Ahad, 7 Oktober 2018 | 3:33pm
KOLAM Air Panas yang terletak di Pekan Air Panas. - Foto Adi Safri

Buih didih gamit pelancong

DAERAH Labis kaya dengan keindahan flora dan fauna, selain menjadi sebahagian daripada nadi kepada hasil pertanian di sebelah kawasan utara di Johor.

Keindahan hasil bumi berkenaan menyebabkan kawasan daerah yang dahulunya seakan sepi kini bertukar wajah apabila mula menerima kehadiran pelancong tempatan dan luar negara.

Antara lokasi menarik yang menjadi tarikan pelancongan utama di sini ialah Kolam Air Panas yang terletak di Pekan Air Panas dalam mukim Tenang, kira-kira 10 kilometer dari Labis.

Suhunya antara 40 hingga 70 darjah celcius menjadikan lokasi kolam air panas ini akan memberikan pengalaman baharu kepada pengunjung yang pertama kali datang ke sini.

Sejarah kolam air panas


PAPAN tanda ke Kolam Air Panas. - Foto Adi Safri

Bagi penduduk di daerah ini, kehangatan air dalam kolam ini didakwa mampu merawat lenguh kaki, sendi atau sekadar memberi kelegaan daripada keletihan jika seharian mengelilingi daerah penuh warisan dan sejarah ini. Ini mungkin disebabkan kandungan sulfur yang tinggi menyebabkan kolam air ini turut mengandungi mineral lain yang tinggi.

Mengikut sejarah, kawasan kolam air panas ini ditemui oleh Muhammad Ariffin Aladin yang juga dikenali sebagai 'Tok Tenang' pada 1806 selepas beliau membuka sebuah penempatan baharu tidak jauh dari kawasan kolam air panas ini dikenali sebagai Kampung Tenang.

Pada mulanya, Tok Tenang yang berasal dari Segamat dikatakan bersama anak dan pengikutnya ke kawasan ini pada 1801 untuk membuka kawasan baharu bagi tujuan pertanian.

Kolam air panas ini dikatakan ditemui oleh Tok Tenang ketika sedang membersihkan hutan bagi memperbesarkan lagi Kampung Tenang sedia ada bagi menampung jumlah penduduk yang semakin bertambah.

Keluar buih air panas


RAMAI pengunjung ke sini khususnya pada hujung minggu dan cuti umum. - Foto Adi Safri

Pada mulanya, Tok Tenang mendapati kawasan terbabit yang baharu diterokainya itu berair dan akhirnya memutuskan untuk menjadikannya sebagai kawasan menanam padi. Tetapi anehnya, sawahnya mengeluarkan buih seperti buih air panas yang mendidih.

Akhirnya Tok Tenang membiarkan kawasan itu dan menjadikannya sebagai sebuah kolam air membasuh pakaian dan tempat penduduk mandi, selain melakukan perkara harian lain.

Hari ini, kawasan kolam air panas di lokasi yang sama sudah berubah wajah apabila kini dijadikan sebagai destinasi tarikan pelancong di daerah Labis, selain menjadi tumpuan kepada penduduk setempat untuk beristirehat bersama keluarga.

Tinjauan NSTP di kawasan kolam air panas terbabit kini sudah dimajukan dan pelbagai kemudahan turut disediakan bagi tujuan keselesaan pengunjung di kawasan ini yang hanya dikenakan bayaran serendah RM3 sahaja.

Di sini, kolam air panas terbabit sudah diselenggara semula dengan kawasan ia dipecahkan kepada empat jenis kolam utama yang disediakan mengikut tahap kepanasan kolam dan kedalaman dengan semua kawasannya kini berbumbung.

Kemudahan lain seperti surau, wakaf, taman permainan kanak-kanak, tandas yang selesa bagi kegunaan pengunjung seisi keluarga ke kawasan ini.

Kerap kunjungi lokasi ini

Pengunjung, Ismail Mohid, 55, berkata beliau sering ke kolam ini sebagai sebahagian daripada ikhtiar perubatan selepas mengalami serangan jantung kira-kira empat tahun lalu.

Katanya, seorang kenalan memberitahu mengenai kolam air panas ini dan khasiatnya boleh membantu merawat penyakit berkenaan membuatkan kesihatannya bertambah baik.

"Selepas terkena serangan jantung, saya ikhtiar beberapa rawatan lain sehingga seorang rakan berbangsa Cina memberitahu mengenai kolam air panas ini. Dia mendakwa khasiat kolam air panas meminta saya mencuba.

"Sejak itu, saya sering mengunjungi tempat ini. Dulu, saya ke sini dua hari sekali dan Alhamdulillah, kesihatan kembali pulih. Walaupun sudah stabil, saya tetap berkunjung ke sini tetapi tidak sekerap dahulu, cuma dalam seminggu sekali," katanya berasal dari Bukit Kepong, Muar dekat sini.

Ismail berkata, kemudahan selesa antara dan berharap infrastruktur terjaga kerana ramai pelancong yang berkunjung ke sini.

Pelbagai kemudahan disediakan

Bagi Naru Osman, 51, berkata kunjungan awalnya ke kolam air panas ini juga sebahagian daripada ikhtiar untuk mengubati ketumbuhan pangkal rahim yang dideritai, sebelum ini dan bersyukur sumber semula jadi itu juga membantunya pulih daripada penyakit berkenaan.

“Saya disahkan mempunyai ketumbuhan pada pangkal rahim pada tahap 7.6 dan doktor memberi ubat dan menyarankan supaya menjaga pemakanan. Kemudian, saya diberitahu mengenai kolam air panas ini dan boleh dikatakan setiap hari ke sini.

“Sebulan selepas itu, saya berjumpa doktor dan mendapati ketumbuhan terus mengecil pada 5.1 sebelum akhirnya mengecil pada tahap 1.1 sahaja dan doktor berkata saya sudah pulih," katanya.

Selain daripada berdoa kepada Allah, beliau hanya berikhtiar dengan meminum air yasin dan berendam atau mandi kolam air panas ini sehingga akhirnya sihat kembali.

Katanya, walaupun sudah pulih, beliau tetap berkunjung ke kolam air panas itu kerana ia juga boleh memberikan kesihatan pada tubuh badan, selain kemudahan yang disediakan cukup selesa kepada semua lapisan pengunjung ke sini.

INFO

- Jarak 239 kilometer dari Kuala Lumpur

- Jarak 157 kilometer dari Johor Bahru

- Jarak 40 kilometer dari bandar Segamat

- Dipercayai kolam air panas ini berpunca daripada kandungan sulfurnya yang tinggi

- Kawasan sekitar juga turut terkenal dengan tanaman buah mata kucing dan durian

1074 dibaca
Berita Harian X