Sabtu, 5 Mei 2018 | 7:50pm

'Hati saya umpama buah yang ranum'

"MENURUT doktor, hati saya umpama buah yang sudah masak ranum dan hanya tunggu masa untuk jatuh.

"Ketika ini, saya hanya bertahan dengan makan ubat sekali sehari bagi memastikan hati saya tidak dihinggapi," katanya bekas pengurus sebuah syarikat swasta, Mohd Azman Bidin yang terkejut apabila dimaklumkan mengalami penyakit hati selepas menjalani ujian saringan kesihatan, pada 2002.

Beliau yang kini masih bertahan dengan ubat antivirus, berkata tidak pernah merasa sakit kecuali mudah penat dan tidak bertenaga yang selama ini dianggap akibat faktor peningkatan usia.

Mohd Azman yang ketika itu berusia 37 tahun, diminta berjumpa dengan Pakar Hepatologi Kanan, Hospital Selayang, Dr Tan Seok Siam bagi menjalani menjalani ujian darah dan CT Skan.


MOHD Azman Bidin yang terkejut apabila dimaklumkan mengalami penyakit hati selepas menjalani ujian saringan kesihatan, pada 2002. - Foto Mahzir Mat Isa

"Saya disahkan mengalami hepatitis A dan lebih membimbangkan hati saya sudah berparut atau fibrosis dan hampir mengalami sirosis pada keseluruhan hati iaitu sudah berada pada tahap akhir.

"Ketika menjalani rawatan dengan makan ubat untuk hati sekali sehari, saya mengalami muntah darah yang teruk dan terpaksa tinggal di unit rawatan rapi selama beberapa hari," katanya.

Beliau ditemui selepas ceramah 'Ketahui Hepatitis, Bertindak Sekarang!" anjuran Kumpulan Penyokong Hepatitis (HSG) bersama Jabatan Hepatologi, Hospital Selayang, baru-baru ini.

Yang turut hadir, Dr Tan Seok Siam dan Pakar Hepatologi Hospital Selayang, Dr Noor Aliza Abd Mutalib.

Semakin tenat

Mohd Azman berkata, gejala lain yang dihadapi adalah mata dan badan menjadi kuning, selain perut membuncit serta mengandungi air sehingga tidak mampu untuk berjalan.

Mohd Azman berkata, keadaannya yang semakin tenat ketika itu menyebabkan nama beliau disenaraikan menjalani pemindahan hati tetapi agak sukar untuk mendapat penderma sesuai.

"Sekiranya radang berterusan selama lebih enam bulan, ia boleh menjadi kronik yang menyebabkan hati mengeras, seterusnya mengalami barah hati," katanya.

Sementara itu, Dr Tan berkata, hepatitis berlaku apabila hati terluka dan meradang, menjadi bengkak, sakit, seterusnya tidak dapat berfungsi seperti biasa dan membentuk parut yang keras.

"Hepatitis boleh berlaku tanpa disedari kerana gejalanya seakan sama dengan demam selsema biasa.

"Hepatitis berlaku akibat jangkitan virus, ubat yang dimakan, makanan tambahan seperti herba, alkohol, hati berlemak dan boleh berlaku secara auto imun yang mana imuniti badan secara automatik merosakkan hati," katanya.

Puca hepatitis

Hepatitis terbahagi kepada hepatitis A yang dijangkiti menerusi pemakanan tercemar seperti air dan tanah yang kotor seperti kerang yang dimasak tanpa dibersihkan daripada lumpur.

Manakala Hepatitis B dan C disebabkan virus sama yang menyebabkan kecederaan hati kronik dan boleh menyebabkan barah hati.

"Hepatitis B dan C boleh dijangkiti dengan menyentuh darah penghidapnya walaupun darah berkenaan sudah kering selain menerusi hubungan intim tanpa perlindungan, berkongsi jarum suntikan, pencukur, pengetip kuku, berus gigi, bertindik atau menjalani rawatan berbekam serta akupuntur.

"Bayi boleh dijangkiti daripada ibu tetapi hepatitis tidak boleh dijangkiti menerusi sentuhan, berpeluk, mangkuk tandas, berkongsi makanan, sudu atau garfu serta batuk," katanya.

Hepatitis C juga boleh dijangkiti menerusi pendermaan organ khususnya mereka yang menerima darah sebelum tahun 1995 kerana darah yang didermakan ketika itu tidak disaring.

Dr Noor Aliza, berkata Hepatitis A boleh hilang dengan sendiri manakala B dan C memerlukan rawatan berbeza tetapi pesakit boleh menjalani hidup normal dengan rawatan sewajarnya.

"Rawatan untuk Hepatitis B adalah menggunakan antivirus sepanjang hayat untuk melegakan gejala dan komplikasi seperti barah.

"Bagaimanapun, tidak semua memerlukan rawatan tetapi rutin untuk memantau penyakit sekurang-kurangnya setahun sekali membabitkan ujian darah serta ultra bunyi," katanya.

Antivirus dikenali sebagai Tindakan Anti Virus Secara langsung (DAA) digunakan untuk merawat Hepatitis C yang diperkenalkan sejak dua tahun lalu serta dapat mengurangkan risiko barah.

Info

Gejala Hepatitis:

- Selesema, demam dan rasa dingin.

- Rasa hendak muntah.

- Jaundis (mata dan kulit menjadi kuning).

- Air kencing berwarna gelap seperti air teh kosong.

- Najis berwarna terang atau pucat.

- Sakit abdomen.

- Keletihan.

Vaksin mencegah hepatitis:

- A - 3 kali suntikan

- B - 3 kali suntikan

- C- tiada vaksin

Ujian saringan kesan Hepatitis:

- Ujian darah

Siapa perlu ujian?

- Pesakit

- Keluarga terdekat pesakit yang mengalami Hepatitis B.

- Ibu hamil (boleh menjangkiti anak di dalam kandungan).

- Pengguna dadah menerusi suntikan.

- Mereka yang menjalani tatoo dan menindik badan

690 dibaca
Berita Harian X