Rabu, 13 Disember 2017 | 11:12pm

Muzium Toys Universe pamer koleksi eksklusif

SIBU: Bermula dengan minat mengumpul koleksi patung atau figura aksi filem superhero popular, Richard Lee Ning, 31, akhirnya membuat keputusan membuka Muzium Toys Universe, di sini, bagi membolehkan orang ramai melihat koleksi eksotik dan eksklusif miliknya.

Ahli perniagaan muda itu berkata, beliau mula mengumpul figura itu sejak tujuh tahun lalu, didorong minat mendalamnya terhadap figura aksi bersaiz sederhana yang mempunyai perincian seolah-olah watak sebenar dalam filem.


KARAKTER Iron Patriot, yang dipakai oleh Lt. Colonel James Rhodes dalam filem Ironman 3. - Foto Harun Yahya

KARAKTER dalam filem Predators, ada diantara koleksi keluaran terhad ini semakin meningkat harga sehingga ada pihak yang berani menawarkan harga tidak masuk akal untuk memiliki koleksi ini. - Foto Harun Yahya

Malah, koleksi dipamerkan itu antara yang terbesar di Asia, dengan memiliki koleksi figura dari siri filem Marvel dan The Avengers, termasuk Ironman, Captain America, The Hulk dan Thor, kepada watak dalam filem Justice League seperti Batman, Superman dan Wonderwomen.

Turut dipamerkan, figura aksi seperti Transformers, Predators, KungFu Panda dan pelbagai watak utama dalam siri filem Star Wars yang cukup popular di serata dunia.

"Antara tarikan utama ialah lima figura aksi bersaiz sebenar, termasuk dua Ironman dan satu Iron Patriot, selain satu Hulkbuster. Kesemua patung bersaiz sebenar ini bernilai lebih RM70,000 setiap satu mengikut pasaran semasa.


SEKUMPULAN pelawat bergambar dihadapan Hulkbuster. Replika ini dan replika Hulk merupakan 2 bahan pameran terbesar yang dipamerkan di muzium ini. - Foto Harun Yahya


KARAKTER Teenage Mutant Ninja Turtles turut dipamerkan. Figura aksi bersaiz sederhana ini lebih diminati dikalangan pengumpul figura aksi kerana replika bersaiz sederhana kerana buatannya yang lebih terperinci berbanding figura aksi bersaiz besar. - Foto Harun Yahya

"Ia dipinjamkan oleh rakan baik saya, yang juga seorang pengumpul tegar koleksi figura, untuk dijadikan bahan pameran di muzium ini," katanya dalam pertemuan bersama BH, di sini.

Menceritakan sebab utama muzium itu dibuka, Richard berkata, ia sebahagian daripada inisiatif beliau dan rakan baiknya untuk mewujudkan satu tarikan baharu di Sibu sebagai destinasi pelancongan terkemuka di Sarawak.

"Saya graduan dari New Zealand. Anda boleh bayangkan sejak saya remaja hingga tamat pengajian, seterusnya pulang ke Sibu, bandar ini masih sama tanpa ada elemen baharu yang mampu menarik golongan muda, terutama dalam konteks hiburan.


BARISAN karakter dari filem Avangers, koleksi di muzium ini dipercayai antara koleksi figura aksi superhero paling banyak yang dikumpulkan di satu tempat. - Foto Harun Yahya

"Maka, saya mengemukakan cadangan kepada Majlis Perbandaran Sibu (MPS) untuk mendapatkan kelulusan pembinaan muzium dua tingkat ini. Selepas hampir dua tahun merancang, akhirnya impian membuka Muzium Toys Universe menjadi kenyataan," katanya.

Terletak di Lorong 7, Jalan Pedada, di sini, Richard menjanjikan apa yang disaksikan di muzium dua tingkat itu adalah koleksi eksklusif dan tidak terdapat di mana-mana lokasi di Malaysia mahupun Asia.

"Keseluruhannya, lebih 70 figura aksi dipamerkan di sini. Lebih RM500,000 saya belanjakan untuk membina muzium ini, manakala RM400,000 bagi mendapatkan koleksi berkenaan dari seluruh dunia, termasuk Amerika Syarikat, Perancis, Singapura, Jepun dan China.

