Sabtu, 29 Julai 2017 | 12:06am
Bersantai di atas jaring atau jakuzi air masin pilihan popular pelancong.

Bersantai atas bot menyusuri Langkawi

Menikmati makan malam atas kapal layar, ketika matahari terbenam menyerlahkan warna jingga di sebalik gugusan kepulauan Langkawi, bertambah romantik ditemani orang tersayang di sisi.

Daripada pengamatan, bukan saja pasangan kekasih mahupun suami isteri memilih suasana romantik dalam pelayaran di lautan luas, malah sekumpulan rakan karib begitu juga keluarga, percutian atau pelayaran yang dikenali Sunset Dinner Cruise ini dianggap mampu mempereratkan hubungan.

Paling penting jauhi gajet, sebaliknya menjalin hubungan harmoni, sambil menikmati panorama alam.

Pakej makan malam romantik

Hidangan lazat barbeku kambing, daging dan ayam, selain sate yang dipanggang di atas kapal ketika pelayaran, pasti membuka selera apabila dimakan panas-panas.

Perut pasti berasa keroncong sebaik pelayaran bermula dari Jeti Awana yang terletak bersebelahan hotel terkemuka, belayar ke gugusan kecil kepulauan Langkawi. Pelayaran menaiki kapal layar dinamakan Seasation bermula jam 5 petang.

Pilih pakej makan malam romantik atas kapal layar. Kelihatan agak mewah, tetapi jika ada duit lebih apa salahnya memanjakan diri dengan percutian yang santai dan bergaya ini.

Penulis yang ditemani beberapa rakan agak bernasib baik kerana cuaca pada petang itu sedikit berawan dan mendung, namun tidak menunjukkan tanda-tanda hujan. Keadaan itu sudah menggembirakan kami kerana pelayaran mengelilingi Pulau Jerkom Besar dan Pulau Jerkom Kecil, menampilkan pemandangan yang sangat indah terutama menjelang waktu senja.

Bagi sekumpulan pelancong Eropah dan Korea Selatan, mereka tidak melepaskan peluang menikmati jakuzi asli atau lebih popular dikenali jacuzzi air masin apabila berbaring santai di atas jaring yang direntang di buritan kapal layar sambil menikmati jus buah-buahan segar dan selfie.

Popular dalam kalangan pelancong asing

Kapten Abu Hassan yang mengendalikan Seasation, berkata pelancong asing paling ramai memilih pakej berkenaan kerana mereka tahu, pemandangan sekitar Pulau Langkawi yang amat mempesona ketika waktu senja.

"Sebaik saja berlepas dari Jeti Awana, petugas akan melepaskan jaring jakuzi asli kerana selain makan malam romantik, aktiviti berkenaan paling popular dalam kalangan pelancong.

"Saya akan mengemudi kapal mengelilingi beberapa pulau untuk memberi peluang kepada mereka menikmati pemandangan yang mempesona dalam waktu lebih panjang sebelum berpatah kembali ke jeti," katanya.

FAKTA NOMBOR

* 3 jam - tempoh pelayaran

* 7 kilometer - jarak pelayaran

* 30 minit - dari pekan Kuah ke Jeti Awana

592 dibaca
Berita Harian X