Sabtu, 28 April 2018 | 1:16pm

Persediaan larian jauh

SEJAK kebelakangan ini, banyak acara maraton dianjurkan sama ada di dalam atau di luar negara dan ia seakan menjadi aliran baharu aktiviti sukan.

Maraton ini juga mendapat sambutan menggalakkan daripada pelbagai peringkat usia yang lazimnya disertai pada hujung minggu sebagai aktiviti beriadah.

Bagaimanapun, ramai tidak mempunyai ilmu secukupnya berkenaan sukan ini dan ada juga hanya fokus berlumba untuk sampai di garisan penamat.

Matlamat pelumba acara ini untuk memenangi pingat, hadiah tajaan manakala selebihnya sekadar suka-suka untuk mengeluarkan peluh dan meningkatkan kecergasan tubuh.

Perlumbaan sudah selesai, pingat sudah dimenangi dan apa terjadi kepada pelumba maraton selepas itu sebenarnya tidak seindah keceriaan mereka ketika menyertai larian.

Di bawah antara maklumat menarik mengenai apa yang disarankan kepada pelumba maraton sebelum, sepanjang dan selepas menamatkan larian.

1. Semburan pelega

Pastikan anda membawa produk semburan 'pembekuan' kerana ia membantu kaki kejang atau lenguh ketika dan selepas larian. Produk seperti aspirin ini membantu mewujudkan sensasi yang mengatasi isyarat sakit kepada otak.

Proses ini dikenali sebagai 'teori kawalan pintu', iaitu ketika berlaku dorongan saraf kepada rangsangan yang menghalang saraf dan memberi kesan kepada isyarat sakit pada otak.

Bagaimanapun, ia bersifat sementara dan bukan penyelesaian jangka panjang jika kecederaan berlaku.

2. Makanan seimbang

Sebelum anda berlari sejauh beratus kilometer, lapik perut dengan makanan berkhasiat dan penuh nutrisi seperti mentega kacang dan sandwic pisang. Pisang umpamanya memberikan khasiat dengan kandungan vitamin dan mineralnya yang penting seperti vitamin C, vitamin B Kompleks, kalium, kalsium, fosforus, zat besi dan magnesium.

Kandungan karbohidrat dalam pisang menjadi sumber tenaga untuk tubuh. Memakan dua biji pisang sehari dapat meningkatkan sistem imunisasi tubuh dan menambah tenaga melakukan aktiviti seharian.

3. Mandi ais

Selepas tamat perlumbaan, tentunya merindui rumah dan katil anda.

Bagi yang memilik tab mandian, tentu memikirkan mahu merendam tubuh dengan air sejuk atau panas.

Ahli fisioterapi pusat perubatan sukan di London, Neil Smith, berkata penyelidikan membabitkan perkara ini sentiasa berubah tetapi beliau menyarankan mandi ais mungkin lebih baik untuk pemulihan daripada mandian panas.

Jika anda terdorong untuk berendam atau menyiram tubuh dengan air panas ia juga bukan satu kesalahan.

4. Penggunaan garam magnesium

Ramai atlet maraton gemar memilih garam jenis magnesium sulfat, yang sering disyorkan sebagai ubat pasca maraton. Walaupun ia digunakan beberapa dekad, sebenarnya ada bukti menyokong penggunaannya dalam mengurangkan kesakitan otot. Boleh terus menggunakan garam ini jika ia benar serasi dengan anda.

5. Urutan sukan

Teknik urutan yang digunakan sebelum dan selepas meredah maraton adalah terapi kesihatan yang baik.

Idea baik disarankan Ahli Terapi Urut Sukan United Kingdom, Ellen Cook, iaitu semakin cepat anda mengurut, lebih baik kerana akan menyingkirkan sebarang asid laktik yang sudah dibina ketika perlumbaan dan seterusnya mengurangkan pembentukan otot yang tegang.

Urutan sukan membantu memanaskan gentian otot melalui geseran dan meningkatkan aliran darah dan peredaran. Apabila otot dalam keadaan hangat, ia mudah menjadi lebih lembut, tidak tegang dan menyelaraskan semula bahagian otot dan mempercepat proses penyembuhan.

6. Tidur lena

Tidur penting untuk pemulihan badan. Bagaimanapun, selepas larian maraton, kebanyakan pelumba kurang mendapat tidur sempurna walaupun letih kerana peningkatan hormon adrenalin yang tinggi ketika perlumbaan.

Anda disarankan memfokuskan kepada sesuatu yang menyenangkan. Elakkan penggunaan telefon dan dapatkan rehat secukupnya.

7. Kasut sukan selesa

Kasut selesa amat diperlukan untuk meneruskan larian ini. Ia boleh mengelakkan kaki kejang. Jika berlaku keadaan ini, jangan berhenti dan teruskan berjalan secara perlahan.

Kasut ketat boleh menyebabkan kaki melepuh menyebabkan kesukaran ketika berjalan. Selepas perlumbaan, pastikan anda mencuci luka ini dengan air panas, lap kering dan biarkan seketika untuk mengurangkan kesakitan.

169 dibaca
Berita Harian X