Ahad, 20 Ogos 2017 | 9:01am
LEMANG To'Ki yang berharga RM4.90 satu set. - Foto Siti Nur Mas Erah Amran
PERJALANAN menyelusuri hutan dan berpeluang melihat cendawan hutan. - Foto Siti Nur Mas Erah Amran
PERJALANAN menyelusuri hutan dan berpeluang melihat cendawan hutan. - Foto Siti Nur Mas Erah Amran
AKTIVITI 'nature walk' beramai-ramai sejurus selepas sarapan. - Foto Siti Nur Mas Erah Amran
PELANGGAN beratur menunggu giliran untuk membuat pesanan di kedai Lemang To'Ki. - Foto Siti Nur Mas Erah Amran
AIR terjun di Tanah Aina Farrah Soraya. - Foto Siti Nur Mas Erah Amran
PENULIS (dua dari kanan) bersama rakan-rakan yang menyertai aktiviti glamping di hujung minggu. - Foto Siti Nur Mas Erah Amran

Lepak santai dalam khemah 'glamor', ringkas

TIDAK sukar untuk melarikan diri dari kesibukan kota dan tenggelam dalam panorama hutan hijau sambil mendengar desiran air sungai menerusi aktiviti glamping di Bentong, Pahang.

Pakej percutian dua hari sahaja memberikan pengalaman baharu malah memberi ruang buat penulis bersama-sama tiga rakan untuk meneroka alam semula jadi yang masih terpelihara tidak jauh dari ibu negara.

Rasa teruja tidak dapat dibendung sehinggakan perjalanan dari Kuala Lumpur ke Bentong yang memakan masa hampir satu setengah jam terasa singkat.

Kemudahan selesa


PEMANDANGAN kawasan glamping di Bentong, Pahang. - Foto Siti Nur Mas Erah Amran. - Foto Siti Nur Mas Erah Amran


KHEMAH yang dilengkapi dengan katil, pendingin hawa mudah alih dan tandas. - Foto Siti Nur Mas Erah Amran

Setibanya di sana, kami ke kaunter mendaftar masuk dan kemudian dibawa ke dua khemah yang menghadap kolam mandi.

Dilengkapi dengan katil saiz Queen, pendingin hawa mudah alih, kipas, bilik mandi serta tandas membuatkan kami tidak perlu ke mana-mana kerana segala keperluan asas ada di dalam khemah.

Bilik air berkonsepkan alam semula jadi yang bersambung dengan khemah ditutupi dengan kayu-kayu kecil dan dihias dengan batu-batu sungai membuatkan suasana lebih asli atau natural.

Kami dinasihatkan melakukan aktiviti 'outdoor' kerana keadaan dalam khemah agak berbahang, terutama pada waktu petang.


KOLAM yang menggunakan air sungai memudahkan pengunjung bersantai. - Foto Siti Nur Mas Erah Amran

Sekitar khemah ini dipenuhi dengan kehijauan hutan dan air sungai yang jernih. Setiap pengunjung akan diberikan peta yang menyenaraikan aktiviti yang boleh dilakukan di sekitar Bentong.

Nikmati bunyi cengkerik

Disebabkan kelaparan, kami ke Restoran Tanah Aina Azareena kira-kira dua kilometer dari tempat penginapan.

Restoran ini terletak di tepi sungai, sekali gus menyejukkan mata.


LEMANG To'Ki yang popular menjadi persinggahan sesiapa sahaja yang ke Bentong. - Foto Siti Nur Mas Erah Amran

Kami mengambil kesempatan bersiar-siar dan terlihat seorang kakitangan restoran memancing ikan patin di kolam berhampiran.

Perjalanan diteruskan ke Bentong Walk kerana masing-masing malas menyewa basikal di tempat penginapan untuk mengambil angin.

Terdapat pasar malam di sini setiap Sabtu malam Ahad tetapi kami hanya mencuci mata sebelum menuju balik ke restoran untuk menikmati makan malam pula dengan menu utamanya patin stim masak tempoyak.

Balik ke tapak perkhemahan, tidak banyak aktiviti boleh dibuat pada waktu malam kecuali menikmati bunyi cengkerik di hadapan unggun api.

Suara sumbang di keheningan malam

Isyarat telefon yang lemah membuatkan masing-masing sukar untuk bermain telefon pintar dan masa ini digunakan sebaiknya berborak di hadapan unggun api.


BERSANTAI di depan unggun api yang disediakan pada waktu malam. - Foto Siti Nur Mas Erah Amran

Kakitangan pusat penginapan di sini, seolah-olah faham akan kebosanan yang melanda dan mencadangkan kami berkaraoke dengan bayaran RM25 sejam.

Apa lagi, tanpa melengahkan masa, kami masuk ke bilik aktiviti dan tidak lama kemudian, kedengaran suara sumbang kami memecah keheningan malam yang sunyi.

Pilihan lagu pelbagai bahasa juga membuatkan sejam berlalu pantas. Sebelum kembali ke khemah, kami dimaklumkan sarapan bermula pada jam 8 pagi diikuti aktiviti 'nature walk' yang mengambil masa kira-kira 45 minit.

Daki bukit, menoreh getah

Selepas memakai but kuning ala Phua Chu Kang, kami dibawa mendaki bukit kecil terletak di belakang tempat penginapan.


PENULIS (dua dari kanan) bersama rakan-rakan menyertai aktiviti 'nature walk'. - Foto Siti Nur Mas Erah Amran

Kami cuba menoreh getah dan menikmati pemandangan setibanya di puncak.

Laluan yang sedikit licin disebabkan hujan menyebabkan kami perlu berhati-hati sebelum dibawa menyusuri anak sungai untuk balik ke tempat penginapan.

Masa yang ada dihabiskan dengan berendam di dalam kolam depan khemah namun 'mood' sedikit terbantut sebaik menjejakkan kaki ke permukaan kolam yang berlumut. Airnya yang berkeladak dan keruh juga membuatkan kami mengambil keputusan untuk bersantai sambil merendamkan kaki sahaja.

Lemang, durian sebelum balik

Selepas daftar keluar, kami menuju ke Tanah Aina Farrah Soraya dan mengambil peluang untuk makan tengah hari dan mandi sungai. Kami mengambil pakej berharga RM130 untuk aktiviti jungle tracking, makan tengah hari dan minum petang.

Dalam perjalanan pulang, kami singgah di Lemang To'Ki yang popular keenakan lemangnya, dan selepas itu menikmati durian Musang King dijual di tepi jalan.

Pendek kata, trip ini dipenuhi dengan pelbagai aktiviti yang menyeronokkan. Tidak perlu berbelanja besar untuk menimba pengalaman baharu dan penulis pasti akan mencari lokasi glamping baharu untuk diterokai.

INFO

  • Glamping adalah gabungan perkataan glamor dan camping.
  • Ia adalah konsep penginapan dalam khemah yang serba lengkap untuk memastikan keselesaan pengunjung.
624 dibaca
Berita Harian X