"Kesemua figura aksi di sini dipatenkan bagi mengelak timbul sebarang masalah. Sebagai ahli perniagaan, saya tidak mahu mengambil risiko peribadi untuk berdepan dengan saman dan tindakan undang-undang kerana mempamerkan watak ini kepada umum seperti ini.


RICHARD bergambar di hadapan sebuah Ironman 'Hulkbuster', yang merupakan Sut Ironman ke 44 milik Tony Stark dalam filem Avengers:Age of Ultron. - Foto Harun Yahya

"Sebab itulah, saya memilih jalan panjang untuk melesen dan mendapatkan kebenaran daripada pemilik hak cipta kesemua watak ini," katanya.

Katanya, tiket yang dikenakan kepada pengunjung juga sangat murah iaitu RM15 seorang (dewasa) dan RM10 seorang (kanak-kanak), manakala guru boleh memasukinya secara percuma untuk mengiringi lawatan pelajar mereka.

"Ramai yang bertanya kenapa tiket masuk begitu murah. Bagi saya, saya mahu berkongsi koleksi saya kepada umum dan bukannya mengaut keuntungan. Harga tiket yang dikumpul juga hanya untuk membayar gaji pekerja, sewa bangunan dan kos penyelenggaraan," katanya.

Ditanya perancangan masa depan, Richard berhasrat membuka sebuah zoo yang mengkhususkan kepada haiwan eksotik dari seluruh dunia.

Pupuk kesedaran sivik generasi muda

Dilihat dari segi keselamatan, muzium ini hanya meletakkan figura bernilai tinggi ini di atas tapaknya tanpa ditutup dengan kotak kaca dan hanya diletakkan rantai pemisah di antara pengunjung dan bahan pameran.

Richard berkata, beliau ada sebab tersendiri mengapa faktor keselamatan figura hanya diletakkan di paras minimum di muzium berkenaan.

"Rakyat Sibu dahulunya terkenal dengan sikap sambil lewa, pantang ada benda cantik pasti tangan mereka mahu cuba merosakkannya. Inilah yang saya mahu ajar kepada generasi muda di sini agar belajar menghargai sesuatu yang cantik.

"Tanpa kotak kaca, mereka berpeluang melihat dengan lebih dekat, sekali gus memberi pengalaman peribadi yang lebih menarik kepada pengunjung. Mereka hanya melihat dan mengagumi bahan pameran tanpa perlu menyentuh dan menjatuhkannya," katanya.


KARAKTER Superman, salah satu figura aksi ikonik yang wajib dimiliki peminat hobi mengumpul figura aksi. - Foto Harun Yahya

Beliau menyedari tindakannya itu mengundang risiko, termasuk kerugian besar sekiranya bahan pameran itu mengalami kerosakan atau dicuri.

"Justeru, saya dan pekerja akan mengiringi pengunjung yang datang dan dihadkan hanya 50 pelawat pada satu-satu masa di setiap tingkat muzium ini. Saya tahu setiap figura itu sukar dicari ganti jika terjatuh dan rosak kerana semua bahan pameran ini adalah keluaran terhad, malah ada di antaranya semakin meningkat nilai.

"Namun, itulah pengorbanan yang sanggup saya buat demi anak Sibu dan penduduk sekitarnya. Saya mahu mereka tahu koleksi di hadapan mata mereka ini amat eksklusif dan tidak dapat ditemui walaupun mereka pergi ke Amerika Syarikat, England atau ke Jepun sekalipun," katanya.

Beliau mendedahkan pihaknya merancang untuk mengubah tema Muzium ini selepas mempunyai jumlah pengunjung yang mencukupi. 

"Kami merancang untuk meletakkan watak-watak yang comel bagi menarik perhatian kumpulan kanak-kanak yang meminati watak seperti Snoopy dan Garfield. Kami juga akan mengikut tema filem yang sedang ditayangkan di pawagam untuk memberikan keterujaan berterusan kepada pengunjung," katanya.

INFO

Muzium Toys Universe:

  • Mempamerkan lebih 70 figura aksi.
  • Kos pembinaan lebih RM500,000.
  • RM400,000 dibelanjakan bagi mendapatkan koleksi berkenaan dari seluruh dunia, termasuk Amerika Syarikat, Perancis, Singapura, Jepun dan China.
  • Tiket masuk RM15 seorang (dewasa) dan RM10 seorang (kanak-kanak).
  • Guru masuk percuma untuk mengiringi lawatan pelajar.
Berita Harian X