Ahad, 13 Mei 2018 | 11:06am
Pengunjung menikmati buah-buahan segar dari dusun MARDI.

Pesta makan buah-buah di tapak penyelidikan

SEKALI pandang, Taman Agro Teknologi, Stesen MARDI, Langkawi mungkin kelihatan bukan destinasi pelancongan untuk dikunjungi.

Hakikatnya ia satu lagi tempat yang wajar dimasukkan ke dalam program percutian bagi memberikan pilihan untuk mereka yang menggemari buah buahan tempatan atau pelancongan berkonsep agro.

Ketika rombongan media Road To Agrotourism (RTA), Siri 4, Zon Utara Kedah-Langkawi tiba di stesen ini, kami disambut oleh Pengurus Stesen, Abd Kadir Din dan kakitangannya dengan patung origami, burung dan belalang yang diperbuat daripada daun kelapa.

RTA dianjurkan Majlis Pelancongan Malaysia (MTC) dengan kerjasama Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) dan Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) bagi mempromosikan pelancongan agro di negara ini.

Kami teruja apabila dibawa menaiki lori yang diubah suai seakan buggy dan melalui celah rimbunan pokok buah buahan seperti rambutan, belimbing, pulasan, nangka, mangga dan jambu air.

Kami diturunkan di sebuah kafeteria yang terletak di puncak bukit dengan pemandangan hijau pohon buah-buahan. Kemudian menikmati bufet buah-buahan tempatan seperti tebu, tembikai, nangka madu, kedondong, belimbing dan limau tambun.

Terdapat juga kuah rojak yang siap diletakkan dalam bekas kecil dan besar dan dijual pada harga serendah RM1 untuk dimakan bersama buah-buahan disediakan.

Abd Kadir berkata, bufet berkenaan antara yang menarik disediakan untuk pengunjung di taman berkenaan.

"Ramai tidak menyedari keunikan taman ini kerana daripada luar, mereka fikir ia sebuah tempat membuat penyelidikan.

"Hakikatnya, ia dibuka kepada orang ramai setiap hari kecuali Jumaat bermula 8 pagi sehingga 5 petang pada caj serendah RM10 untuk dewasa dan RM5 untuk kanak-kanak iaitu untuk pelancong tempatan," katanya.

Abd Kadir yang fasih bertutur bahasa Arab rajin melayan pelancong dari Timur Tengah sambil mengambil gambar mereka dengan teknik yang menghasilkan imej buah buahan gergasi yang dipegang oleh pengunjung.

Kakitangan yang lain pula menunjukkan teknik menganyam kelapa muda yang menghasilkan bentuk fauna seperti burung dan belalang yang dihadiahkan kepada pengunjung.

Selain pokok buah-buahan, kami juga berpeluang mengunjungi ladang anggur iaitu salah satu projek penanaman yang dimulakan pada 2011 di taman ini.

Ladang itu juga adalah hasil kajian serta penggunaan teknologi yang dibangunkan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI).

Gugusan buah anggur yang menghijau di celah celah dahan yang rendang cukup mengujakan pengunjung.

 "Selain dusun buah-buahan, di taman ini juga terdapat pokok nadir seperti pokok pisang, buah Melaka, beruas dan setol.

 "Tanaman lain seperti laici, koko, kopi dan buah nona selain ternakan seperti rusa serta kambing," katanya.

Katanya musim buah-buahan selalunya pada Julai, Ogos dan September, membolehkan pengunjung melihat secara lebih dekat dan memetik buah-buahan di sini.

INFO: Taman Agro Teknologi MARDI Langkawi

Alamat: - Jalan Padang Gaong, Lubuk Semilang, Ulu Melaka Kuah.

Jumlah tanaman: - 20 jenis tanaman buah buahan tempatan 

Keluasan: - Lebih 27 hektar.

Jumlah pengunjung: - 100,000 (dalam dan luar negara).

Cawangan taman lain: - Cameron Highlands
- Cherating
- Kuala Kangsar.

563 dibaca
Berita Harian X