Ahad, 15 April 2018 | 10:25am
PENDAKI mengharungi ribut dan salji tebal melebihi buku lali menyelesaikan misi sampai ke puncak Gunung Syue.

Redah hutan bersalji Gunung Syue

BUKAN impian untuk berguling-atas salji yang memutih seperti kebiasaannya apabila bercuti di negara sejuk, bersalji atau di kawasan pergunungan.

Sebaliknya, penulis dan 12 lagi rakan berhempas pulas mengerah tenaga mengharungi ribut dan salji tebal melebihi buku lali menyelesaikan misi sampai ke puncak Gunung Syue, Taiwan, setinggi 3,886 meter.

Dianggap kerja gila Sekumpulan anggota bomba Taiwan yang membuat latihan di gunung ini menganggap kami buat 'kerja gila' kerana melakukan aktiviti ini pada musim sejuk tatkala orang tempatan duduk di dalam rumah.

Baki jarak ke puncak kira-kira 50 meter, tetapi ia umpama perjalanan lima kilometer (km). Terkial-kial untuk sampai ke puncak itu.

Jurupandu, Mohd Khafiz Bachok atau Kichok kelihatan tenang dan memberi arahan yang betul untuk kami merentasi gunung itu.

Beliau yang berada di hadapan merakamkan gambar kami yang berhempas- pulas meredah kesejukan salji.

Tertusuk kasut berpaku

Ketika ini, seorang rakan Muhammad Khirul Bahri Basaruddin, salah tercedera apabila crampon iaitu pelapik kasut bergigi tajam terpijak kakinya.

Dari raut mukanya, nampak ia amat menyakitkan, tetapi semangatnya kental untuk terus berjalan hingga ke puncak.

Cuaca sejuk kira-kira -14 darjah Celsius dan tiupan angin disertai salji membuatkan penulis hilang tenaga, begitu juga rakan dalam rombongan kami, iaitu Azizah Jamil, Rosuardi Nizam Mohammd Rodzi, Hussin Jahit, Junefaezah Yaakob dan Anacan Aaron Manlupig (warga Filipina) serta Ketua Ekspedisi, Fakhrul Munir Mohd Isa tetap bersemangat menyudahkan pendakian.

Jarak penglihatan terhad


PENULIS bergambar di batu tanda puncak Gunung Syue.

Renjer berbaju biru sudah memberi peringatan, kami mesti sampai di batu tanda puncak Gunung Syue sebelum jam 1.30 petang. Ada kira-kira 20 minit lagi. Selepas 1.30 petang, renjer arahkan kami turun, tak kira sama ada sampai puncak atau tidak.

Alasannya, tidak mahu berlaku kejadian tidak diingini. Ribut salji menyebabkan jarak penglihatan terhad. Salji yang menimbun tebal juga membahayakan kerana dikhuatiri boleh runtuh.

Pengembaraan mendaki Gunung Syue ini tetap memberi kepuasan.

Memang penat. Letih kerana kasut yang lembap diselaputi salji, diikat dengan crampon dan asyik terbenam di dalam salji.


BERSIAP sedia untuk turun sebelum ribut salji menjadi lebih buruk.

Info


QIKA Cabin terletak kira-kira 2 km dari pintu masuk.

  • Terdapat dua kabin sepanjang pendakian.
  • Pertama Qika Cabin terletak kira-kira 2 km dari pintu masuk.
  • Kedua, 369 Cabin terletak pada jarak 6.9km.
  • Kedua-dua kabin ini sangat asas, pendaki perlu membawa sendiri perkakasan memasak dan sleeping bag.
  • Jarak puncak Gunung Syue dari 369 Cabin sekitar 4 km.
  • Merangkumi trek dalam hutan tebal sejauh 2km.
  • lereng gunung sejauh 1 km, dan 1km lagi dari kabin hingga ke pintu rimba.


REHAT di pelantar pemandangan sebelum menuju East Peak.

230 dibaca
Berita Harian X