampung kehadiran pelancong.

"Buat masa ini kami tidak dapat menawarkan pakej pelancongan tetapi mungkin menawarkan pakej aktiviti yang boleh dilakukan oleh pelancong apabila mereka berada di sini.

"Soal menguruskan pakej lawatan itu, biarlah kita serahkan kepada mana-mana ejen pelancongan," katanya.


KAYU belian mempunyai nilai sangat tinggi.

Kompleks perkhemahan yang teratur

Dalam sesi kunjungan ke ICCA yang diatur oleh Yayasan Petronas di Kota Kinabalu, penulis bersama sekumpulan rakan media Sabah dibawa pusat kajian saintifik di Batu Timbang terletak kira-kira 30 km dari Pusat Kajian Imbak Canyon.

Perjalanan mengambil masa lebih dua jam mengharungi tanah berselut bekas laluan lori balak, anak sungai dan cerun curam.

Setibanya di Batu Timbang, kami disambut dengan hujan lebat. Keadaan itu menjadikan sekitar pusat kajian saintifik Batu Timbang sangat becak.

Pusat kajian ini hanyalah khemah yang didirikan oleh renjer hutan dari Yayasan Sabah. Di sinilah menempatkan penyelidik, saintis, renjer, pengkaji hidupan liar sehinggalah kepada tukang masak.

Kompleks 'khemah' ini agak teratur. Ada bahagian yang khusus untuk dijadikan 'makmal', pusat sekretariat, dapur, 'dewan makan' dan tempat tidur berasingan antara lelaki dan perempuan. Malahan, tandas yang bersih dan selesa juga turut didirikan.

Bagi penulis ini pengalaman baharu yang menyeronokkan.


BUNGA rafflesia turut ditemui berhampiran Batu Timbang.

Stesen untuk penyelidik, pengkaji

Apabila hujan sudah reda, dengan diiringi dua renjer, kami kemudian dibawa melawat bunga rafflesia yang terletak kira-kira 800 meter dari perkhemahan ini.

Berjalan dalam hutan atau trekking sungguh mengasyikkan lebih-lebih lagi diiringi dengan bunyi air sungai mengalir dan kemudian air terjun.

Pada sebelah malam, dengan iringan hujan renyai, kami melihat persembahan daripada penyelidik untuk membentangkan hasil kajian dan penyelidikan mereka di ICCA.

Antaranya ialah Profesor Norhayati Ahmad yang membentangkan kajiannya mengenai spesies katak.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Sabah Environmental Trust, Dr Rahimatshah Amat berkata, ICCA memang berpotensi untuk dimajukan sebagai satu lagi produk eco-tourism baharu selepas Pusat Konservasi Lembah Danum.

"Lembah Danum suatu ketika dulu susah orang luar nak masuk, tetapi hari ini Lembah Danum menjadi destinasi pengembaraan dan percutian eco-tourism yang mahal.

"ICCA juga boleh menjadi tumpuan pelancong, mereka yang suka nature, kerana terdapat banyak aktiviti menarik di sini.

"Cuma tidak dinafikan kemudahan infrastruktur seperti jalan yang lebih boleh diperbaiki," katanya.


PANORAMA mendamaikan di Imbak Canyon.

Kayu paling keras

Dua hari berada di Batu Timbang terasa tidak mencukupi. Hujan lebat sepanjang malam menghalang kami menyertai sekumpulan saintis membuat kajian ke atas kelawar.

Kami kembali ke Pusat Kajian Imbak Canyon untuk melakukan aktiviti seterusnya di sana.

Aktiviti yang boleh dilakukan di sekitar pusat kajian ialah dengan trekking dalam hutan sejauh 700 meter untuk melihat pokok Belian gergasi yang dikatakan berusia ratusan tahun.

Pokok Belian adalah spesies kayu yang sangat keras dan mempunyai nilai sangat tinggi. Kami dapat merentasi jambatan gantung dan seterusnya menikmati Air Terjun Imbak dengan formasi batunya agak menasik. Ia tidak tinggi tetapi memanjang.

Banyak lagi aktiviti lasak boleh dilakukan dalam kawasan ICCA, termasuklah mendaki Gunung Kuli. Keseronokkan berada ICCA akan dirasai jika anda dapat menghayati alam semula jadi di sini.

312 dibaca
Berita Harian X