Sabtu, 7 April 2018 | 12:57pm
JAZREDAL (kiri) memberi pendedahan kepada kanak-kanak berkenaan terapi akuatik.

Terapi air rangsang sistem neuron

TERAPI akuatik atau air antara kaedah sesuai untuk kanak-kanak autisme yang berhadapan masalah pertuturan membina disiplin, kepekaan dan merangsang fungsi otak.

Pengetua Muslim Swimming and Sports Academy, Jazredal Aboo Bakar, berkata terapi akuatik masih baharu untuk dijadikan program rangsangan anak autisme terutama dalam mempertingkatkan kemahiran bertutur.

Berbeza di negara maju United Kingdom, Amerika, Australia, New Zealand dan hampir semua negara Eropah, terapi seumpama itu menjadi teras kepada proses pemulihan dan pembelajaran golongan berkenaan.

Melihat potensi terapi bertujuan membantu kanak-kanak autisme, Jazredal mencetuskan terapi Akuatik Spatial Dan Risiko (SPARISK) yang dilaksanakan sejak dua tahun lalu.

"Terapi meningkatkan disiplin, keupayaan kendiri, nilai kemanusiaan, fokus selain menstabilkan emosi anak autisme

"Saya tidak melatih jurulatih untuk terapi ini tetapi melatih ibu bapa atau penjaga kerana tahu mereka adalah insan paling dekat dengan anak istimewa ini," katanya.

Sepanjang dua tahun terbabit dalam inisiatif ini, lebih 100 kanak-kanak dan ibu bapa sudah dibantu bagi menjayakan program ini.

"Selain mengelak kemalangan disebabkan lemas, terapi bermain dan berenang memberi kesan terbaik terhadap tumbesaran kanak-kanak autistik," katanya.

Beliau berkata, kanak-kanak melebihi enam bulan sudah boleh didedahkan kepada aktiviti air, namun sewajarnya mendapat perhatian ibu bapa sepenuhnya.

Katanya, antara kebaikan lain, terapi berupaya meningkatkan kebolehan membaca, penguasaan bahasa dan pertuturan, pencapaian akademik dan kesedaran spatial (ruang).

"Aktiviti bermain di dalam air terutama dalam kalangan kanak-kanak autistik bukan sekadar merangsang otak tetapi menjadikan mereka lebih yakin dan cergas.

"Setiap kali sesi terapi, patuhi prosedur keselamatan sediakan pelampung supaya anak mudah terapung. Kemudian basahkan kepala dan ajaklah mereka bermain percikan air ke arah anda.

"Pegang kedua-dua tangan dan lambaikan ke atas dan bawah seperti burung terbang. Kemudian menepuk air berulang kali. Pergerakan ini merangsang sistem neuron mereka," katanya.

189 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »