Isnin, 16 April 2018 | 10:38pm
Pemandangan Teluk Kotor dari puncak Istana San Giovanni. - Foto Ili Ruzana Razali

Kotor permata Balkan

KOTOR, namanya bukanlah seperti apa yang kita gambarkan kerana tempatnya cantik, unik dan mempunyai mempunyai penduduk yang ramah. Itu yang dapat penulis gambarkan ketika tiba di bandar ini.

Mungkin kebanyakan orang kita jarang mendengar atau langsung tidak mengetahui bandar yang terletak di Montenegro.

Ketika penulis merancang ke negara Balkan, Kotor menjadi satu daripada bandar yang dicadangkan wajib dilawati.

Tidak dinafikan pemandangan bandar ini sangat cantik. Kotor terletak berhampiran pelabuhan di dalam wilayah Eropah Tenggara atau lebih dikenali sebagai Balkan.

Perjalanan selama dua jam 30 minit menaiki bas dari Dubrovnik, Croatia ke Kotor, Montengero tidak begitu terasa. Di sini kami mengambil keputusan menginap di dalam kawasan Old Town, Kotor.

Bandar lama ini yang masih tersergam indah meninggalkan sejarah tersendiri dan diangkat menjadi Tapak Warisan Dunia Pertubuhan Pelajaran, Sains, dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).

Aktiviti utama penulis dan rakan di sini untuk memanjat 1,350 anak tangga ke puncak Istana San Giovanni. Mungkin ada berpendapat tak masuk akal memanjat anak tangga sebanyak itu ketika bercuti.


- Foto Ili Ruzana Razali

Pendakian berbaloi

Percayalah pendakian ini sangat berbaloi. Berkongsi sedikit tip yang diberikan rakyat tempatan ketika terserempak dengan dengan kami sebelum memulakan pendakian.

Untuk naik ke puncak Istana San Giovanni terdapat dua laluan. Pertama, laluan menggunakan jalan biasa dengan pendakian lebih mencabar. Kaedah ini lazimnya dilakukan pelancong asing.

Kedua, laluan pendakian melalui tepi lereng bukit. Laluan ini lebih mudah dan tidak memenatkan berbanding mendaki 1,350 anak tangga.

Kawasan lereng bukit ini selamat digunakan, namun tidak ramai pelancong menggunakannya kerana kurang maklumat mengenai kewujudannya.

Persediaan rapi dibuat sebelum mendaki seperti membawa air, buah-buahan, makanan ringan dan ubat sebagai persiapan awal jika berhadapan saat kecemasan.

Pendakian dimulakan pada awal pagi dan mengambil masa di antara satu jam 30 minit hingga dua jam. Tempoh pendakian pula bergantung kepada stamina individu. Treknya pula tidak sukar mana dan sesuai untuk pelancong melakukannya secara santai.


Lereng bukit kawasan pendakian yang penulis gunakan. - Foto Ili Ruzana Razali

Rumah di lereng bukit

Sepanjang pendakian kita berpeluang menyaksikan keindahan pemandangan sekitar, selain melihat rumah penduduk yang dibina di lereng bukit bersama haiwan peliharaan seperti keldai.

Ketika mendaki, ada rakan yang hampir berputus asa di tengah jalan, namun berbekalkan semangat dan sokongan daripada rakan lain akhirnya berjaya menuju ke puncak dengan selamat. Pemandangan memukau dan menakjubkan Teluk Kotor dari puncak Istana San Giovanni sangat berbaloi.

Selepas berehat seketika di puncak, kami mengambil keputusan turun menggunakan lebih seribu anak tangga di situ.

Proses menuruni anak tangga agak mencabar kerana lutut dan kaki rasa menggeletar apabila berhenti berehat seketika. Masa yang diambil untuk sampai ke Old Town tidak lama.

"The best view comes after the hardest climbs". Itu ungkapan yang boleh penulis gambarkan pengalaman mendaki di Kotor, Montenegro. Sangat mempesona!


Sebahagian seni bina Istana San Giovanni yang masih utuh. - Foto Ili Ruzana Razali

Info Bandar Kotor

  • Bandar pelabuhan dikenali sebagai lokasi perdagangan dan terkenal dalam kalangan pelayar.
  • Bandar Kota Lama (Old Town) dibina antara abad ke-12 hingga ke-14.
  • Bandar berbentuk segi tiga dikelilingi tembok sepanjang 4.5 km dengan tiga pintu masuk.
  • Tembok dibina pada zaman Byzantine dan diperkuat di bawah Venetians apabila Kotor menjadi kota kubu terbaik di Adriatik.

Tip perjalanan

  • Penerbangan dari Kuala Lumpur ke Dubrovnik, Croatia atau Sarajevo, Bosnia sebelum meneruskan perjalanan ke Kotor.
  • Perjalanan menaiki bas dari Dubrovnik menaiki bas ke Kotor, Montenegro dengan kadar STG18 (RM90).
  • Kadar penginapan dua malam di Kotor, Montenegro dua bilik (triple room) adalah STG180/6 > STG30 seorang
  • Penginapan ditempah menerusi aplikasi Booking.com.
  • Banyak pilihan tempat makan selesa di restoran dan kafe di Old Town
  • Dari Old Town Kotor, pelancong boleh ke Albania dengan menempah perkhidmatan 'shuttle' bas.


Pemandangan di Teluk Kotor. - Foto Ili Ruzana Razali

Fakta menarik penduduk

  • Menyidai pakaian menggunakan sistem mengangkut sistem takal ditarik dari tingkap rumah ke tiang luar.
  • Makanan tradisi sup ikan pekat menggunakan ikan spesies trout. Sajian enak ikan ketulan besar dimakan bersama nasi pelbagai perasa.

Lokasi wajib kunjung di Kotor

  • Old Town City
  • Perast, pantai tumpuan pelancong perairan
  • Our Lady of The Rocks, pulau kecil peninggalan sejarah lama di Perast
  • St John Fortress, kubu pertahanan yang dibina pada 1646
  • Muzium Maritim

Fakta nombor

  • 13,510 jumlah penduduk
  • 355 km persegi keluasan Kotor
1653 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »