Isnin, 12 Februari 2018 | 10:10pm
WAK Khir menunjukkan Keris Melela Merhulu yang bersarungkan gading gajah. - Foto Ghazali Kori
WAK Khir menyarungkan Keris Melela Merhulu yang bersarungkan gading gajah. - Foto Ghazali Kori
PENGUNJUNG bertanyakan sesuatu kepada pemilik keris pada pameran keris di Rumah Awang Su, Losong, Kuala Terengganu. - Foto Ghazali Kori

Pengalaman mistik pemilik keris antik

KUALA TERENGGANU: Jika orang lain mempunyai 'kegilaan' menyimpan koleksi barangan antik seperti peralatan dapur dan perkakasan lama, lain pula dengan Wak Khir Kamidi, 70.

Wak Khir memang dikenali sebagai pemilik koleksi pelbagai keris yang menarik kerana memang hobi dan kegemaran beliau menyimpan keris antik.

Malah, kebanyakan senjata yang berada dalam simpanan Wak Khir yang berasal dari Johor Bahru, didakwa senjata dari zaman pemerintahan Majapahit berusia sehingga lebih 450 tahun.

Sehingga kini, sebanyak 150 senjata antik masih tersimpan di rumah bekas anggota Pasukan Polis Marin (PPM) ini, termasuk keris Pendawa Lima.

Keris antik memang selalu dikaitkan dengan alam mistik dan Wak Khir juga tidak ketinggalan menempuh pengalaman sedemikian.


SEBAHAGIAN pengunjung yang hadir pada pameran keris di Rumah Awang Su, Losong, Kuala Terengganu. - Foto Ghazali Kori

Pada sesetengah orang, mungkin menganggapnya sekadar cerita rekaan, namun tidak bagi bekas anggota PPM ini.

"Sebenarnya, banyak perkara mistik menimpa diri saya, isteri dan anak sepanjang saya mengumpul senjata antik bermula tahun 1970-an," katanya.

Wak Khir mendakwa, antara kejadian mistik dialaminya ialah berdepan lima pahlawan Indonesia yang 'muncul' daripada keris Pendawa Lima yang dibelinya pada 1985.

"Ia adalah pengalaman paling saya tidak boleh lupakan," katanya ketika ditemui pada pameran Keris di Rumah Awang Su, Losong, di sini.

Keris berkenaan memaparkan lima wajah pahlawan pada sebelah sisi, manakala sebelah lagi memaparkan wajah empat panglima agung dari Indonesia ketika zaman Majapahit.


KARNIVAL Pameran serta Pertandingan Keris Antik dan Baru, Pisau/Golok Baru Cantik Serta Tembaga Terbuka Terengganu 2017 anjuran Persatuan Seni Purba Terengganu (PSPT) di Rumah Awang Su, Losong, Kuala Terengganu. - Foto Ghazali Kori

Wak Khir berkata, beliau masih menyimpan keris berkenaan sehingga hari ini, namun selepas dibawa berjumpa seorang pakar keris di Indonesia, makhluk ghaib itu tidak muncul lagi.

"Saya hanya menceritakan pengalaman ini kepada orang yang ingin tahu sahaja. Sesiapa yang tidak bersetuju dengan cerita saya, mesti mereka akan mengatakan ia karut," katanya.

Bapa kepada tiga cahaya mata dan datuk kepada 13 cucu ini, berkata pada awal mendapatkan keris itu, jiwa dan fikirannya sentiasa memikirkan kemungkinan wujud unsur mistik pada senjata berkenaan.

INFO

  • Menyimpan 150 senjata antik sehingga kini.
  • Pendawa Lima yang dibeli pada 1985 menyimpan pelbagai mistik.
  • Mula mengumpul senjata antik pada 1970-an.
Berita Harian X