Ahad, 30 September 2018 | 2:07pm
Foto hiasan.

Teluk Derdak pilihan penyu bertelur

Peluang menyaksikan penyu bertelur sesuatu yang begitu dinanti-nantikan, bukan sahaja pelancong luar negara, malah penduduk tempatan di kawasan perairan pantai Laut China Selatan di Terengganu juga teruja.

Pengalaman melihat penyu bertelur adalah sesuatu yang menakjubkan buat penulis, selepas dimaklumkan seekor penyu akan mendarat di Teluk Derdak sempadan di antara Terengganu dan Pahang.

Pada malam berkenaan, pihak pengurusan Resorts World Kijal, Terengganu membawa wakil media menyaksikan penyu yang mendarat daripada spesies agar atau nama saintifiknya chelonia mydas.

Penyu reptilia unik, terdapat tujuh spesies dan empat daripadanya mendarat dan bertelur di pantai Malaysia terutama Terengganu. Antara spesies yang banyak mendarat di lokasi berkenaan iaitu belimbing, karah atau sisik, agar dan lipas.

Pendaratan itu menjadikan tempat berkenaan lokasi tumpuan pelancongan dunia.

Lemak badan warna hijau

Spesies agar turut dikenali sebagai penyu hijau disebabkan lemak di dalam badannya berwarna hijau.

Saiz badannya kira-kira 1.2 meter (m) panjang dan berat boleh mencecah 270 kilogram (kg) ke atas. Kuantiti telurnya 100 hingga 140 biji untuk sekali menetas.

Telurnya kelihatan seperti bola ping pong dengan beratnya kira-kira 10 gram (g).Musim penyu bertelur antara April sehingga September setiap tahun.

Telurnya bulat dengan kulit lembik dan bergaris pusat lima sentimeter (sm). Penyu ini terdapat di kebanyakan negeri di negara ini kecuali Kelantan, Negeri Sembilan, Selangor dan Perlis.

Apa yang menarik, anak penyu akan pulang semula ke pantai yang sama kira-kira 20 hingga 30 tahun akan datang selepas menetas. Namun, hanya penyu betina sahaja yang pulang, manakala penyu jantan merayau di lautan atau pergi ke pantai lain.

Ini antara faktor yang menarik kunjungan pengunjung ke pantai sekitar Terengganu.

Jangka hayat hingga 100 tahun Jangka hayat seekor penyu boleh mencecah 80 hingga 100 tahun. Dianggarkan 119 biji telur penyu dikutip pada malam itu dan keseluruhannya mengambil masa hampir dua jam untuk penyu menggali lubang besar sebelum bertelur.

Ketika inilah pelancong mengambil kesempatan merakamkan saat menarik.

Pemandu pelancong, Fadhil Izzuddin Ariffin, 25, berkata beliau mengenali penyu dengan hanya melihat ciri luarannya sahaja.

Beliau berkata, apa yang dilihatnya pada malam ini boleh dikatakan berumur antara 30 hingga 40 tahun disebabkan warna di badannya lebih kepada kelabu gelap.

Jika berwarna kuning gelap bermakna penyu sudah tua.

Katanya, suhu memainkan peranan penting dalam menentukan jantina telur penyu. Suhu panas mempercepatkan lagi proses telur menetas.

Kategori telur tentukan jantina

“Telur berusia kurang 50 hari akan menjadi penyu betina, manakala telur yang berusia lebih 50 hari ia akan menjadi penyu jantan.

“Saya pernah melihat penyu bertelur hingga ke akhir hayatnya. Selepas penyu berkenaan bertelur dan mengambus telurnya dengan pasir, penyu ditemui mati di atas lubang telur secara semula jadi dan bukan disebabkan faktor lain,” katanya yang ditemui di tempat menyaksikan penyu, baru-baru ini.

Fadhil turut menasihatkan pelancong tidak menggunakan cahaya telefon pintar apabila mengambil gambar penyu yang bertelur.

“Pancaran menyebabkan penyu berhenti bertelur kerana mengesan gangguan. Pelancong juga tidak digalakkan memakai baju berwarna cerah ketika mengikuti lawatan menyaksikan penyu bertelur kerana boleh mengganggu penyu berkenaan.

“Ketika hujan, penyu berhenti bertelur apabila melihat kilat kerana berasa terancam, ini adalah fenomena semula jadi. Penyu tunggu hujan berhenti atau naik semula ke pantai keesokan harinya,” katanya.

Info

Jenis penyu

1. Penyu belimbing

2. Penyu agar

3. Penyu karah

4. Penyu lipas

5. Tuntung Laut

Penyu belimbing

Nama saintifiknya

Dermochelys Coriacea

Penyu terbesar di dunia

Berukuran 1.5 hingga 2 m

Berat mencecah 500 kg

Musim bertelur antara Mei hingga Ogos

Penyu agar

Nama saintifiknya

Chelonia Mydas

Berukuran 1 m

Berat boleh mencecah 270 kg

Musim bertelur antara April hingga September

Penyu karah

Nama saintifiknya

Eretmochelys Imbricata

Berukuran 0.8 hingga 1 m

Berat badan 80 kg

Musim bertelur antara Mac hingga Jun

Penyu lipas

Nama saintifiknya Lepidocheylys Olivacea

Saiz antara 40 hingga 60 sm

Berat 50 kg

Musim bertelur antara Mac hingga Jun

Tuntung Laut

Nama saintifiknya

Batagur Borneoensis

Saiz antara 50 hingga 60 sm

Berat 20 hingga 30 kg

Musim bertelur antara Jun hingga Ogos

196 dibaca
Berita Harian X