Sabtu, 15 September 2018 | 12:47pm
SERANGAN fungus pada kuku sukar dirawat dan kerap berulang.

Elak jangkitan kulat kuku

Bayangkan ketika memakai kasut atau stokin, mata terpandang kuku jari kaki yang dijangkiti kulat, pasti menjijikkan.

Lebih memalukan apabila bentuk dan warna kuku berubah, terangkat daripada lantai kuku, menyebabkan berasa sakit dan berbau busuk.

Keadaan itu disebabkan jangkitan kulat kuku (Onychomycosis). Jangkitan bukan sahaja mengubah struktur asal kuku, malah menjadikannya rapuh, kasar, kulit dikeliling kuku mudah terkopek dan kehilangan bentuk asal.

Perunding perubatan, Dr Kamal Syakier, berkata lebih memburukkan kuku bertukar warna menjadi kekuningan, kusam atau kehitaman disebabkan pengumpulan sisa di bawah kuku.

Katanya, jangkitan kulat pada kuku kaki menyebabkan rasa pedih, sakit, jika dibiarkan tanpa sebarang rawatan, jangkitan akan merebak dan menjadi lebih serius.

“Apabila kuku kaki ada bintik-bintik putih dan kuning, wajar dirawat segera kerana mungkin sudah dijangkiti kuman,” katanya.

Jangan ambil remeh

Penyakit ini tidak harus dianggap ringan kerana mudah berjangkit dari kuku ke kuku lain hingga menyebabkan kerosakan kekal pada kuku berkenaan.

Dr Kamal berkata, kuku berwarna mempunyai rahsia tersendiri dan menggambarkan si pemiliknya menghadapi masalah kesihatan, termasuk penyakit kronik iaitu kencing manis.

Lebih teruk kesan pada pesakit kencing manis kerana peredaran darah boleh bahagian lain tubuh. Ia boleh menyebabkan sel pada kaki kurang menerima zat makanan dan mudah mengalami jangkitan.

“Justeru, pesakit kencing manis disaran memeriksa kaki setiap hari supaya sebarang kecederaan boleh dikesan awal.

“Luka kecil dan jangkitan kulat pada kuku menyebabkan pesakit mengalami komplikasi penyakit seperti ulser. Lebih buruk, luka atau jangkitan dialami pesakit kencing manis biasanya lambat sembuh,” katanya.

Punca jangkitan kulat

Kajian saintis ROOT of Science, kata beliau membuktikan punca jangkitan kulat itu dan menemui penawar untuk menghentikannya dalam masa kurang daripada seminggu.

“Serangan fungus pada kuku sukar dirawat dan kerap berulang. Bagaimanapun, melalui penjagaan rapi dan penggunaan ubat secara teratur dan masalah ini dapat dikawal.

“Individu mengalami masalah jangkitan kulat mungkin disaran mengambil pil antifungus boleh membantu menggalakkan pertumbuhan kuku baru selepas bebas daripada jangkitan.

“Rawatan kuku mengambil masa sehingga beberapa bulan untuk mendapatkan kesannya. Jadi anda perlu bersabar untuk melihat pertumbuhan kuku baru.

“Sapukan cecair pembasmi kulat yang mengandungi bahan aktif seperti clotrimazole’ yang berkesan menghapus kulat kuku ini,” katanya.

Cara jaga kuku

Selain memotong kuku sentiasa pendek, kering dan bersih, secara tidak langsung dapat memastikan kesihatan kuku berkeadaan baik.

“Potong kuku kaki melintang dan buang bahagian keras pada hujung kuku sahaja. Keringkan kaki terutama pada celah jari setiap kali selepas mandi. Lembapkan kuku dengan losyen selepas terlalu lama terdedah pada air.

“Memakai stokin daripada kain kapas yang dapat menyerap peluh dengan baik dan menukar sekerap mungkin terutama yang kuat berpeluh.

“Tanggalkan kasut beberapa kali sehari dan selepas bersenam. Selang-selikan pemakaian kasut bertutup dan bertali. Langkah terbaik memilih kasut yang memiliki pengudaraan baik.

“Gunakan semburan atau bedak antifungus pada kaki dan bahagian dalam kasut bagi memastikan kasut sentiasa kering ,” katanya.

Pakai sarung tangan getah, khususnya yang terdedah kepada air, seperti pekerja restoran ketika mencuci pinggan.

Jangan mengopek kulit di sekitar kuku kerana tindakan itu menjadi laluan kulat memasuki badan dan memulakan jangkitan. Basuh tangan setiap kali selepas menyentuh kuku yang dijangkiti kerana jangkitan kulat boleh merebak ke kuku lain.

INFO

* Kuku hitam - berkaitan penyakit barah kulit (melanoma);

* Kuku hijau - dijangkiti bakteria atau fungus;

* Kuku kebiruan - kurangnya pengaliran oksigen dalam darah, kebiruan di bawah kuku pula jangkitan paru-paru atau paru-paru tersumbat.

* Kuku berjalur putih - alami bronkitis kronik, sirosis (penyakit hati) dan penyakit jantung.

* Semua kuku berwarna putih - masalah buah pinggang, hati dan anemia (kurang darah).

* Kuku berwarna Patch/tompok putih/kuning - kurang zat besi, kencing manis atau arthritis.

* Kuku berjalur coklat atau merah - alami penyakit endokarditis (penyakit berkaitan jantung).

* Kuku pucat- mengalami anemia, sakit jantung, penyakit hati dan malnutrisi.

565 dibaca
Berita Harian X