Ahad, 29 April 2018 | 10:38am

'Taj Mahal' Malaysia

MUNGKIN ada yang berkunjung ke daerah Pekan, Pahang sekadar untuk menikmati puding raja atau murtabak Mengkasar, iaitu antara hidangan popular di daerah berkenaan.

Selain itu, pengunjung yang beranggapan ada apa dengan Pekan? Lebih baik berkunjung ke Kuantan jika hendak bercuti, sebenarnya mereka tersilap membuat percaturan mengenai destinasi pelancongan yang terdapat di Pahang.

Tak kenal maka tak cinta. Seharusnya bagi individu yang gemar meneroka keunikan sesuatu tempat, Pekan Bandar Diraja ini adalah lokasi sesuai dikunjungi.

Jika sebelum ini pelancong perlu mengembara hingga ke Agra, India untuk melihat keindahan dan kehalusan seni reka Taj Mahal yang dinamakan antara Tujuh Benda Ajaib Di Dunia, di negara ini juga ada.

Penulis yakin ramai yang belum tahu, warga Pekan hari ini boleh berbangga dengan produk pelancongan baharu, iaitu Muzium Masjid Sultan Abdullah yang digelar Taj Mahal Malaysia.


Deretan rumah kedai lama berhadapan Sungai Pahang yang berusia puluhan tahun.

Ruang solat dalam muzium. - Foto Muhd Zaaba Zakeria

Artifak tamadun Islam

Bangunan asal masjid dengan reka bentuk moorish ini dibina pada awal 1929 dan siap setahun kemudian. Proses pengubahsuaian Masjid Sultan Abdullah kepada muzium kesenian dan intelektual Islam Pahang mengambil masa dua tahun.

Reka bentuk dan seni bina asal bangunan berkenaan masih dikekalkan dan dicat putih kesemuanya, namun ia berkonsepkan muzium dalam taman dengan binaan kolam air pancut di hadapan pintu masuk muzium menjadikan ia kelihatan persis Taj Mahal, sekali gus dianggap ikon pelancongan baharu Pekan Bandar Diraja.

Pemandangannya begitu memukau terutama ketika langit biru ketika cuaca dalam keadaan baik.

Tiada sebarang bayaran dikenakan dan ia ditutup setiap Isnin. Namun, satu kerugian sekiranya tidak berkunjung ke sini kerana di dalamnya menyimpan pelbagai artifak tamadun Islam termasuk ruang solat berjemaah.


Peralatan komunikasi tradisional yang dipanggil ketuk-ketuk turut dipamerkan dalam muzium.

Tampil produk ekopelancongan

Ketika mengikuti program promosi Serambi-bandar Pekan-Kuala Pahang, minggu lalu, penulis sempat melihat Batu Nisan Permatang Pasir di muzium berkenaan apabila kedatangan Islam di Pahang berjaya dibuktikan dengan penemuan artifak itu di Teluk Che Munah pada Jun 1953.

Tarikh yang tertera pada batu nisan itu ialah 419 Hijrah (1028 Masihi), manakala Batu Bersurat Terengganu (1303M).

Selain itu, Pekan turut menampilkan produk ekopelancongan yang terdapat di gugusan pulau jadian di Sungai Pahang, berdekatan D'Kuala, Kuala Pahang apabila sedikit masa lagi pengunjung boleh menelusuri ke destinasi itu melihat tarikan baharu di situ seperti hutan nipah dan paya bakau di pulau berkenaan.

Bagi mereka yang gemar beriadah, boleh berkunjung ke Pusat Rekreasi Air, Universiti Malaysia Pahang (UMP) kampus Pekan tidak jauh dari D'Kuala yang menyediakan aktiviti kayak rekreasi, bot dayung dan berbasikal mengeliling empat tasik buatan di sekitar pusat pengajian berkenaan. Namun, aktiviti air hanya dilakukan di Tasik B.

Bagi pelajar Fakulti Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (sistem kuasa), UMP, Nur Diyana Rahim, 21, berkata bangga negara ini mempunyai pelbagai lokasi menarik termasuk di Pekan.

Katanya, aktiviti riadah umpamanya yang dibuka kepada orang ramai, secara tidak langsung berupaya mempromosikan produk pelancongan yang terdapat di pusat pengajian berkenaan.

"Pengunjung yang bertandang ke Pekan, mempunyai lebih pilihan merencana percutian mereka, sekali gus menaikkan nama UMP dalam kalangan pelancong dari luar Pahang," kata anak kelahiran Raub.

Lihat seni bina rumah Melayu

Berdekatan Pusat Rekreasi Air itu juga, pengunjung boleh melihat rusa bintik atau chital berasal dari Sri Lanka yang ditempatkan dalam kandang khas untuk tatapan orang ramai.

Justeru, tidak perlu menjelajah jauh hingga ke Taman Negara Pahang untuk melihat haiwan liar yang belum tentu anda temui, namun di Pekan, haiwan unik ini hanya berada di depan mata.

Jangan lepaskan peluang berkunjung ke rumah tempat lahir Tun Abdul Razak yang dibina semula di atas tapak asal dan bentuk aslinya masih dikekalkan.

Pembinaan semula rumah ini di Kampung Pulau Keladi, Pekan bagi mengenangkan tokoh pemimpin terkemuka negara, malah berpeluang melihat daripada dekat contoh seni bina tradisional rumah Melayu Pahang.

FAKTA NOMBOR: Muzium Masjid Sultan Abdullah

* 88 tahun - usia masjid

* 756 meter persegi - keluasan masjid

* 47 kilometer - jarak dari Kuantan

* RM10 juta - kos pengubahsuaian masjid kepada muzium

INFO

  • Pekan mendapat namanya daripada spesies bunga dikenali bunga pekan yang tumbuh menjalar di tebing Sungai Pahang
  • Bunga pekan berwarna putih seperti melur, namun bakanya sudah tiada untuk diperkenalkan kepada generasi hari ini
  • Masjid Sultan Abdullah asalnya masjid tertua di Pekan dibuka pada 1932 dan akhirnya diubahsuai menjadi muzium Islam pada 2015
  • Muzium Masjid Sultan Abdullah terletak berdekatan tapak Istana Pantai, iaitu istana tertua di Pekan dan kini menjadi Makam Diraja Pekan
Rusa chital yang ditempatkan dalam kawasan UMP, Pekan. - Foto Muhd Zaaba Zakeria
Aktiviti kayak dan bot dayung turut dibuka kepada pengunjung dari luar Pahang. - Foto Muhd Zaaba Zakeria
Berita Harian X