Selasa, 13 Februari 2018 | 11:20pm
NOR Saadiah Ahmad Bustamam dan Normala Zaidi (kanan) menunjukkan menu ais kepal milo yang ada dijual di gerai Tok Abah di Pengkalan Pegoh di laluan Simpang Pulai. - Foto Balqis Jazimah Zahari
NOR Saadiah menyediakan ais kepal milo yang dipesan pelanggan di gerainya di Pengkalan Pegoh di laluan Simpang Pulai. - Foto Balqis Jazimah Zahari
NOR Saadiah Ahmad Bustamam melayan pelanggan di gerai Tok Abah di Pengkalan Pegoh di laluan Simpang Pulai. - Foto Balqis Jazimah Zahari
AIS kepal milo yang sudah siap dibungkus dijual kepada pelanggan di Gerai Tok Abah di Pengkalan Pegoh di laluan Simpang Pulai. - Foto Balqis Jazimah Zahari

Kedai ais kepal diserbu pelanggan

IPOH: 'Hirup sekali pasti termimpi-mimpi'.

Mungkin kata-kata ini agak keterlaluan bagi menggambarkan keenakan ais kepal Milo dijual Gerai Tok Abah. Namun, itulah hakikat gambaran diberikan pelanggan yang pertama kali menikmati menu unik itu.

Disebabkan keenakannya, gerai Tok Abah iaitu premis menjual ais kepal terletak di Pengkalan Pegoh di sini itu 'diserbu' pelanggan yang sanggup berbaris menunggu giliran.

Hidangan itu membabitkan bancuhan pekat Milo yang tuang di atas ais kisar dengan taburan kacang di atasnya sebagai pelengkap sudah cukup membuatkan pelanggan teruja untuk menikmatinya.

Pemilik gerai Tok Abah, Nor Saadiah Ahmad Bustamam, 33, atau lebih mesra dipanggil Ema berkata, gerai yang diusahakan dengan rakan, Normala Zaidi, 33, sejak dua tahun lalu itu pada awalnya hanya menjual juadah air batu campur atau ais kacang biasa dan laksa.

"Sebelum ini, gerai kurang mendapat sambutan. Saya mengambil cuti selama dua hari dan berbincang dengan rakan saya bagi memikirkan strategi dan menu baharu untuk menarik lebih ramai pelanggan.


AIS kepal milo siap dihidangkan kepada pelanggan di Gerai Tok Abah di Pengkalan Pegoh di laluan Simpang Pulai. - Foto Balqis Jazimah Zahari

NOR Saadiah melayan pelanggan di gerai Tok Abah di Pengkalan Pegoh di laluan Simpang Pulai. - Foto Balqis Jazimah Zahari

"Syukur idea dan resipi ais kepal Milo saya ini menjadi dan mendapat sambutan yang tidak disangka-sangka," katanya ketika ditemui BHPlus di gerainya di sini.

Nor Saadiah berkata, pada peringkat percubaan dia hanya menggunakan lima kilogram (kg) Milo saja sehari.

Namun, katanya, dalam tempoh tiga minggu kuantiti bahan itu yang diperlukan meningkat sekurang-kurangnya 50 kg, bagi menyediakan lebih 100 hidangan kepada pelanggan, sama ada dimakan di gerainya atau dibungkus setiap hari.

"Kini sebaik saya sahaja gerai dibuka jam 11.30 pagi, pelanggan terus menyerbu tanpa henti dan kami memang tidak menang tangan melayan pelanggan. Jualan ais kepal Milo semuanya habis dalam masa empat jam saja.

"Saya cuba membuat bancuhan sebanyak mungkin kerana tidak mahu pelanggan yang datang, pulang dengan perasaan hampa tetapi nampaknya ia masih tidak mencukupi, saya bercadang menambah lebih banyak bancuhan pada musim cuti sekolah nanti," katanya.


SEBAHAGIAN pelanggan yang menikmati ais kepal milo di gerai Tok Abah di Pengkalan Pegoh di laluan Simpang Pulai. - Foto Balqis Jazimah Zahari

Beliau berkata, pelanggan yang mengunjungi kedainya daripada pelbagai peringkat umur dan bangsa dan kebiasaannya mereka ialah pelanggan berulang yang menggemari ais kepal Milo.

"Kebanyakan pelanggan yang datang berkunjung dari sekitar Ipoh dan baru-baru ini saya ada menerima pelanggan dari Terengganu, Johor dan Kuala Lumpur yang datang ke gerai semata-mata mahu merasai menu ais kepal Milo saya," katanya.

Nor Saadiah berkata, setakat ini dia mempunyai tiga pekerja tetap dan bercadang untuk menambah pekerja pada masa akan datang untuk memudahkan pengurusan penyediaan menu termasuk laksa, ABC keladi dan keropok lekor.


SEBAHAGIAN pelanggan yang menikmati ais kepal milo di gerai Tok Abah di Pengkalan Pegoh di laluan Simpang Pulai. - Foto Balqis Jazimah Zahari

Katanya, dia juga merancang untuk menyewa sebuah kedai lain bagi memberi keselesaan kepada pelanggan yang datang.

"Saya dulu bekerja kilang dan sejak membuka gerai ini, pendapatan kami sekeluarga meningkat.

"Saya juga mengupah pekerja dalam kalangan anak muda yang masih menganggur supaya saya juga dapat membantu mereka memperolehi sumber pendapatan," katanya.

Sementara itu, pengunjung dari Batu Pahat, Johor, Nur Haslynda Ahmad Saleh, 26, berkata dia datang bersama saudaranya semata-mata mahu merasai ais kepal Milo selepas menjadi viral di laman sosial sejak lebih dua minggu lalu.

"Ini pertama kali saya mencuba, memang sedap dan bancuhan Milo terasa pekat dan asli. Rasanya saya akan datang sekali lagi ke sini untuk menikmati ais kepal Milo ini," katanya.


SEBAHAGIAN ais kepal milo yang sudah siap dibungkus dijual kepada pelanggan di Gerai Tok Abah di Pengkalan Pegoh di laluan Simpang Pulai. - Foto Balqis Jazimah Zahari

Pengunjung, Azila Mat Zin, 31, pula berkata dia yang juga penggemar tegar minuman Milo mengunjungi ke gerai berkenaan hampir setiap hari bagi mendapatkan menu berkenaan.

"Sejak merasainya sekali, saya sudah tidak boleh berhenti dan hampir setiap hari saya akan membawa keluarga datang ke gerai ini, jika tidak makan di sini, saya akan bungkus bawa balik," katanya.

Pengunjung, Roziana Abdullah, 37, dari Kampung Cempaka di sini pula berkata, dia menggemari campuran ais kepal itu kerana sesuai dengan seleranya.

 

"Saya memang suka mencuba sesuatu makanan unik. Ais kepal Milo ini memang cukup rasa, cukup lemak dan membuatkan saya menjadi ketagih untuk menikmatinya selalu," katanya.

INFO

  • Setiap menu ais kepal Milo yang dilengkapi 'topping' (taburan) kacang berharga RM4.
  • Memerlukan 50 kg Milo setiap hari bagi menyediakan bancuhan.
Berita Harian X